Thursday, 6 October 2011

Sunat Mengangkat Dua Tangan Hingga Ke Paras Bahu Ketika Takbiratul Ihram, Sebelum Rukuk Dan Bangkit Dari Rukuk. Gerakan Ini Tidak Perlu Dilakukan Apabila Bangkit Dari Sujud

 586. Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya: Aku lihat Rasulullah s.a.w apabila memulakan sembahyang, baginda mengangkat kedua tangan hingga ke paras bahu. Begitu juga sebelum rukuk dan bangkit dari rukuk. Baginda tidak mengangkatnya di antara dua sujud. 


 588. Hadis Malik bin Huwairis r.a: Diriwayatkan daripada Abu Qilabah r.a katanya: Dia pernah melihat Malik bin Huwairis sembahyang. Beliau memulakannya dengan bertakbir serta mengangkat kedua tangannya. Apabila dia ingin rukuk, dia mengangkat kedua tangannya. Begitu juga apabila dia bangkit dari rukuk, dia mengangkat kedua tangannya. Setelah selesai dia menceritakan bahawa itulah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Kelebihan Azan. Syaitan Akan Lari Apabila Mendengarnya

582. Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w bersabda: Apabila syaitan mendengar azan, dia akan lari bertempiaran sehingga tidak mendengarnya lagi. Setelah azan selesai, dia kembali lagi untuk menghasut. Begitu juga apabila mendengar iqamat. Dia akan lari sehingga tidak mendegarnya lagi dan sebaik sahaja iqamat selesai, dia kembali sekali lagi untuk menghasut.

Sunat Mengikuti Ucapan Yang Disebut Oleh Tukang Azan Bagi Orang Yang Mendengar Azan Kemudian Membaca Selawat Untuk Nabi s.a.w Dan Mengharapkan Agar Allah s.w.t Menjadikannya Sebagai Perantaraan

 576. Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu mendengar azan maka ucaplah sebagaimana yang disebut oleh tukang azan.

Sunat Melantik Dua Orang Tukang Azan Untuk Satu Masjid

573. Hadis Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w mempunyai dua orang tukang azan iaitu Bilal dan Ibnu Ummi Maktum yang buta.

Perintah Menggenapkan Azan Dan Mengganjilkan Iqamat

569. Hadis Anas r.a katanya: Bilal telah diperintahkan agar menggenapkan azan dan mengganjilkan iqamat.

Permulaan Azan

568. Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya:
 Ketika orang-orang Islam sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu memperkatakan tentang waktu sembahyang. Tiada seorang pun yang menyeru kepadanya. Semasa mereka berbincang tentang perkara tersebut, sebahagian daripada mereka berkata: Bunyikanlah loceng sebagaimana loceng orang Nasrani. Manakala sebahagian lagi berkata: Bunyikanlah trompet seperti trompet orang Yahudi. Kemudian Umar berkata: Mengapa kamu tidak menyuruh seseorang agar menyerukan sembahyang? Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Bilal! Bangunlah dan serukan untuk sembahyang.

Tentang Orang Mati Yang Dipuji Dengan Kebaikan Atau Dicela Dengan Keburukan

Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Ketika satu jenazah diiringi, orang ramai memuji jenazah tersebut sebagai orang baik iaitu semasa hidupnya, maka Nabi s.a.w pun bersabda mengenainya: Wajib, wajib, wajib. Lalu datang pula iringan jenazah yang kedua, orang ramai mengutuk mengenai jenazah tersebut sebagai orang yang jahat semasa hidupnya. Nabi s.a.w pun bersabda: Wajib, wajib, wajib. Umar berkata: Menjadi penebusmu, ayah dan ibuku! Ketika jenazah pertama diiringi, orang ramai memujinya sebagai orang baik, lalu kamu berkata: Wajib, wajib, wajib. Kemudian ketika jenazah kedua diiringi, orang ramai mengutuknya sebagai orang yang jahat, kamu juga berkata: Wajib, wajib, wajib. Apa ertinya? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang kamu puji sebagai orang baik, maka diwajibkan kepadanya Syurga. Sedangkan orang yang kamu katakan sebagai orang yang jahat, maka diwajibkan kepadanya neraka. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi.