Saturday, 1 October 2011

Separuh Pahala


Abu Hurairah r.a berkata Nabi SAW bersabda maksudnya : “Apabila seorang wanita menafkahkan sebahagian dari hasil usaha suaminya tanpa izin suaminya maka bagi suaminya separuh pahala.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Huraian:
Orang yang turut membuat kebajikan bersama-sama dengan orang lain akan juga beroleh pahala. Para ulama’ membenarkan isteri menafkahkan harta suaminya jika telah diizinkan oleh suaminya sama ada secara terang atau menurut uruf (kebiasaan).
Namun bagi pengeluaran yang sedikit yang biasa dilakukan oleh si isteri seperti memberi sedekah kepada peminta sedekah atau memberi makan kepada tetamu, hal tersebut tidaklah memerlukan kepada keizinan si suami namun janganlah pula ia berlaku secara keterlaluan, merosakkan harta atau sampai kepada tahap pembaziran.

Kelebihan Bersedekah


Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”
(Bukhari)
Huraian:
  • Selain daripada sedekah wajib iaitu zakat harta, zakat fitrah dan sebagainya, umat Islam umumnya digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
  • Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat.
  • Faedah sedekah di dunia adalah seperti seseorang itu akan dimurahkan rezekinya oleh Allah, terhindar daripada bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian yang buruk di mana orang yang selalu bersedekah akan dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su’ul khatimah) kerana sedekah itu sebenarnya membawa rahmat di samping menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.
  • Manakala faedahnya di akhirat pula ialah seseorang itu akan mendapat naungan daripada panas terik di padang Mahsyar dan mendapat pendinding daripada api neraka.

Jangan Kedekut atau Tamak!


Asma’ r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda (kepada Asma): “Nafkahkanlah dan janganlah kamu menyempitkan sedekah yang menyebabkan Allah menyempitkan (tidak mengeluarkannya) untuk kamu dan janganlah kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah memutuskan berkatnya dan kesuburannya.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Huraian:
Allah melarang kita daripada bersifat kedekut, suka mengumpulkan harta dan tidak menafkahkan harta ke jalan Allah. Orang yang banyak bersedekah adalah orang yang tahu akan kebaikan di masa akan datang kerana Allah SWT telah berjanji bahawa pintu rezeki hamba-Nya akan diluaskan jika seseorang itu banyak bersedekah.

Punca Segala Bencana


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Kelak bumi akan memuntahkan jantung hatinya berupa tiang-tiang emas dan perak. Maka datanglah seorang pembunuh seraya berkata:” Kerana inilah aku jadi pembunuh. Kemudian datang pula si perompak, lalu berkata:” Kerana inilah aku putuskan hubungan silaturrahim. Kemudian datang pula si pencuri seraya berkata:” Kerana inilah tanganku dipotong.” Sesudah itu mereka tinggalkan sahaja harta kekayaan itu, tiada mereka mengambilnya sedikitpun.”
(Muslim)
Huraian:
Lazimnya manusia mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana gila mengejar harta dunia, manusia terpengaruhi oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan sehingga ada yang sanggup berbunuh-bunuhan, merompak dan memutuskan silaturrahim. Dunia dicipta untuk menguji manusia siapakah yang paling bertakwa.
Sesungguhnya harta dunia tidak akan membawa membawa apa-apa erti jika ia tidak dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Allah. Hakikat harta diterangkan Rasulullah s.a.w seperti sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Seorang hamba (manusia) berkata, ‘Hartaku, hartaku!’ Padahal hartanya itu sesungguhnya ada 3 jenis:
  • Apa yang dimakannya lalu habis.
  • Apa yang dipakainya lalu lusuh.
  • Apa yang disedekahnya lalu tersimpan untuk akhirat.
Selain yang 3 itu, semuanya akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain”. (Muslim)

Mensyukuri Rezeki Menambahkan Berkat


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.”
Riwayat Bukhari dan Muslim
Huraian:
  • Setiap Muslim hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu redha dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut perkara yang bukan keperluannya.
  • Lawan bagi sifat qanaah ialah tamak yang menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain.
  • Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang qanaah.
  • Salah satu cara untuk menanamkan sifat qanaah kepada diri dan keluarga ialah dengan sentiasa mengucapkan “alhamdulillah” di atas setiap perbuatan atau perkara baik yang diterima.
  • Rezeki adalah ketentuan Allah S.W.T. Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan.

Jangan Meremehkan Sedekah Orang


Dari Abu Mas’ud r.a katanya: “Kami diperintah Rasulullah s.a.w supaya bersedekah sedangkan kami hanya sebagai buruh kasar atau kuli. Namun Abu Uqail bersedekah setengah gantang. Kemudian yang lainnya mengikutinya dengan menyedekahkan apa sahaja namun lebih banyak dari itu. Melihat kenyataan itu, orang-orang munafik berkata: “Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Dia tidak memerlukan sedekah itu dan ini. dan mereka melakukan ini semua, hanya kerana riya’ semata-mata.” Kerana ucapan mereka itu maka turunlah ayat: “(orang-orang munafik iaitu) mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (sesuatu untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka. Maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan mebalas penghinaan mereka itu dengan siksa yang pedih.”
(at-Taubah:79)
Huraian:
Allah SWT Maha Mengetahui siapa diri kita yang sebenarnya. Apa yang nyata keislaman seseorang tidak diukur oleh luasnya ilmu agama yang dimiliki. Tidak juga diukur oleh kekuatan ibadah semata. Tetapi keislaman itu diukur pada orang yang paling ikhlas dalam agamanya termasuk dalam bersedekah kerana sesungguhnya seorang mukmin yang sebenar akan sanggup menawarkan hartanya demi mempertahankan agamanya, sementara orang munafik pula akan sanggup menawarkan agamanya demi mempertahankan hartanya.

Ganjaran Istimewa Dari Amal Kebaikan


Nabi s.a.w bersabda: “Tidak ada satu hari yang terbit mataharinya melainkan ada di kiri kanan matahari itu: dua Malaikat yang menyerukan seruan yang didengari oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: “Wahai sekalian manusia! Marilah kamu semua berusaha mengerjakan amal bakti kepada Tuhan kamu, kerana sesungguhnya pendapatan-pendapatan yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia adalah lebih baik daripada pendapatan-pendapatan yang banyak serta melalaikan bekalan akhirat; dan tidak masuk matahari melainkan ada di kiri kanannya dua Malaikat yang menyerukannya seruan yang didengarinya oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: “Ya Tuhan kami! Berikanlah ganti yang berganda-ganda kepada orang yang mencurahkan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepadanya pada jalan yang diredhai Allah, dan timpakanlah kerugian yang besar ke atas orang yang menahan nikmat-nikmat Allah itu daripada mengeluarkannya pada jalan yang dituntut oleh Allah.”
Abu ad-Dardaa’ r.a
Huraian:
  • Dalam menghadapi kehidupan dunia manusia mestilah berwaspada, jangan mudah terpedaya dengan perkara yang melalaikan diri daripada berusaha mengerjakan amal kebaikan lebih-lebih lagi perkara yang berhubung dengan harta benda dan cara membelanjakannya.
  • Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari terdapat dua malaikat yang menyeru manusia supaya:
  • Mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang untuk mencapai keredhaan Allah.
  • Mengambil ingatan bahawa pendapatan seharian yang diperoleh meskipun sedikit tapi mencukupi keperluan hidup di dunia yang meliputi harta benda dan nikmat-nikmat yang lain sebenarnya adalah lebih baik daripada pendapatan yang banyak tetapi melalaikan manusia itu daripada mengerjakan amal ibadat dan kebajikan sebagai bekal untuk mencapai kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.
  • Sesungguhnya manusia yang membelanjakan harta benda, ilmu pengetahuan dan tenaganya di jalan Allah akan sentiasa didoakan oleh malaikat semoga Allah memberikan balasan yang berganda-ganda untuk dirinya, sebaliknya bagi yang bakhil, didoakan agar ditimpa kerugian yang besar.