Saturday, 1 October 2011

Kumpulan Kebaikan


Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.”
(Muslim)
Huraian:
Masyarakat Islam adalah seperti satu jasad yang setiap anggota akan merasai apa yang dirasai oleh orang lain malah mereka juga bersama-sama berkongsi kegembiraan. Maka antara yang menjadi kewajipan penting seorang Muslim ialah agar segera melepaskan kesempitan yang dialami oleh saudaranya.
Dengan cara ini masyarakat yang sempurna dan tolong-menolong dapat diwujudkan. Sebaliknya mencari-cari keburukan orang lain dan menyebarkannya pula adalah satu tanda kemunafikan kerana disebabkan perkara tersebut sesuatu kejahatan yang dilakukan itu boleh menjadi pemangkin kepada orang yang sepertinya agar lebih agresif dan liar dengan kejahatan hingga seluruh masyarakat menjadi rosak. Sesungguhnya balasan Allah SWT kepada makhluk-Nya adalah dalam bentuk yang menyerupai amalan yang dilakukan itu.

Bagaimana Ilmu Agama Ditarik


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Allah tidak akan mengambil kembali ilmu (agama) dengan mengambilnya dari (dalam hati) manusia, tetapi mengambilnya kembali dengan kematian para ulama hingga tidak bersisa, lalu orang ramai akan mengambil orang-orang bodoh sebagai pemimpinnya yang apabila orang-orang itu bertanya kepada mereka, mereka akan memberikan jawapan-jawapan yang tidak didasarkan kepada ilmu. Maka mereka akan berada dalam kesesatan dan menyesatkan orang lain.”
(al-Bukhari)
Huraian:
Islam adalah satu-satunya agama di dunia yang sangat mendorong umatnya untuk menuntut ilmu. Istilah ulama pula digunakan pada orang yang sangat memahami permasalahan agama dan mendalami ilmu agama. Di zaman ini, hampir tiada lagi ulama’ yang mempunyai penguasaan ilmu yang pelbagai melainkan hanya yang pernah belajar beberapa bidang ilmu tetapi hanya menguasai satu atau dua cabang ilmu sahaja.
Berbeza dengan zaman lampau, orang yang disebut sebagai ulama’ adalah mereka yang menguasai dengan “ahli” banyak cabang-cabang ilmu. Dengan perkataan lain golongan ulama’ semakin lama semakin pupus. Justeru dengan waktu yang semakin singkat di akhir zaman ini ditambah dengan kesibukan dan kelalaian kita sendiri dalam mengurus waktu marilah kita sama-sama mengkaji dan mengambil ilmu daripada mereka kerana kehidupan ini tidak akan berjalan dengan tertib tanpa bimbingan dari para ulama’.
Tetapi kenyataannya, ramai orang pada hari ini yang tidak memahami situasi tersebut sehingga mereka merasa mampu mengatur kehidupan dunia tanpa merasa perlu melibatkan golongan ulama. Bahkan ulama dianggap sebagai kelompok mereka yang tidak mengetahui situasi dan kondisi, tidak memahami perkembangan zaman dan hanya berbicara dalam masalah ibadah dan akhirat semata.
Akibatnya timbul sikap menolak meremehkan golongan ulama dan keterlibatan mereka dalam urusan pengaturan dunia. Justeru tidak hairan ada golongan manusia yang menjadikan orang-orang yang jahil dan bodoh sebagai pemimpin mereka hingga akhirnya membawa kepada kesesatan dan kemusnahan.

Menjaga Nama Baik


Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil.”
(Muslim)
Huraian:
Maruah dan nama baik adalah sesuatu yang amat penting bagi semua orang. Islam menegah perbuatan menghina dan memperlekehkan orang lain kerana ia akan menjatuhkan maruah individu terbabit. Lagipun tidak ada manusia yang suka dirinya diperlekeh dan dihina apalagi di khalayak ramai. Tiga golongan yang disebutkan di dalam hadis di atas merupakan mereka yang sebenarnya mempunyai nilai di sisi masyarakat dan harus dihormati.
Sebagai orang tua contohnya mereka sudah tentu mempunyai banyak pengalaman hidup yang boleh dijadikan panduan dan iktibar oleh mereka yang masih muda. Manakala orang yang berilmu juga merupakan aset yang memberi manfaat untuk kebaikan dan kemajuan ummah seperti juga kedudukannya dengan imam yang adil yang semestinya menjadi tali pengikat kepada keharmonian dan keamanan masyarakat seluruhnya. Golongan ini harus diberi penghormatan sewajarnya kerana setiap kebaikan yang ada pada diri mereka bakal menjadi teladan buat generasi yang datang selepasnya.

Ulama’ Akhir Zaman


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Allah tidak akan mengambil kembali ilmu (agama) dengan mengambilnya dari (dalam hati) manusia, tetapi mengambilnya kembali dengan kematian para ulama hingga tidak bersisa, lalu orang ramai akan mengambil orang-orang bodoh sebagai pemimpinnya yang apabila orang-orang itu bertanya kepada mereka, mereka akan memberikan jawapan-jawapan yang tidak didasarkan kepada ilmu. Maka mereka akan berada dalam kesesatan dan menyesatkan orang lain.”
(al-Bukhari)
Huraian:
Islam adalah satu-satunya agama di dunia yang sangat mendorong umatnya untuk menuntut ilmu. Ulama adalah orang yang sangat memahami permasalahan agama dan mereka merupakan orang yang mendalami ilmu. Di zaman ini, hampir tiada lagi ulama’ yang mempunyai penguasaan ilmu yang pelbagai melainkan hanya yang pernah belajar beberapa bidang ilmu tetapi hanya menguasai satu atau dua cabang ilmu sahaja.
Berbeza dengan zaman lampau, orang yang disebut sebagai ulama’ adalah mereka yang menguasai dengan “ahli” banyak cabang-cabang ilmu. Dengan perkataan lain golongan ulama’ semakin lama semakin kurang. Justeru, dengan waktu yang semakin singkat di akhir zaman ini ditambah dengan kesibukan dan kelalaian kita sendiri dalam mengurus waktu marilah kita sama-sama mengkaji dan mengambil ilmu daripada mereka kerana kehidupan tidak akan berjalan dengan tertib tanpa bimbingan daripada para ulama’.
Namun kenyataannya juga bahawa hari ini ramai orang yang tidak menyedari situasi tersebut hingga mereka mengatur kehidupan dunia mengikut cara mereka sendiri tanpa merasa perlu melibatkan golongan ulama untuk meminta pandangan mahupun nasihat. Ulama dipinggirkan bahkan dianggap sebagai kelompok yang tidak mengetahui perkembangan zaman dan hanya berbicara dalam masalah ibadah dan akhirat semata. Akibatnya timbul sikap menolak dan meremehkan golongan ulama dan keterlibatan mereka di dalam urusan keduniaan.
Justeru tidak hairanlah akan ada manusia yang menjadikan golongan yang jahil dan bodoh sebagai pemimpin mereka hingga akhirnya membawa kemusnahan dan mengundang kecelakaan.

Kaya Harta Dan Kaya Ilmu


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:” Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.”
(al-Bukhari)
Huraian:
Setiap perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita inginkan dalam hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya? Perumpamaan orang yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji.
Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya. Jika direnung manakah yang lebih utama, ilmu atau harta? Tentu sekali ilmu kerana seperti kata sayidina Ali: “Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus menjaganya.” Namun alangkah baiknya jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.

Kelebihan Sayidina umar Dalam Ilmu Agama!


Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a: “Rasulullah SAW pernah bersabda: “Di dalam tidur ku, aku melihat mangkuk penuh susu diberikan kepada ku dan aku meminumnya hingga membasahi sebahagian jemari ku. Kemudian aku memberikan sisanya kepada Umar bin al-Khattab.” (Para sahabat nabi SAW bertanya: “Apakah tafsiran anda (terhadap mimpi itu) ya Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab:” Itulah ilmu (agama).”
Huraian:
Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang tafaqquh (mendalam ilmu agamanya). Dalam hal ini cuba kita renung sejenak tentang kisah Sayidina Umar Al Khattab RA. Beliau adalah orang yang paling disegani dan paling digeruni semasa zaman jahiliah.
Demikian juga setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti termasuk syaitan sendiri. Apakah rahsianya Sayidina Umar boleh mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar mendalami ilmu agama. Sungguh banyak pengajaran yang dapat diambil daripada kisah beliau.
Di antaranya, kisah tentang beliau berkata dengan Hajar Al Aswad, kisah beliau tidak memotong tangan pencuri kerana terlalu fakir, kisah beliau memotong kedua-dua tangan pencuri kerana telah berdusta atas nama Allah, kisah beliau mengubah destinasi setelah mendapat berita wabak taun di negeri yang akan dituju, kisah tentang beliau berhijrah dan lain-lain. Beliau dikenal sebagai khalifah yang paling adil.
Mukmin yang mendalam ilmu agamanya memang lebih ditakuti oleh syaitan berbanding dengan orang yang banyak beribadah tetapi jahil tentang seluk-belok agama. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW bermaksud: Seorang Faqih adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang ‘Abid (orang yang banyak beribadat)”(at- Tirmidzi dan Ibnu Majaah)

Menahan Marah


Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w. “Berwasiatlah kepadaku, “Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”
Riwayat al-Bukhari
Huraian:
  • Umat Islam dituntut supaya meminta nasihat daripada orang yang alim untuk membentuk peribadinya.
  • Islam menghendaki seseorang itu berusaha memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa agar iman dan ketaqwaannya kepada Allah S.W.T semakin meningkat.
  • Hakikat marah menurut Islam ialah marah yang terpuji dan marah yang tercela. Kemarahan yang ditujukan untuk mempertahankan diri, agama, kehormatan, hak atau untuk menolong orang yang dizalimi adalah marah yang dituntut. Sebaliknya yang selain daripada itu adalah marah yang datang daripada sifat-sifat syaitan yang dikeji oleh Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhinya.
  • Sesuatu persoalan atau wasiat yang memerlukan jawapan daripada seseorang, janganlah diminta secara mendesak atau menunjukkan kemarahan, tetapi hendaklah menggunakan tutur kata yang baik, bersopan dan sabar.