Thursday, 6 October 2011

Perkara Yang Diperlihatkan Kepada Nabi s.a.w Ketika Sembahyang: Gerhana, Mengenai Syurga dan Neraka

Hadis Asma' r.a: Diriwayatkan daripada Fatimah sesungguhnya Asma' telah berkata: Matahari gerhana pada masa Rasulullah s.a.w. Aku datang menemui Aisyah yang ketika itu sedang bersembahyang. Aku bertanya: Kenapa orang ramai mendirikan sembahyang? Aisyah memberi isyarat dengan kepalanya ke arah langit. Aku bertanya lagi: Tanda kebesaran Allah? Dia menjawab: Benar! Rasulullah s.a.w berdiri cukup lama sekali, hingga aku terasa hampir pengsan. Lalu aku mencapai qirbah (satu bekas air) yang ada di sampingku dan aku menuangnya ke kepalaku atau ke wajahku. Apabila Rasulullah s.a.w selesai, matahari telahpun muncul kembali. Kemudian Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada kaum Muslimin. Baginda memuji Allah dan menyanjungi-Nya. Lalu bersabda: Apa sahaja yang belum pernah aku lihat, pasti benar-benar aku dapat melihatnya di maqamku ini, biarpun ke Syurga dan neraka. Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku, bahawa kamu akan menerima cubaan di dalam kubur yang hampir-hampir menyerupai fitnah Al-Masih Ad-Dajal. Aku tidak tahu apakah ia sebenarnya. Asma' lalu berkata: Kamu akan didatangi seseorang dan ditanyakan apakah yang kamu tahu mengenai lelaki ini? Adapun orang yang beriman atau orang yang yakin akan menjawab: Aku tidak tahu siapakah dia. Asma' berkata: Katakanlah dia itu Muhammad. Dialah utusan Allah yang membawa bukti-bukti dan petunjuk kepada kami. Lalu kami penuhi dan taati (sebanyak tiga kali). Kemudian dikatakan kepadanya: Benar! Kami memang tahu bahawa engkau beriman kepadanya. Tidurlah baik-baik! Sedangkan orang yang munafik atau ragu-ragu akan menjawab: Aku tidak tahu. Asma' berkata: Aku tidak tahu, cuma aku mendengar orang ramai berkata sesuatu, maka aku turut mengatakannya. 

Berdoa Ketika Sembahyang Malam

Hadis Ibnu Abbas r.a: Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w bangun pada malam hari untuk mendirikan sembahyang, baginda akan berdoa:


 اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيَّامُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَالْأرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ أَنْتَ الْحَقُّ وَوَعْدُكَ الْحَقُّ وَقَوْلُكَ الْحَقُّ وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ وَالسَّاعَةُ حَقٌّ اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ وَبِكَ خَاصَمْتُ وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَأَخَّرْتُ وَأَسْرَرْتُ وَأَعْلَنْتُ أَنْتَ إِلَهِي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ 


Yang bermaksud: Segala puji bagiMu. Engkau adalah cahaya langit dan bumi. Segala puji bagiMu. Engkaulah yang mengatur segala urusan makhluk di langit dan di bumi. Segala puji hanyalah bagiMu. Engkau adalah Tuhan di langit dan bumi serta semua yang terkandung di antara keduanya. Engkau adalah benar. JanjiMu adalah benar. FirmanMu adalah benar. Peristiwa perjumpaan denganMu (Hari Akhirat) adalah benar. Syurga adalah benar. neraka adalah benar. Hari Kiamat adalah benar. Ya Allah! Hanya kepadaMu aku berserah. KepadaMu jugalah aku beriman. KepadaMu jugalah aku bertawakkal. KepangkuanMu jugalah aku kembali. KepadaMu jugalah aku mengadu. KepadaMu jugalah aku mengambil keputusan. Maka ampunilah daku, ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan dosa-dosaku yang akan datang, yang aku lakukan secara diam-diam ataupun terang-terangan. Engkau adalah Tuhanku. Tiada Tuhan melainkan Engkau. 

Galakan Supaya Menangguhkan Sembahyang Zuhur Iaitu Menunggu Sehingga Cuaca Agak Redup Ketika Hari Panas Terik Bagi Orang Yang Ingin Pergi Sembahyang Berjemaah Tetapi Ditimpa Kepanasan Semasa Perjalanan

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Satu ketika neraka mengadu kepada Tuhannya. neraka berkata: Wahai Tuhanku! Sebahagian dariku memakan sebahagian yang lain. Lalu Allah merestui neraka dengan memberikannya dua nafas. Nafas pada musim dingin dan nafas pada musim panas, nafas tersebut lebih panas dari kepanasan yang biasa kamu dapati dan lebih sejuk dari kesejukan yang biasa kamu dapati.

Galakan Supaya Menangguhkan Sembahyang Zuhur Iaitu Menunggu Sehingga Cuaca Agak Redup Ketika Hari Panas Terik Bagi Orang Yang Ingin Pergi Sembahyang Berjemaah Tetapi Ditimpa Kepanasan Semasa Perjalanan

Hadis Abu Zar r.a katanya: Seorang tukang azan Rasulullah s.a.w mengumandangkan azan sembahyang Zuhur. Rasulullah s.a.w bersabda: Tunggulah sehingga cuaca redup, tunggulah sehingga cuaca redup. Mungkin juga katanya: Tunggu sebentar, tunggu sebentar. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya panas yang membara itu adalah bahang dari Api neraka Jahanam. Apabila hari sangat panas maka tangguhkanlah sembahyang. 

Galakan Supaya Menangguhkan Sembahyang Zuhur Iaitu Menunggu Sehingga Cuaca Agak Redup Ketika Hari Panas Terik Bagi Orang Yang Ingin Pergi Sembahyang Berjemaah Tetapi Ditimpa Kepanasan Semasa Perjalanan

Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Apabila hari tersangat panas, maka tangguhkanlah sembahyang kerana sesungguhnya kepanasan yang bersangatan itu termasuk dari bahang api neraka Jahanam. 

Perkara Yang Diminta Perlindungan Ketika Sembahyang

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Apabila seseorang dari kamu berada dalam keadaan tasyahud, dia hendaklah memohon perlindungan kepada Allah dari empat perkara dengan berdoa:


 اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ 


Yang bermaksud: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu dari seksaan neraka Jahanam, dari seksa Kubur, dari fitnah semasa hidup dan selepas mati serta dari kejahatan fitnah Dajal. 

Wajib Membasuh Kedua Kaki Dengan Sempurna

Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w telah melihat seorang lelaki tidak membasuh kedua tumitnya ketika mengambil wuduk. Maka baginda pun bersabda: Celakalah iaitu mendapat azab neraka Wail bagi tumit-tumit yang tidak basah sewaktu berwuduk dengan seksaan api neraka.