Sunday, 2 October 2011

Mengetahui Bentuk Penglihatan


Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya orang ramai telah bertanya Rasulullah s.a.w dengan berkata: Wahai Rasulullah! Adakah kami dapat melihat Tuhan kami pada Hari Kiamat? Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda:
 Adakah memudaratkan iaitu berbahaya jikalau kamu melihat bulan pada malam purnama? Mereka pun menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Baginda bertanya lagi kepada mereka: Adakah berbahaya jikalau kamu melihat matahari yang tidak dilindungi awan? Mereka menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Kemudian baginda bersabda: Begitulah juga kamu akan melihat-Nya, Allah s.w.t akan menghimpunkan seluruh manusia pada Hari Kiamat dan berkata kepada mereka bermaksud: Sesiapa yang menyembah sesuatu benda, maka ikutilah benda tersebut. Bagi orang yang menyembah matahari, mereka akan mengikut matahari tersebut. Bagi orang yang menyembah bulan maka mereka akan mengikuti bulan tersebut. Manakala orang yang menyembah taghut, maka mereka akan mengikuti taghutnya itu. Jadi tinggal lagi umat ini iaitu umat yang percaya kepada Allah termasuklah orang-orang munafik yang tetap dengan kemunafikan mereka. Lalu Allah mendatangi mereka dengan bukan gambaran-Nya yang sebenarnya di mana gambaran tersebut mereka kenal dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhanmu. Mereka berkata: Kami berlindung dengan Allah daripada engkau iaitu gambaran tersebut, beginilah pendirian kami sehingga Tuhan kami benar-benar datang kepada kami kerana kami mengenali-Nya. Lalu Allah mendatangi mereka dengan gambaran-Nya yang sebenarnya sebagaimana yang mereka kenali dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhan kamu. Mereka pun menjawab: Engkaulah Tuhanku. Mereka pun mengikut-Nya. Kemudian Allah merentangkan kepada mereka suatu titian yang merentangi neraka. Maka aku bersama umatku adalah orang pertama yang menyeberanginya. pada hari itu tiada seorangpun yang dapat berbicara kecuali para Rasul. Para Rasul berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Selamatkanlah, selamatkanlah. Di dalam neraka terdapat sejenis besi berkait seperti duri Saadan iaitu nama tumbuhan yang berduri besar, adakah kamu pernah melihat duri Saadan? Mereka pun menjawab: Ya, wahai Rasulullah! Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya ia seperti duri Saadan yang tidak diketahui sebesar manakah bentuknya kecuali Allah. Ianya menggait manusia bersama amalan mereka. Tinggallah orang-orang mukmin bersama amalannya yang berjaya melintasi neraka. Setelah Allah menetapkan hukuman di antara para hamba dan hendak mengeluarkan mereka dengan rahmatNya maka Dia akan memerintahkan para malaikat agar mengeluarkan mereka dari neraka tersebut. Manakala Orang yang tidak menyekutukan-Nya dan Dia menghendakinya maka mereka dikeluarkan dari sana dengan rahmat-Nya, begitu juga bagi orang yang berkata لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ sesungguhnya para Malaikat mengenali mereka semasa dalam neraka melalui kesan sujud. Api neraka akan memakan seluruh anggota anak Adam kecuali kesan sujud. Allah telah mengharamkan api neraka dari memakan kesan tersebut. Kemudian mereka dikeluarkan dari neraka dalam keadaan hangus, lalu disiram dengan air kehidupan, maka pulihlah mereka sebagaimana tumbuhnya benih dalam kawasan banjir iaitu lumpur. Setelah Allah selesai dari mengadili hamba-Nya, tinggal lagi seorang lelaki yang menghadapkan wajahnya ke neraka. Dia adalah ahli Syurga yang terakhir memasukinya. Dia berkata: Wahai Tuhanku, palingkanlah wajahku dari neraka kerana wapnya benar-benar menampar mukaku dan nyalaannya membakarku. Dia terus memohon daripada Allah sepuas-puasnya. Kemudian Allah s.w.t berfirman: Adakah kamu akan terus meminta sekiranya Aku menunaikan permintaanmu itu? Lalu dia menjawab: Aku tidak akan meminta lagi dari-Mu perkara lain. Lalu Allah memperkenankan permohonannya itu dan memalingkan mukanya dari neraka. Apabila dia berpaling menghadap Syurga dia terus terpegun, lalu dia memohon daripada Allah dengan berkata: Wahai Tuhanku, hampirkanlah aku kepada pintu Syurga. Maka Allah menjawab: Tidakkah engkau telah berjanji tidak akan meminta lagi perkara lain dariKu, celaka sungguh engkau wahai anak Adam. Dia pun menjawab: Tidak, demi keagungan-Mu, lalu dia berjanji lagi kepada Tuhannya. Lalu Allah mendekatkannya ke pintu Syurga. Setelah dia berdiri di ambang pintu Syurga, terbukalah pintu Syurga dengan luas untuknya, sehingga dia dapat melihat dengan jelas segala keindahan dan kesenangan yang terdapat di dalamnya. Dia terus diam terpegun untuk seketika, kemudian dia berkata lagi: Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam Syurga. Maka Allah s.w.t berfirman kepadanya: Bukankah engkau telah berjanji tidak akan meminta selain perkara yang telah Aku berikan? Celaka engkau wahai anak Adam. Lalu dia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku, aku tidak mahu menjadi makhluk-Mu yang paling malang. Dia terus berdoa kepada Tuhannya tanpa berputus asa sehinggalah Allah memperkenankan permintaannya lalu berfirman kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Setelah dia memasuki Syurga, Allah berfirman kepadanya: Pohonlah lagi. Maka dia terus memohon kepada Tuhannya dan dia terus meminta sehinggalah Allah mengingatkannya dengan beberapa perkara. Setelah habis permintaannya, Allah s.w.t pun berfirman: Apa yang berlaku itu merupakan kemurahanku kepadamu dan umatmu, begitu juga kepada umat lain bersama Nabi mereka.

Keterangan Tentang Al Masih Bin Mariam Dan Al Masih Dajal


Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
Aku benar-benar pasti diriku berada di dalam Hijir, pada ketika itu orang-orang Quraisy sibuk bertanya tentang perjalananku dalam peristiwa Israk itu. Mereka bertanya aku berbagai perkara mengenai Baitulmuqaddis yang kurang jelas pada ingatanku. Aku amat dukacita kerana aku belum pernah mengalaminya sebelum ini. Lalu Allah memperlihatkan kepadaku dari jauh sehingga aku mampu melihatnya. Walau bagaimana sekalipun bentuk pertanyaan yang diajukan kepadaku, aku tetap dapat menceritakan kepada mereka dengan jelas. Aku benar-benar pasti bahawa diriku berada dalam sekumpulan para nabi, aku melihat Nabi Musa a.s sedang berdiri mendirikan sembahyang, sememangnya dia seorang lelaki berbadan tinggi, kurus serta berambut kerinting, seolah-olah seorang lelaki dari Kaum Syanu'ah. Aku juga melihat Nabi Isa bin Mariam a.s yang sedang berdiri mendirikan sembahyang, manakala orang yang paling mirip dengannya ialah Urwah bin Mas'ud As-Saqafi. Selain dari itu aku juga melihat Nabi Ibrahim a.s yang sedang berdiri mendirikan sembahyang. Manakala Orang yang amat menyerupainya adalah sahabat kamu semua, maksudnya: Diri baginda sendiri. Ketika masuk waktu sembahyang, aku mengimami mereka, setelah selesai dari sembahyang ada suara memanggilku: Wahai Muhammad! Ini adalah Malik penjaga neraka, ucapkanlah salam kepadanya! Lalu aku menoleh kepadanya, ternyata dia lebih dahulu mengucapkan salam kepadaku.

Israk Rasulullah s.a.w Ke Langit Dan Kewajipan Sembahyang


Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menceritakan tentang perjalanan Israknya. Baginda bersabda:
 Nabi Musa a.s berkulit sawa matang dan tinggi seperti seorang lelaki dari Kabilah Syanu'ah. Manakala Nabi Isa a.s pula berbadan gempal, tingginya sederhana. Selain dari itu baginda juga menceritakan tentang Malik penjaga neraka Jahanam dan Dajal. 

Menenangkan Hati Orang Yang Bimbangkan Keimanannya Kerana Kelemahannya Serta Larangan Memastikan Keimanan Tanpa Dalil Yang Jelas




Hadis Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah membahagikan suatu pembahagian. Lalu aku mencelah: Wahai Rasulullah! Berilah kepada lelaki itu kerana dia juga seorang mukmin. Baginda bertanya dengan bersabda: Adakah dia juga seorang Islam? Aku menjawabnya sebanyak tiga kali tetapi baginda tetap juga meminta kepastian daripada aku sebanyak tiga kali dengan pertanyaan betulkah dia juga seorang Islam. Baginda seterusnya bersabda: Aku bimbang Allah meletakkan lelaki tersebut ke dalam neraka ekoran dari aku memberikan pembahagian kepadanya kerana ingin memujuk. Sedangkan masih ada orang lain yang lebih mengasihiku.

Kebimbangan Orang Mukmin Terhadap Amalannya Akan Sia sia


Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Ketika ayat ini diturunkan


: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ 

Yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi. Hingga ke akhir ayat 2 surat Al-Hujurat. Thabit bin Qais sedang duduk di rumahnya dan berkata: Aku ini termasuk dari ahli neraka! Beliau bersembunyi dari Nabi s.a.w sehingga Nabi s.a.w bertanya Saad bin Muaz. Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Abu Amru, bagaimanakah keadaan Thabit? Adakah dia sakit? Saad menjawab: Keadaannya seperti biasa dan aku tidak mendengar apa-apa berita yang menyatakan dia sakit. Anas berkata: Lalu Saad pun menziarahinya dan memberitahu kepadanya tentang percakapan beliau dengan Rasulullah s.a.w. Thabit berkata: Ayat ini diturunkan, sedangkan kamu semua mengetahui bahawa aku adakah orang yang paling keras bersuara, melebihi suara Rasulullah s.a.w. Kalau begitu aku ini termasuk dari ahli neraka. Maka Saad menceritakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: Bahkan beliau termasuk dari kalangan ahli Syurga. 

Pengharaman Perbuatan Khianat Dan Sesungguhnya Tidak Akan Masuk Syurga Kecuali Orang orang Yang Beriman


Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w menuju ke Khaibar. Allah memberikan kemenangan kepada kami, tetapi kami tidak mendapatkan harta rampasan perang berupa emas atau perak. Kami hanya memperolehi barang-barang, makanan dan pakaian. Kemudian kami berangkat menuju ke sebuah lembah dan terdapat seorang hamba bersama Rasulullah s.a.w milik baginda yang diberikan oleh seorang lelaki dari Juzam. Hamba itu bernama Rifa'ah bin Zaid dari Bani Ad-Dhubaib. Ketika kami menuruni lembah, hamba Rasulullah itu berdiri untuk melepaskan pelananya tetapi, dia terkena anak panah dan ternyata itulah saat kematiannya. Kami berkata: Ketenanganlah baginya dengan Syahid wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak mungkin! Demi zat yang menguasai Muhammad sesungguhnya sehelai baju yang diambilnya dari harta rampasan perang Khaibar, yang tidak dimasukkan dalam pembahagian akan menyemarakkan lagi api neraka ke atasnya. Abu Hurairah berkata: Maka terkejutlah orang-orang Islam. Lalu datanglah seorang lelaki dengan membawa seutas atau dua utas tali pelana, lalu berkata: Wahai Rasulullah, aku mendapatkannya semasa perang Khaibar. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Seutas atau dua utas tali pelana itu dari neraka.

Beratnya Hukum Membunuh Diri. Sesungguhnya Sesiapa Yang Membunuh Dirinya Sendiri Dengan Sesuatu, Maka Dia Akan Diazab Di Dalam Neraka Dengan Benda Tersebut Dan Sesungguhnya Tidak Akan Masuk Syurga Melainkan Jiwa Yang Muslim Iaitu Berserah Diri Kepada Takdir Allah


Hadis Sahl bin Saad As-Saa'idiy r.a: Rasulullah s.a.w telah bertemu dengan orang-orang musyrik dan terjadilah peperangan. Semasa Rasulullah kembali ke pasukan Muslimin dan orang kafir kembali ke pasukan mereka terdapat seorang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah s.a.w yang tidak membiarkan musuh berlalu begitu sahaja. Dia mengejar dan menetak musuh dengan pedangnya. Sahabat Rasulullah yang lain berkata: Pada hari ini tiada di kalangan kita yang benar-benar berpuas hati seperti yang dilakukan oleh Si Anu. Rasulullah s.a.w terus bersabda apabila mendengar kata-kata itu: Tetapi ingat! Dia tergolong dalam golongan ahli neraka. Seorang lelaki dari kaum Muslimin berkata: Aku akan mengikutnya sepanjang masa. Sahl bin Saad berkata lagi: Lelaki itu telah keluar bersama-sama dengan Si Anu, apabila Si Anu berhenti ketika berperang maka dia turut berhenti, ketika Si Anu bergerak pantas maka dia pun sama bergerak pantas. Lelaki itu telah menceritakan bahawa Si Anu telah mengalami luka parah. Oleh kerana tidak tahan dengan kesakitan yang dialami, maka dia ingin segera mati lalu dia telah meletakkan hulu pedangnya ke tanah lalu menikam dirinya sendiri. Lelaki itu keluar bertemu Rasulullah lalu berkata: Aku bersaksi sesungguhnya engkau Muhammad, sememangnya Rasul iaitu utusan Allah. Rasulullah bertanya dengan sabda baginda: Kenapa dengan kamu ni? Lelaki itu berkata: Lelaki yang engkau sebut-sebut sebagai ahli neraka dan kebanyakkan manusia iaitu sahabat dan pejuang-pejuang mengambil berat tentang hal ini, aku bersaksi kepada kamu Rasulullah s.a.w tentang Si Anu, aku telah keluar mengikutnya sepanjang peperangan sehingga aku dapati dia telah luka parah, dia ingin cepat mati, lalu dia telah meletakkan hulu pedangnya ke tanah dan mata pedang di antara dua dadanya kemudian dia menekan ke atas dirinya lantas membunuh dirinya sendiri. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ada lelaki yang beramal seperti amalan ahli Syurga sedangkan dia adalah ahli neraka. Ada juga lelaki yang beramal dengan amalan ahli neraka sedangkan dia adalah ahli Syurga.