Saturday, 1 October 2011

Punca Segala Bencana


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Kelak bumi akan memuntahkan jantung hatinya berupa tiang-tiang emas dan perak. Maka datanglah seorang pembunuh seraya berkata:” Kerana inilah aku jadi pembunuh. Kemudian datang pula si perompak, lalu berkata:” Kerana inilah aku putuskan hubungan silaturrahim. Kemudian datang pula si pencuri seraya berkata:” Kerana inilah tanganku dipotong.” Sesudah itu mereka tinggalkan sahaja harta kekayaan itu, tiada mereka mengambilnya sedikitpun.”
(Muslim)
Huraian:
Lazimnya manusia mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana gila mengejar harta dunia, manusia terpengaruhi oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan sehingga ada yang sanggup berbunuh-bunuhan, merompak dan memutuskan silaturrahim. Dunia dicipta untuk menguji manusia siapakah yang paling bertakwa.
Sesungguhnya harta dunia tidak akan membawa membawa apa-apa erti jika ia tidak dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Allah. Hakikat harta diterangkan Rasulullah s.a.w seperti sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Seorang hamba (manusia) berkata, ‘Hartaku, hartaku!’ Padahal hartanya itu sesungguhnya ada 3 jenis:
  • Apa yang dimakannya lalu habis.
  • Apa yang dipakainya lalu lusuh.
  • Apa yang disedekahnya lalu tersimpan untuk akhirat.
Selain yang 3 itu, semuanya akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain”. (Muslim)

Umat Yang Sentiasa Menang


Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sentiasa ada segolongan umatku yang selalu memperjuangkan yang hak. Mereka selalu menang sampai hari kiamat.”
Huraian:
Islam bukan sekadar suatu perkataan yang disebut oleh lidah sahaja, bukan pula bererti kelahiran seseorang di dalam sebuah negara tertentu yang disebut sebagai negara Islam dan mempunyai lambang keislaman, juga tidak bererti kelahiran seorang yang ibu bapanya muslim.
Kita sering membicarakan tentang Islam akan menang, Islam akan tertegak tetapi apakah yang kita lakukan untuk menuju ke arah itu? Perjuangan menegakkan Islam masih belum berakhir. Di manakah kita ketika saudara-saudara kita dihina, diinjak-injak, disembelih, diperkosa? Pernahkah kita kenangkan nasib mereka walau sedetik? Pernahkah lidah mengucapkan doa kemenangan untuk mujahid-mujahid Islam ini? Apakah sumbangan kita untuk mereka?
Sebenarnya bangsa atau umat yang menjadi pilihan Allah yang akan sentiasa diberikan kemenangan ialah bangsa MUSLIM yang hidupnya terus memperjuangkan agama Allah sekalipun mereka berlainan bangsa dan warna kulit. Inilah konsep yang unggul mengenai negara dan rupa bangsa yang sentiasa beroleh kemenangan dan kekal merdeka.

Ikan Dan Belalang Bukan Bangkai


Ibnu Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dihalalkan untuk kamu dua bangkai dan dua darah; Dua bangkai itu ialah ikan dan belalang dan dua darah itu ialah hati dan limpa.”
Ibnu Majah, Ahmad
Huraian:
Terdapat dua jenis binatang yang dikecualikan oleh syariat Islam daripada kategori bangkai iaitu belalang, ikan dan sebagainya dari jenis binatang yang hidup di dalam air. Haiwan air ialah haiwan yang boleh hidup secara hakikinya di dalam air sahaja dan tidak beracun, memabukkan atau membahayakan kesihatan manusia. Binatang dua alam adalah tidak termasuk di dalamnya. Manakala belalang daun yang darahnya tidak mengalir juga halal dimakan. Begitu juga dengan darah. Sekalipun darah adalah haram tetapi ada pengecualiannya iaitu hati dan limpa. Demikian juga sisa-sisa darah yang menempel pada daging atau leher binatang setelah disembelih.
Kesimpulannya, setiap apa yang dinyatakan di dalam nas yang mengatakan ia haram, maka hukumnya adalah haram. Apa yang tidak dihukum sebagai haram, maka ia didiamkan syarak. Namun Islam menitikberatkan kebersihan. Tinggalkanlah sesuatu perkara yang jijik dan kotor. Jangan tepuk dada tanya selera semata-mata.

Keutamaan Korban


“Dari Aisyah r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada amalan anak Adam pada hari Aidil Adha yang disukai Allah selain daripada menyembelih korban. Korban-korban itu akan datang kepada orang yang melakukannya pada hari kiamat seperti keadaan semula, iaitu dengan anggotanya, tulangnya, tanduknya dan bulunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan Tuhan sebelum jatuh ke atas tanah. Oleh sebab itu, berkorbanlah dengan senang hati”.
(at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Huraian:
  • Korban adalah salah satu ibadat yang paling disukai Allah S.W.T. yang dilakukan oleh hambanya semata-mata kerana Allah, dan mengharapkan keredhaanNya.
  • Binatang-binatang korban akan datang pada hari kiamat nanti kepada orang yang melakukannya dengan keadaan seperti asalnya.
  • Darah korban itu terlebih dahulu jatuh ketempat yang disediakan oleh Allah S.W.T. sebelum ianya jatuh ke tanah. Darah yang menitis jatuh menjadi keampunan bagi dosa yang telah lalu.
  • Islam menggalakkan umatnya agar berkorban dengan binatang yang disayangi dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T.

Setiap Hukum Ada Hikmahnya


Dari Abdullah bin Buraidah r.a, dari bapanya katanya rasulullah s.a.w bersabda: “Dahulu aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah. Aku pernah melarang kamu memakan daging korbanmu lebih dari tiga hari, sekarang simpanlah sekadar yang kamu perlukan. Aku pernah melarang kamu minum minuman anggur kecuali dengan gelas biasa, sekarang minumlah dengan apa jua bekas minuman. Tetapi jangan sekali-kali kamu minum minuman yang memabukkan.”
(Muslim)
Huraian:
Selaku umat Islam, kita perlu jelas bahawa setiap hukum yang dibawa oleh Islam ada kaitannya dengan kesejahteraan hidup manusia sama ada dari aspek rohani mahupun jasmani, fizikal mahupun spiritual. Setiap hukum dan larangan tersebut sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith di atasnya ada hikmahnya yang tersendiri.
Hukum juga boleh berubah-ubah bergantung pada beberapa perkara seperti maslahah ummah dan kehendak zaman asalkan ia tidak menyalahi hukum dan batasan yang ditetapkan oleh syarak. (al-Quran dan sunnah). Sesungguhnya setiap suruhan dan tegahan agama itu bukanlah bermaksud untuk mengekang kebebasan individu. Ia sebenarnya untuk kebaikan bersama.
Inilah tujuan utama Nabi Muhammad s.a.w diutuskan iaitu untuk memberi penerangan kepada manusia tentang tatacara kehidupan yang sebenar berlandaskan kehendak Islam.

Berusaha, Berdoa dan Bertawakkal kepada Allah


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat serta menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.”
Riwayat Ibn an-Najjar
Huraian:
  • Kekayaan dan mengumpul harta untuk mengukuhkan ekonomi sangat digalakkan di dalam Islam dengan syarat-syarat tertentu seperti mengeluarkan zakat, bersedekah untuk meninggikan syiar Islam atau melakukan apa sahaja kebajikan yang harus di sisi syarak. Ini penting kerana dengan cara ini tabungan (dana), pembahagian dan perluasan sumber sesama Islam boleh dilaksanakan dengan baik dan lancar untuk kepentingan sesama umat Islam bagi mengelak daripada pinjam-meminjam, hutang-menghutang dan sebagainya.
  • Kemiskinan itu kadangkala boleh membuatkan aqidah seseorang terpesong di mana musuh-musuh Islam akan mengambil kesempatan di atas kekurangan dan kelemahan yang dihadapi itu untuk mempengaruhi ke arah kesesatan. Oleh itu kemantapan iman sangat penting, jangan sampai menyalahkan takdir di saat menghadapi kemiskinan atau kesusahan hidup.
  • Rezeki dan kemewahan datangnya daripada Allah S.W.T. Setiap manusia dituntut untuk berusaha mengubah nasibnya tetapi diingatkan agar tidak bersikap rakus dan tamak sehingga mencetuskan permusuhan dan perbalahan, dengki-mendengki dan sebagainya. Sebaliknya hendaklah bersikap sederhana dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah sama ada banyak ataupun sedikit.

Sedekah Hanya Dikira Dari Usaha Yang Baik


Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Sesiapa bersedekah seberat biji kurma dari usaha yang baik, dan tidak naik (sampai) kepada Allah melainkan yang baik, maka sesungguhnya Allah menyambutnya dengan tangan kanan-Nya. Kemudian Allah memelihara sedekah itu untuk pemiliknya, sebagaimana seorang kamu memelihara anak-anak kudanya sehingga menjadilah sedekah itu setinggi gunung.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Huraian:
Pemberian itu merangkumi sedekah dan hadiah. Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka ia dinamakan sedekah, tetapi jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, sanjungan dan tanda kasih maka ia dinamakan hadiah.
Allah menyuruh kita agar menginfakkan harta dan memberi sedekah dengan harta yang halal dan melarang kita daripada menginfakkan harta yang haram sebagaimana ia menyuruh kita agar memastikan agar makan, minum, pakaian dan segala harta benda yang kita gunakan di dunia ini adalah datang daripada sumber yang halal. Sebenarnya bersedekah adalah antara amalan sunat yang dianjurkan dan digalakkan dalam Islam. Anjuran ini tidaklah hanya ditujukan kepada orang-orang kaya sahaja, malah orang-orang yang kurang berada pun dianjurkan bersedekah menurut kadar kemampuan masing-masing.