Wednesday, 12 October 2011

Perkara perkara Yang Berkaitan Dengan Sifat Sembahyang Dan Bagaimana Memulakan Serta Mengakhirinya

764. Hadis Abdullah bin Malik bin Buhainah r.a: Sesungguhnya ketika Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang, baginda merenggangkan kedua tangannya sehingga ternampak putih di ketiak baginda.

Meluruskan Badan Ketika Sujud, Meletakkan Kedua Tapak Tangan Di Atas Tanah, Mengangkat Kedua Siku Dari Rusuk Dan Menjauhkan Perut Dari Kedua Paha Ketika Sujud

762. Hadis Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Luruskanlah badan ketika bersujud dan janganlah salah seorang dari kamu mendamparkan kedua lengannya iaitu merapatkan siku ke tanah seperti anjing mendamparkan kaki hadapannya.

Anggota anggota Sujud Serta Larangan Melapik Rambut Dan Pakaian Yang Dipakai Pada Dahi Dan Menjalin Rambut Ketika Sembahyang

755. Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Nabi s.a.w telah diperintahkan agar melakukan sujud dengan menggunakan tujuh anggota badan serta dilarang melapik dahi dengan rambutnya dan pakaiannya.

Bacaan Ketika Rukuk dan Sujud

746. Hadis Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ketika rukuk dan sujud, baginda biasanya memperbanyakkan bacaan:


 سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي 


Baginda melaksanakan apa yang diperintahkan di dalam Al-Quran.

Mengikuti Imam dan Melakukan Rukun atau Selainnya Selepas Imam

728. Hadis Al-Bara' r.a: Sesungguhnya mereka iaitu para sahabat sembahyang di belakang Rasulullah s.a.w. Maka apabila baginda mengangkat kepala dari rukuk, aku tidak melihat seorang pun yang masih membongkokkan badannya sehinggalah ketika Rasulullah s.a.w meletakkan dahi ke tempat sujud maka orang-orang yang berada di belakang baginda pun turut sujud.

Penyelarasan Di Antara Rukun rukun Sembahyang dan Meringankannya Tanpa Mencacatkan Sembahyang

724. Hadis Al-Bara' bin Azib r.a katanya: Aku mengamati sembahyangku bersama Muhammad s.a.w. Maka aku mendapati baginda berdiri, rukuk, bangkit sesudah rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, sujud lagi serta baginda duduk antara salam dan selesai sembahyang, semuanya hampir sama.


 726. Hadis Anas r.a katanya: Sesungguhnya aku tidak akan mempercepatkan sembahyang jika aku mengimami kamu sebagaimana aku melihat Rasulullah s.a.w mengimami kami. Thabit iaitu salah seorang perawi berkata: Anas melakukan sesuatu yang tidak pernah aku melihat kamu semua melakukannya. Apabila beliau mengangkat kepala dari rukuk, maka beliau berdiri tegak sehingga ada yang berkata dia telah lupa dan jika beliau mengangkat kepala dari sujud, maka dia diam sehingga ada yang berkata dia telah lupa.

Tuesday, 11 October 2011

Meminta Imam Supaya Mempercepat Sembahyang Tanpa Mencacat Sembahyang

713. Hadis Abu Mas'ud Al-Ansariy r.a katanya: Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: Aku akan datang lewat semasa sembahyang Subuh nanti disebabkan oleh Si Polan yang memanjangkan sembahyangnya. Aku belum pernah melihat Nabi s.a.w marah ketika memberi nasihat melebihi kemarahan baginda pada hari itu. Baginda bersabda: Wahai umatku sekalian! Sesungguhnya ada di antara kamu yang menjauhkan orang dari agama. Maka sesiapa di antara kamu menjadi imam, hendaklah dia mempercepatkan sembahyangnya kerana di belakangnya terdapat orang-orang tua, orang-orang yang lemah dan orang-orang yang mempunyai keperluan lain.


 714. Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w pernah bersabda: Apabila salah seorang dari kamu menjadi imam, hendak dia mempercepat sembahyangnya kerana di belakangnya terdapat kanak-kanak yang masih kecil, orang-orang tua, orang-orang yang lemah dan orang sakit. Maka apabila mereka mendirikan sembahyang bersendirian, boleh sembahyang sesuka hatinya.


 719. Hadis Anas r.a: Sesungguhnya Nabi s.a.w mempercepat sembahyang sehingga menyempurnakannya. 


 722. Hadis Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mendengar tangisan anak kecil bersama ibunya ketika baginda sedang sembahyang, lalu baginda pun membaca surah yang sedikit ayatnya atau surah yang pendek.