Monday, 3 October 2011

Mengetahui Bentuk Penglihatan

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: Bahawa kaum Muslimin pada zaman Rasulullah s.a.w telah bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kami dapat melihat Tuhan kami nanti pada Hari Kiamat? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya! Adakah kamu merasa sukar untuk melihat matahari pada siang hari yang cerah, yang tidak ada awan? Adakah kamu merasa sukar untuk melihat bulan pada malam purnama yang cerah tanpa ada awan? Kaum Muslimin menjawab: Tidak, wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak akan mengalami kesukaran dalam melihat Allah Taala pada Hari Kiamat sebagaimana kamu tidak mengalami kesukaran untuk melihat salah satu dari matahari dan bulan. Apabila berlaku Hari Kiamat, para penyeru iaitu para Malaikat mengumumkan: Setiap umat hendaklah mengikuti apa yang mereka sembah sewaktu di dunia. Maka tidak akan kekal seorangpun dari mereka yang menyembah selain dari Allah, iaitu berhala-berhala. Mereka akan dihumban ke dalam neraka sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang dahulunya iaitu semasa di dunia menyembah Allah, orang-orang yang baik, orang-orang jahat dan saki-baki Ahli Kitab. Maka orang-orang Yahudi. dipanggil dan ditanya Kepada mereka: Apakah yang kamu sembah sewaktu di dunia? Mereka menjawab: Kami menyembah Uzair Ibnullah, lalu dikatakan kepada mereka: Kamu telah berdusta. Allah tidak pernah menjadikan walau seorangpun sebagai teman iaitu isteri atau anak. Maka mereka telah ditanya: Apa yang kamu inginkan? Mereka menjawab: Kami haus, wahai Tuhanku! Berilah kami minum. Lalu diisyaratkan kepada mereka: Tidakkah kamu inginkan air? Lalu mereka pun diiringi beramai-ramai ke neraka, neraka seolah-olah fatamorgana, sebahagiannya menghancurkan sebahagian yang lain. Mereka pun sama-sama terhumban ke dalam neraka. Kemudian dipanggil pula orang-orang Nasrani lalu ditanya kepada mereka: Apakah yang kamu sembah semasa di dunia? Mereka menjawab: Kami menyembah Al-Masih anak Allah, lalu dikatakan kepada mereka: Kamu telah berdusta! Allah tidak pernah menjadikan walau seorang pun sebagai teman iaitu isteri atau anak. Maka mereka telah ditanya: Apakah yang kamu inginkan? Mereka menjawab: Kami haus wahai Tuhanku, berilah kami minum. Lalu ditunjukkan kepada mereka: Tidakkah kamu inginkan air? Lalu mereka diiringi ke neraka Jahanam. neraka seolah-olah fatamorgana, sebahagiannya menghancurkan sebahagian yang lain. Mereka pun sama-sama terhumban ke dalam neraka, sehinggalah yang tinggal hanyalah orang-orang yang dahulunya menyembah Allah Taala, orang-orang baik dan orang-orang jahat. Maka Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam datang kepada mereka dalam bentuk yang lebih rendah daripada bentuk yang mereka ketahui lalu berfirman: Apakah yang kamu tunggu? Setiap umat akan mengikuti apa yang dahulunya mereka sembah. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Di dunia, kami memisahkan diri dari orang-orang yang menyusahkan kami iaitu untuk membantu penghidupan di dunia dan kami tidak mahu berkawan dengan mereka iaitu kerana mereka menyimpang dari jalan yang digariskan oleh agama. Allah berfirman lagi kepada mereka: Akulah Tuhan kamu! Mereka berkata: Kami mohon perlindungan daripada Allah kepada kamu, kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu pun untuk kali kedua atau ketiga sehingga sebahagian mereka hampir-hampir berubah iaitu kembali kepada kebenaran. Maka Allah berfirman: Apakah di antara kamu dan Allah terdapat tanda-tanda yang membuatkan kamu dapat mengenali-Nya? Mereka menjawab: Ya! Lalu disingkapkan keadaan yang menakutkan itu dan setiap orang yang hendak bersujud kepada Allah dengan keinginan mereka sendiri sudah pasti akan mendapat keizinan Allah sedangkan orang yang akan bersujud kerana takut atau untuk memperlihatkannya, maka Allah akan menyatukan belakangnya sehingga tidak boleh bersujud. Setiap kali hendak bersujud, dia hanya dapat membongkokkan pada tengkuknya. Kemudian apabila mereka mengangkat kepala, Allah telah pun berupa sebagaimana gambaran yang mereka lihat pertama kali tadi. Maka Allah pun berfirman: Akulah Tuhan kamu. Mereka menyahut: Engkau Tuhan Kami! Kemudian dibentangkan sebuah jambatan di atas neraka Jahanam dan yang dibenarkan ketika itu hanyalah syafaat dari Rasul-rasul di mana mereka mengucapkan: Ya Allah, selamatkanlah, selamatkanlah. Kemudian ada yang bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, apakah jambatan itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Ianya merupakan lumpur yang licin. Padanya juga terdapat besi berkait dan besi berduri. Di Najd terdapat tumbuhan berduri yang disebut Saadan. Maka seperti itulah besi-besi berkait tersebut. Kepantasan orang-orang mukmin melintasi jambatan tersebut ada seperti kerlipan mata, seperti kilat, seperti angin, seperti burung dan seperti kuda atau unta yang berlari kencang. Mereka terbahagi kepada tiga kumpulan: Selamat dan tidak mengalami apa-apa rintangan, selamat tetapi terpaksa menempuh banyak rintangan dan terkoyak serta yang terus terjerumus ke dalam neraka Jahanam. Pada saat orang-orang mukmin telah bebas dari azab neraka, maka demi zat yang menguasai diriku iaitu diri Rasulullah nescaya tidak ada orang yang begitu mengambil berat dalam mencari kebenaran, melebihi orang-orang mukmin yang mencari kebenaran daripada Allah demi kepentingan saudara-saudara mereka yang masih berada di neraka. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya dulu mereka berpuasa bersama kami, mendirikan sembahyang dan mengerjakan Haji. Lalu Allah berfirman kepada mereka: Keluarkanlah orang-orang yang kamu kenal kerana wajah-wajah mereka diharamkan ke atas api neraka. Maka ramai yang dapat dikeluarkan dari neraka. Ada yang sudah terbakar hingga separuh betis dan lututnya. Orang-orang mukmin itu berkata: Wahai Tuhan kami, tidakkah ada lagi yang tertinggal di dalam neraka setelah Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, siapa saja yang kamu temukan di hatinya ada kebaikan meskipun hanya seberat satu dinar, maka keluarkanlah. Jadi mereka dapat mengeluarkan ramai manusia. Lalu mereka berkata: Wahai Tuhan kami, Kami tidak tahu apakah masih ada di neraka seseorang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, sesiapa saja yang kamu temukan dihatinya ada kebaikan meskipun hanya seberat setengah dinar, maka keluarkanlah. Mereka dapat mengeluarkan ramai lagi manusia. Setelah itu mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami tidak tahu, apakah di sana masih ada seseorang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, sesiapa saja yang kamu temukan di dalam hatinya terdapat kebaikan meskipun hanya seberat zarah, maka keluarkanlah. Bertambah ramai lagi yang dapat dikeluarkan. Kemudian mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami tidak tahu adakah di sana masih ada pemilik kebaikan. Sesungguhnya Abu Said Al-Khudriy berkata: Jika kamu tidak mempercayaiku mengenai Hadis ini, maka bacalah firman Allah ayat 40 surah An-Nisa' 


إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ وَإِنْ تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِنْ لَدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا 

Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah dan jika ada kebaikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya serta memberikan dari sisiNya pahala yang besar. Allah s.w.t berfirman: Para Malaikat telah meminta syafaat, para nabi telah meminta syafaat dan orang-orang mukmin juga telah meminta syafaat. Yang tinggal hanyalah Zat Yang Maha Penyayang di antara semua yang penyayang. Lalu Allah merangkum dari neraka dan mengeluarkan sekumpulan orang yang sama sekali tidak pernah melakukan kebaikan. Mereka telah menyedari. Kemudian mereka dilempar ke sebuah sungai di pintu Syurga, yang disebut Sungai Kehidupan. Seterusnya mereka keluar seperti tumbuhan kecil yang keluar selepas dari banjir. Bukankah kamu sering melihat tumbuhan kecil di celah-celah batu atau pohon, bahagian yang terkena sinaran matahari akan berwarna sedikit kekuningan dan hijau, sedangkan yang berada di bawah tempat teduh akan menjadi putih? Para sahabat mencelah: Seolah-olah engkau pernah menggembala di gurun. Rasulullah s.a.w terus bersabda: Lalu mereka keluar bagaikan mutiara. Di leher mereka ada kalong, sehingga para ahli Syurga dapat mengenali mereka: Mereka adalah orang-orang yang dibebaskan oleh Allah, yang dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga, tanpa amalan yang mereka kerjakan dan juga tanpa kebaikan yang mereka lakukan. Kemudian Allah berfirman: Masuklah kamu ke dalam Syurga, apa-apa yang kamu lihat, ianya adalah untuk kamu. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, Engkau telah berikan kepada kami pemberian yang belum pernah Engkau berikan kepada seorang pun di antara orang-orang di seluruh alam. Allah berfirman: Di sisiKu ada pemberian untuk kamu yang lebih baik daripada pemberian ini. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, apa lagi yang lebih baik daripada pemberian ini? Allah berfirman: RedhaKu, lalu Aku tidak memurkai kamu selepas ini buat selama-lamanya.

Sunday, 2 October 2011

Mengetahui Bentuk Penglihatan


Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya orang ramai telah bertanya Rasulullah s.a.w dengan berkata: Wahai Rasulullah! Adakah kami dapat melihat Tuhan kami pada Hari Kiamat? Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda:
 Adakah memudaratkan iaitu berbahaya jikalau kamu melihat bulan pada malam purnama? Mereka pun menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Baginda bertanya lagi kepada mereka: Adakah berbahaya jikalau kamu melihat matahari yang tidak dilindungi awan? Mereka menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Kemudian baginda bersabda: Begitulah juga kamu akan melihat-Nya, Allah s.w.t akan menghimpunkan seluruh manusia pada Hari Kiamat dan berkata kepada mereka bermaksud: Sesiapa yang menyembah sesuatu benda, maka ikutilah benda tersebut. Bagi orang yang menyembah matahari, mereka akan mengikut matahari tersebut. Bagi orang yang menyembah bulan maka mereka akan mengikuti bulan tersebut. Manakala orang yang menyembah taghut, maka mereka akan mengikuti taghutnya itu. Jadi tinggal lagi umat ini iaitu umat yang percaya kepada Allah termasuklah orang-orang munafik yang tetap dengan kemunafikan mereka. Lalu Allah mendatangi mereka dengan bukan gambaran-Nya yang sebenarnya di mana gambaran tersebut mereka kenal dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhanmu. Mereka berkata: Kami berlindung dengan Allah daripada engkau iaitu gambaran tersebut, beginilah pendirian kami sehingga Tuhan kami benar-benar datang kepada kami kerana kami mengenali-Nya. Lalu Allah mendatangi mereka dengan gambaran-Nya yang sebenarnya sebagaimana yang mereka kenali dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhan kamu. Mereka pun menjawab: Engkaulah Tuhanku. Mereka pun mengikut-Nya. Kemudian Allah merentangkan kepada mereka suatu titian yang merentangi neraka. Maka aku bersama umatku adalah orang pertama yang menyeberanginya. pada hari itu tiada seorangpun yang dapat berbicara kecuali para Rasul. Para Rasul berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Selamatkanlah, selamatkanlah. Di dalam neraka terdapat sejenis besi berkait seperti duri Saadan iaitu nama tumbuhan yang berduri besar, adakah kamu pernah melihat duri Saadan? Mereka pun menjawab: Ya, wahai Rasulullah! Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya ia seperti duri Saadan yang tidak diketahui sebesar manakah bentuknya kecuali Allah. Ianya menggait manusia bersama amalan mereka. Tinggallah orang-orang mukmin bersama amalannya yang berjaya melintasi neraka. Setelah Allah menetapkan hukuman di antara para hamba dan hendak mengeluarkan mereka dengan rahmatNya maka Dia akan memerintahkan para malaikat agar mengeluarkan mereka dari neraka tersebut. Manakala Orang yang tidak menyekutukan-Nya dan Dia menghendakinya maka mereka dikeluarkan dari sana dengan rahmat-Nya, begitu juga bagi orang yang berkata لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ sesungguhnya para Malaikat mengenali mereka semasa dalam neraka melalui kesan sujud. Api neraka akan memakan seluruh anggota anak Adam kecuali kesan sujud. Allah telah mengharamkan api neraka dari memakan kesan tersebut. Kemudian mereka dikeluarkan dari neraka dalam keadaan hangus, lalu disiram dengan air kehidupan, maka pulihlah mereka sebagaimana tumbuhnya benih dalam kawasan banjir iaitu lumpur. Setelah Allah selesai dari mengadili hamba-Nya, tinggal lagi seorang lelaki yang menghadapkan wajahnya ke neraka. Dia adalah ahli Syurga yang terakhir memasukinya. Dia berkata: Wahai Tuhanku, palingkanlah wajahku dari neraka kerana wapnya benar-benar menampar mukaku dan nyalaannya membakarku. Dia terus memohon daripada Allah sepuas-puasnya. Kemudian Allah s.w.t berfirman: Adakah kamu akan terus meminta sekiranya Aku menunaikan permintaanmu itu? Lalu dia menjawab: Aku tidak akan meminta lagi dari-Mu perkara lain. Lalu Allah memperkenankan permohonannya itu dan memalingkan mukanya dari neraka. Apabila dia berpaling menghadap Syurga dia terus terpegun, lalu dia memohon daripada Allah dengan berkata: Wahai Tuhanku, hampirkanlah aku kepada pintu Syurga. Maka Allah menjawab: Tidakkah engkau telah berjanji tidak akan meminta lagi perkara lain dariKu, celaka sungguh engkau wahai anak Adam. Dia pun menjawab: Tidak, demi keagungan-Mu, lalu dia berjanji lagi kepada Tuhannya. Lalu Allah mendekatkannya ke pintu Syurga. Setelah dia berdiri di ambang pintu Syurga, terbukalah pintu Syurga dengan luas untuknya, sehingga dia dapat melihat dengan jelas segala keindahan dan kesenangan yang terdapat di dalamnya. Dia terus diam terpegun untuk seketika, kemudian dia berkata lagi: Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam Syurga. Maka Allah s.w.t berfirman kepadanya: Bukankah engkau telah berjanji tidak akan meminta selain perkara yang telah Aku berikan? Celaka engkau wahai anak Adam. Lalu dia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku, aku tidak mahu menjadi makhluk-Mu yang paling malang. Dia terus berdoa kepada Tuhannya tanpa berputus asa sehinggalah Allah memperkenankan permintaannya lalu berfirman kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Setelah dia memasuki Syurga, Allah berfirman kepadanya: Pohonlah lagi. Maka dia terus memohon kepada Tuhannya dan dia terus meminta sehinggalah Allah mengingatkannya dengan beberapa perkara. Setelah habis permintaannya, Allah s.w.t pun berfirman: Apa yang berlaku itu merupakan kemurahanku kepadamu dan umatmu, begitu juga kepada umat lain bersama Nabi mereka.

Keterangan Tentang Al Masih Bin Mariam Dan Al Masih Dajal


Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
Aku benar-benar pasti diriku berada di dalam Hijir, pada ketika itu orang-orang Quraisy sibuk bertanya tentang perjalananku dalam peristiwa Israk itu. Mereka bertanya aku berbagai perkara mengenai Baitulmuqaddis yang kurang jelas pada ingatanku. Aku amat dukacita kerana aku belum pernah mengalaminya sebelum ini. Lalu Allah memperlihatkan kepadaku dari jauh sehingga aku mampu melihatnya. Walau bagaimana sekalipun bentuk pertanyaan yang diajukan kepadaku, aku tetap dapat menceritakan kepada mereka dengan jelas. Aku benar-benar pasti bahawa diriku berada dalam sekumpulan para nabi, aku melihat Nabi Musa a.s sedang berdiri mendirikan sembahyang, sememangnya dia seorang lelaki berbadan tinggi, kurus serta berambut kerinting, seolah-olah seorang lelaki dari Kaum Syanu'ah. Aku juga melihat Nabi Isa bin Mariam a.s yang sedang berdiri mendirikan sembahyang, manakala orang yang paling mirip dengannya ialah Urwah bin Mas'ud As-Saqafi. Selain dari itu aku juga melihat Nabi Ibrahim a.s yang sedang berdiri mendirikan sembahyang. Manakala Orang yang amat menyerupainya adalah sahabat kamu semua, maksudnya: Diri baginda sendiri. Ketika masuk waktu sembahyang, aku mengimami mereka, setelah selesai dari sembahyang ada suara memanggilku: Wahai Muhammad! Ini adalah Malik penjaga neraka, ucapkanlah salam kepadanya! Lalu aku menoleh kepadanya, ternyata dia lebih dahulu mengucapkan salam kepadaku.

Israk Rasulullah s.a.w Ke Langit Dan Kewajipan Sembahyang


Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menceritakan tentang perjalanan Israknya. Baginda bersabda:
 Nabi Musa a.s berkulit sawa matang dan tinggi seperti seorang lelaki dari Kabilah Syanu'ah. Manakala Nabi Isa a.s pula berbadan gempal, tingginya sederhana. Selain dari itu baginda juga menceritakan tentang Malik penjaga neraka Jahanam dan Dajal. 

Menenangkan Hati Orang Yang Bimbangkan Keimanannya Kerana Kelemahannya Serta Larangan Memastikan Keimanan Tanpa Dalil Yang Jelas




Hadis Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah membahagikan suatu pembahagian. Lalu aku mencelah: Wahai Rasulullah! Berilah kepada lelaki itu kerana dia juga seorang mukmin. Baginda bertanya dengan bersabda: Adakah dia juga seorang Islam? Aku menjawabnya sebanyak tiga kali tetapi baginda tetap juga meminta kepastian daripada aku sebanyak tiga kali dengan pertanyaan betulkah dia juga seorang Islam. Baginda seterusnya bersabda: Aku bimbang Allah meletakkan lelaki tersebut ke dalam neraka ekoran dari aku memberikan pembahagian kepadanya kerana ingin memujuk. Sedangkan masih ada orang lain yang lebih mengasihiku.

Kebimbangan Orang Mukmin Terhadap Amalannya Akan Sia sia


Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Ketika ayat ini diturunkan


: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ 

Yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi. Hingga ke akhir ayat 2 surat Al-Hujurat. Thabit bin Qais sedang duduk di rumahnya dan berkata: Aku ini termasuk dari ahli neraka! Beliau bersembunyi dari Nabi s.a.w sehingga Nabi s.a.w bertanya Saad bin Muaz. Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Abu Amru, bagaimanakah keadaan Thabit? Adakah dia sakit? Saad menjawab: Keadaannya seperti biasa dan aku tidak mendengar apa-apa berita yang menyatakan dia sakit. Anas berkata: Lalu Saad pun menziarahinya dan memberitahu kepadanya tentang percakapan beliau dengan Rasulullah s.a.w. Thabit berkata: Ayat ini diturunkan, sedangkan kamu semua mengetahui bahawa aku adakah orang yang paling keras bersuara, melebihi suara Rasulullah s.a.w. Kalau begitu aku ini termasuk dari ahli neraka. Maka Saad menceritakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: Bahkan beliau termasuk dari kalangan ahli Syurga. 

Pengharaman Perbuatan Khianat Dan Sesungguhnya Tidak Akan Masuk Syurga Kecuali Orang orang Yang Beriman


Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w menuju ke Khaibar. Allah memberikan kemenangan kepada kami, tetapi kami tidak mendapatkan harta rampasan perang berupa emas atau perak. Kami hanya memperolehi barang-barang, makanan dan pakaian. Kemudian kami berangkat menuju ke sebuah lembah dan terdapat seorang hamba bersama Rasulullah s.a.w milik baginda yang diberikan oleh seorang lelaki dari Juzam. Hamba itu bernama Rifa'ah bin Zaid dari Bani Ad-Dhubaib. Ketika kami menuruni lembah, hamba Rasulullah itu berdiri untuk melepaskan pelananya tetapi, dia terkena anak panah dan ternyata itulah saat kematiannya. Kami berkata: Ketenanganlah baginya dengan Syahid wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak mungkin! Demi zat yang menguasai Muhammad sesungguhnya sehelai baju yang diambilnya dari harta rampasan perang Khaibar, yang tidak dimasukkan dalam pembahagian akan menyemarakkan lagi api neraka ke atasnya. Abu Hurairah berkata: Maka terkejutlah orang-orang Islam. Lalu datanglah seorang lelaki dengan membawa seutas atau dua utas tali pelana, lalu berkata: Wahai Rasulullah, aku mendapatkannya semasa perang Khaibar. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Seutas atau dua utas tali pelana itu dari neraka.