Friday 30 September 2011

Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia.”
Riwayat Abu Daud
Huraian:
  • Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.
  • Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.
  • Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.

Penghormatan Kepada Masjid

Dari Abi Qatadah as-Salmi r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke masjid, hendaklah ia mengerjakan sembahyang (tahyatul masjid) dua rakaat sebelum ia duduk.”
(Bukhari)
Huraian:
  • Masjid dan surau adalah tempat yang suci dan mulia yang diberi penghormatan dengan menamakannya “Baitullah” (rumah Allah).
  • Baitullah yang paling besar dan agung adalah Baitullah al-Haram yang terletak di Makkah al-Mukarramah. Ia merupakan kiblat umat Islam di seluruh dunia.
  • Apabila kita memasuki mana-mana masjid hendaklah kita menunaikan hak masjid terlebih dahulu iaitu dengan mengerjakan sembahyang dua rakaat sebelum duduk.
  • Sembahyang tersebut dinamakan sembahyang “Tahyatul masjid”. ‘Tahyat’ di sini bererti penghormatan iaitu sembahyang yang dikerjakan secara khusus semasa tiba di masjid. Hukumnya adalah sunat.

Aspek-aspek Ibadat


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bertafakur sesaat adalah lebih baik daripada beribadat setahun.”
Riwayat ad-Dailani
Huraian:
  • Islam menyediakan suatu jalan yang sempurna untuk manusia beribadat.Di mana setiap aspek ibadat bersesuaian dengan kekuatan dan keupayaan yang ada pada seseorang.
  • Ibadat bukan hanya himpunan amal seperti sembahyang, puasa, haji, doa dan sumpamanya tetapi apa jua perkara yang dilakukan dengan niat atau tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
  • Ibadat terbahagi kepada 4 aspek iaitu:

  • a) ibadat akal-ia dicapai dengan cara berfikir, merenung, mengkaji sesuatu makhluk Allah serta memerhatikan keindahan dan keagungan ciptaan Allah S.W.T.
  • b) Ibadat jiwa- ia dilakukan dengan adanya sifat khusyuk, tawakkal, redha terhadap qadha dan qadar, bersyukur, ikhlas, cinta, belas kasihan, al-khauf (takut) dan raja’ (mengharap). Tanpa sifat-sifat ini maka sesuatu ibadat itu dikatakan ibadat yang mati dan tidak diterima oleh Allah S.W.T.
  • c) Ibadat badan – iaitu segala amalan anggota tubuh termasuklah segala gerak-geri seperti mata, telinga, mulut, hidung, kaki, tangan dan sebagainya. Termasuk juga segala perkataan dan perbuatan.
  • d) Ibadat harta- iaitu dengan cara mengeluarkan zakat, mengerjakan haji, memberi nafkah dan mengorbankan harta fi sabilillah, bersedekah, dan menyediakan kemudahan untuk orang ramai (wakaf).

Persediaan Sebelum Tidur



Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.”
(al-Bukhari)
Huraian:
Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunah Rasulullah SAW. Dalam suatu riwayat menerangkan: “Daripada ‘Aisyah r.a katanya: “Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.” (at-Tirmizi) Selain itu sebelum tidur baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur. Ketika baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum baginda tidur semula. Berkenaan dengan cara tidur pula, Rasulullah SAW selain daripada tidur miring ke sebelah kanan, baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.

Lestarikan Kemerdekaan Dengan Perpaduan



Dari Amir bin Saad dari bapanya r.a katanya: “Pada suatu hari Rasululah s.a.w datang dari daerah perbukitan. Ketika baginda sampai di Masjid Bani Mu’awiyah baginda masuk ke masjid tersebut lalu solat dua rakaat. Kami pun solat bersama-sama dengan baginda.Baginda berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah berdoa baginda berpaling kepada kami lalu bersabda: “Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang. Maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan.”
(Bukhari)
Huraian:
Malaysia selaku negara yang merdeka dan berdaulat dengan Islam dijadikan sebagai agama rasmi dan umatnya sebagai penduduk majoriti merupakan suatu nikmat terbesar yang harus disyukuri oleh umat Islam di negara ini. Bagi mengekalkan keamanan dan kemerdekaan tersebut, semangat perpaduan antara umat Islam adalah faktor terpenting malah ia merupakan senjata yang paling ampuh dalam memastikan kedudukan Islam tidak terpinggir, ditelan oleh arus kemajuan dan pemodenan yang dipenuhi dengan segala kenikmatan yang melalaikan. Bahkan seharusnya selaku umat yang terbaik kita hendaklah sentiasa tegas dan berpegang pada prinsip Islam yang mahukan umatnya maju dan merdeka dalam segala aspek termasuklah merdeka daripada sebarang perkara yang menyesatkan jiwa dan minda atau dalam ertikata lain aqidah tidak terjajah dan minda tidak terpengaruh dengan ideologi-ideologi yang sesat.
Maka dengan dengan wujudnya keutuhan ummah dalam sebuah negara Islam yang merdeka, agama Islam juga hendaklah didaulatkan agar berkembang selari dengan keadaan dan zaman supaya nanti kemakmuran negara makin bertambah dan mendapat keredhaan daripada Allah, sesuai dengan ciri-ciri yang disebutkan di dalam al-Quran yang maksudnya: ”negeri yang baik (aman dan makmur) dan mendapat pengampunan Allah.” (Saba’: 15). Malah lebih daripada itu, segala apa yang berlaku di negara-negara Islam lain yang menghadapi tregedi-tragedi peperangan, penderitaan akibat kebuluran, pecah belah dan hura-hara harus diambil pengajaran oleh kita semua agar tidak ditimpa nasib yang sama.

Solat Jenazah



Dari Abdullah bin Abbas, r.anhuma, katanya; aku ada mendengar Rasul s.a.w, bersabda “Mana-mana orang Islam (lelaki atau perempuan) yang mati lalu disembahyangkan jenazahnya oleh 40 orang lelaki yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain nescaya Allah kabulkan doa permohonan mereka mengenainya”.
Riwayat Muslim
Huraian:
  • Betapa besarnya faedah solah jenazah secara beramai-ramai.
  • Ia juga selain menunjukkan bahawa keluarga atau penduduk sesebuah kampung itu begitu menyayangi pemergian kawan atau sahabat yang pergi dahulu sebelum mereka.
  • Sebagai penghormatan terakhir kepada si mati dengan doa agar Allah mengampuni dosanya dan ditempatkan bersama para salihin dan anbia.

Air Mazi Tidak Mewajibkan Mandi Hadas Besar


Daripada Ali bin Abi Talib r.a berkata : “Aku adalah seorang yang selalu keluar air mazi, lalu aku menyuruh al-Miqdad ibn al-Aswad bertanya kepada nabi SAW, lalu ia pun bertanya, maka baginda menerangkan : “Padanya, air sembahyang.”
al-Bukhari
Huraian:
Islam mempunyai peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak berhubung dengan amal ibadat. Oleh itu Islam tidak menerima ibadah seseorang melainkan setelah memenuhi syarat-syarat yang tertentu. Misalnya ibadah solat, ia disyaratkan berwuduk terlebih dahulu. Mengambil wuduk pula disyaratkan dengan air yang suci lagi bersih. Begitu juga wuduk seseorang dikira batal disebabkan oleh perkara-perkara tertentu.. Keluarnya air mazi yang najis merupakan salah satu perkara yang membatalkan wuduk seseorang. Maka, seseorang yang keluar air mazi tidak diwajibkan mandi tetapi hanya diwajibkan membasuh kemaluan dan berwuduk sahaja.
Umat Islam juga hendaklah membuang bersikap malu untuk bertanya sesuatu masalah agama kepada orang yang lebih mengetahui walau pun melalui orang perantaraan. Contohilah sahabat nabi SAW, Sayidina Ali bin Abu Talib r.a dalam menyelesaikan masalahnya.

Senjakala


Dari Jabir r.a katanya: “Jangan biarkan ternakan dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja.”
(Muslim)
Huraian:
  • Waktu senja adalah waktu matahari hampir terbenam (lebih kurang pukul tujuh malam) iaitu ketika hari hampir akan malam.
  • Waktu begini adalah saat di mana seseorang itu sepatutnya bersedia untuk menguruskan keperluan diri termasuklah bersiap sedia untuk ke masjid dan menunaikan solat maghrib. Maka adalah tidak wajar pada ketika tersebut anak-anak masih dibiarkan bermain-main di luar rumah memandangkan bahawa di saat inilah syaitan keluar untuk mengganggu manusia dan dibimbangi jika berlaku rasukan syaitan dan sebagainya.

Hanya Yang Suci


Dari Ibnu ‘Umar r.a., katanya: “Kudengar Rasulullah s.a.w. bersabda katanya: “Tidak diterima sembahyang tanpa bersuci, begitu pula derma yang didapat dari korupsi (pecah amanah).”
(Muslim)
Huraian:
Islam menilai yang terbaik hanyalah yang suci sebagaimana solat hanya akan diterima apabila sesorang itu telah bersuci. Allah SWT tidak menilai sesuatu kebaikan itu hanya daripada luaran semata-mata tetapi dinilai dari dalaman juga yang datangnya daripada hati.
Sesungguhnya apa jua kebajikan yang dilakukan walaupun dengan niat kerana Allah perlu diambil kira dari mana punca ia diperolehi sama ada halal atau pun haram. Samalah keadaannya dengan sepohon pokok yang tumbuh subur tetapi sebenarnya ia beracun yang jika dimakan akan membawa maut.

Tiga Kali Lebih Baik


Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: “Apabila Nabi SAW memberitahu sebuah pernyataan, baginda mengulanginya sampai tiga kali hingga orang ramai dapat memahami dan mengerti perkataannya dengan baik dan setiap kali nabi meminta izin untuk masuk (ke dalam rumah, ia mengetuk pintu) tiga kali dan mengucapkan salam.”
(al-Bukhari)
Huraian:
Simbolik tiga kali dalam sesuatu perbuatan bergantung pada situasi dan tempat. Dalam melakukan sesuatu perkara ibadah seperti mengambil wudhu’, kita dikehendaki melakukan pada satu-satu rukun itu sebanyak tiga kali kerana ia adalah lebih baik bahkan termasuk dalam perkara sunat.
Malah bagi kebanyakan perkara, perbuatan mengulang-ulang itu dianggap akan menyempurnakan kekurangan yang berlaku sebelumnya daripada langsung tidak melakukannya atau setidak-tidaknya menduakan malah lebih bagus menigakan dan seterusnya. Jika kurang dari tiga kali ditakuti menjadi kurang bermanfaat, khususnya dalam perbuatan mengingat atau menghafal ilmu yang menuntut kita mengulang-ulangnya beberapa kali sesuai dengan sifat manusia yang mudah lupa.
Tetapi ada juga berlaku sekiranya sesuatu itu dilakukan lebih dari tiga kali akan mengundang mudarat dan keburukan atau jatuh pada peringkat batal contohnya jika bergerak dengan sengaja lebih dari tiga kali sewaktu dalam solat, solat dianggap batal. Sesungguhnya dalam hal ini Islam menekankan tentang kesederhanaan dan menegah perbuatan melampaui batas. Justeru bilangan 3 kali adalah jalan paling selamat!

Balasan Meninggalkan Solat Asar


Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a beliau mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Orang yang luput solat Asarnya samalah ertinya dia telah kehilangan keluarga dan harta kekayaannya.”
(al-Bukhari)
Huraian:
Solat adalah perkara yang diwajibkan dalam Islam malah ia termasuk dalam salah satu daripada rukun Islam yang lima. Dari sudut pelaksanaan solat, seseorang itu tidak boleh sewenang-wenangnya meninggalkan solat kecuali mereka yang menghadapi suasana darurat yang membolehkan ia berbuat demikian sebagaimana yang dilakukan Nabi s.a.w dan umat Islam Madinah ketika berlaku peperangan Khandak yang sungguh sengit di mana pihak musuh telah mengepung Kota Madinah. Demi menjaga keselamatan mereka terpaksa menunda solat Asar hingga ke waktu Maghrib.

Aurat Antara Sesama Lelaki Dan Wanita


Dari Abu said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan. Lelaki tidak boleh berselimut sesama lelaki dalam satu selimut tanpa pakaian dan perempuan tidak boleh berselimut sesama perermpuan dalam satu selimut tanpa pakaian.”
(Bukhari)
Huraian:
Pakaian adalah satu keperluan penting bagi manusia. Secara lahirnya, pakaian melindungi manusia, tetapi secara batinnya adalah lambang kemuliaan insan. Syarak mendefinisikan bahawa aurat adalah sesuatu yang wajib disembunyikan dan haram dilihat. Menurut pendapat jumhur ulama’, wajib menutup aurat dalam semua keadaan sama ada pada waktu solat atau di luar solat.
Secara keseluruhannya empat mazhab utama dalam fiqh Islam iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali menetapkan bahawa aurat bagi lelaki adalah antara pusat dan lutut manakala bagi wanita ialah keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan berdasarkan nas yang kuat daripada al-Quran dan al-sunnah.

Sebab-sebab Batal Wudhu’


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Solat orang yang berhadas (keluar air kencing, membuang air besar dan kentut) tidak diterima (Allah) sebelum dia berwudhu.” Seorang yang berasal dari Hadramaut bertanya kepada Abu Hurairah: “Apakah hadas itu?” Abu Hurairah menjawab: “Hadas itu ertinya angin yang keluar dari lubang anus.”
(al-Bukhari)
Huraian:
Seseorang yang mahu mengerjakan solat wajib berwudhu’. Terdapat 5 perkara yang membatalkan wudhu’ iaitu:
  • Apabila terkeluar sesuatu dari dua jalan sama ada melalui qubul atau dubur (hadas kecil)
  • Tidur yang tidak tetap punggungnya, tetapi jika tidur dengan mengiring maka tidak batal wudhu’.
  • Hilang akal dengan sebab mabuk atau sakit.
  • Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang bukan mahram tanpa alas atau lapik.
  • Tersentuh kemaluan hadapan atau sekitar kawasan punggung lelaki, wanita atau dirinya sendiri tanpa alas. Tetapi jika tersentuh dengan belakang tapak tangan maka hukumnya tidak batal
Selain itu terdapat 11 perkara yang membatalkan Solat :
  • Meninggalkan salah satu rukun solat
  • Berhadas kecil atau besar
  • Makan atau minum
  • Terkena najis pada badan, pakaian dan tempat solat
  • Melakukan pergerakan pada anggota yang besar tiga kali berturut-turut
  • Berkata-kata
  • Berpaling dada daripada arah kiblat
  • Ketawa dengan mengeluarkan suara
  • Terbuka aurat dengan sengaja
  • Berubah niat
  • Murtad

Solat Dalam Keadaan Mengantuk


Diriwayatkan dari Anas r.a: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Apabila seseorang mengantuk ketika sedang mengerjakan solat hendaklah ia tidur terlebih dahulu hingga ia mengerti apa yang ia katakan (atau ia bacakan).”
(al-Bukhari)
Huraian:
Jika kita merasa sangat mengantuk dan letih eloklah sekiranya kita baring seketika. Selepas itu bangun dan ambillah wudhu’ dan tunaikan solat. Ingat! Jangan terus tertidur.
Sebenarnya seseorang itu hendaklah bersembahyang dengan kekuatan yang ada pada dirinya. Tidak secara terpaksa hingga tidak sedar tentang bacaan dalam solat mahupun bilangan rakaat yang telah dikerjakan. Solat seperti ini boleh membawa kepada batal.
Malah adalah lebih baik sekiranya setiap kali merasa mengantuk kita memperbaharui wudhu’ semula kerana dengan cara membasuh muka dan mengenakan air kepada anggota tubuh itu akan dapat menyegarkan semula badan kita dan kita menjadi bersemangat untuk mengerjakan solat.

Rasulullah Bersiwak


Diriwayatkan dari Abu Musa r.a: “Aku menemui Nabi Muhammad SAW dan aku melihat Nabi SAW membawa siwak dalam genggaman tangannya kemudian menyikat giginya dan terdengar suara “Uh!Uh!” seakan Nabi SAW hendak muntah ketika siwak itu masih berada di dalam mulutnya.”
(al-Bukhari)
Huraian:
Rasulullah SAW bersiwak setiap kali waktu solat, tetapi tidak memerintahkan sahabat untuk ikut bersiwak setiap kali hendak solat melainkan disuruh supaya berkumur-kumur ketika mengambil wudhu’.
Bersugi atau bersiwak adalah suatu perbuatan bagi membersihkan mulut dan gigi. Hukumnya adalah sunat tetapi masa yang paling dituntut ialah setelah bangun dari tidur, ketika hendak mendirikan sembahyang , ketika hendak membaca al-Quran dan ketika berubah bau mulut.
Alat untuk bersugi ialah tiap-tiap sesuatu yang suci dan kesat seperti berus gigi , kayu sugi dan lain-lain. Dari Aisyah r.a. Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya:”Bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya “.(al-Baihaqi )

Kedudukan Tangan Ketika Sujud


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Malik bin Buhaina r.a, ketika nabi Muhammad SAW mengerjakan solat, nabi memisahkan (merenggangkan) tangannya dari tubuhnya (dengan lebar) hingga ternampak ketiaknya yang putih.
(al-Bukhari)
Huraian:
Sujud dari segi istilah ialah “penyerahan diri yang tertinggi”. Tertib sujud ialah dengan meletakkan kedua-dua lutut ke lantai, baru diikuti tapak tangan dan seterusnya dahi. Kedua-dua tangan dirapatkan di bahagian bawah sedikit dari ibu jari, iaitu ada sedikit ruang terbuka di antara kedua-dua tangan dan di situlah dahi diletakkan.
Jangan sujud terlalu jauh ke hadapan kerana dikhuatiri akan melebihi lebih dari anggota sujud yang 7 iaitu dahi, kedua tapak tangan, kedua lutut dan kedua belah kaki (setakat jari sahaja). Ibu jari kaki dilenturkan sedikit agar menghala ke kiblat.
Rasulullah SAW ketika hendak sujud, baginda meletakkan kedua lututnya terlebih dahulu sebelum kedua tangannya. Setelah meletakkan kedua lutut, baginda kemudian meletakkan kedua tangan, lalu kening, lalu hidung. Ketika bangkit dari sujud, baginda mengangkat kepala terlebih dulu, lalu kedua tangannya, dan setelah itu baru kedua lututnya.

Solat Dalam Kenderaan





Diriwayatkan daripada Jabir r.a: “Nabi Muhammad SAW pernah mengerjakan solat (sunat) sambil menunggang haiwan tunggangannya (rahilah) ke mana pun baginda menghadap dan ketika Nabi SAW hendak mengerjakan solat wajib Nabi SAW turun dari tunggangannya dan solat menghadap kiblat (Kaabah di Mekah).”
(Al-Bukhari)
Huraian:
Islam mewajibkan kita melakukan solat malah haram ke atas kita meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan syarak. Sekiranya kita berada dalam musafir sekalipun kita juga diwajibkan solat.
Terdapat berbagai-bagai kaedah dan pilihan yang telah digariskan termasuklah tata cara solat di dalam kenderaan sama ada kereta, perahu, kapal selam, kapal terbang mahupun dalam kapal angkasa.
Dalil yang membolehkannya selain daripada hadis di atas ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar r.a. Seorang sahabat telah bertanya kepada Nabi SAW :”Bagaimanakah cara untuk saya bersolat dalam perahu ? Nabi SAW menjawab: Solatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam. Hadith di atas adalah sebagai dalil keharusan bersolat di atas kenderaan tanpa mengira apa jua jenis tersebut kerana ia bukanlah berkenaan hukum perahu tetapi ialah keharusan melaksanakan solat di atas kenderaan seperti mana Nabi SAW dan para sahabat yang pernah bersolat secara duduk di atas binatang tunggangan mereka. Baginda memberi isyarat yang sujud lebih rendah daripada rukuk. Solat sebegini adalah sah jikalau benar-benar menghadapi kesukaran.

Berkumur Sebelum Solat



Diriwayatkan daripada Suwaid bin al-Nu’man r.a: “Pada tahun terjadinya perang Khaibar aku pergi bersama Rasulullah SAW hingga kami tiba di Shahba, sebuah tempat dekat Khaibar, tempat Rasulullah SAW mengerjakan solat Asar dan meminta makanan. Tidak ada makanan lain kecuali sawiq. Nabi SAW menyuruh mencucinya terlebih dahulu. Kami semua memakannya dan tidak lama kemudian Nabi SAW berdiri untuk solat Maghrib, berkumur-kumur dan kami mengerjakan hal yang sama lalu mengerjakan solat dengan tidak mengulang wudhu’.”
(al-Bukhari)
Huraian:
Makan dan minum bukanlah perkara yang membatalkan wudhu’ tetapi ia adalah perkara yang membatalkan sembahyang jika berlaku dalam sembahyang. Justeru bagi sesiapa yang mengambil makanan dan ingin mengerjakan solat dengan wudhu’ yang sedia ada digalakkan untuk berkumur terlebih dahulu sebagai langkah pembersihan mulut iaitu jika tidak berkesempatan memberus gigi kerana memberus gigi adalah cara yang terbaik untuk membuang sisa-sisa makanan yang melekat di celah-celah gigi.
Rasulullah SAW dalam hal ini pernah bersabda yang maksudnya, “Sekiranya tidak memberatkan umat ku, nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak (memberus gigi) setiap kali ingin bersolat.” (Bukhari) Manakala ada dari riwayat yang lain mengatakan, “… Setiap kali hendak berwudhu’” (Bukhari)

solat menjamin nafkah harian




Hafiz ibn Qayyum menulis bahawa solat menjamin nafkah harian,menyihatkan kesihatan badan,menghilangkan penyakit,meneguhkan hati,memberi cahaya cahaya dan kecantikan pada wajah,menggembirakan ruhani,menyegarkan tubuh badan dari rasa malas,melegakan fikiran,memberi makanan ruhani,mencerahkan hati dan menjamin keredhaan ALLAH s.w.tIa menjadi pelindung pada hari Qiamat.Ia menjauhkan syaitan dari kita untuk mendekati ALLAH s.w.t.Pendek kata solat adalah satu jaminan bagi segala yang diidam-idamkan dan satu benteng bagi segala yang tidak diingini untuk jasad dan ruhani- sama ada di dunia maupun di akhirat.

Tiga perkara dalam dunia ini yang sangat-sangat kuhargai; wangi-wangian; wanita dan solat - 'penyejuk mataku


Sekali peristiwa sedang Rasulullah s.a.w duduk bersama-sama dengan para sahabatnya Baginda bersabda:"Tiga perkara dalam dunia ini yang sangat-sangat kuhargai; wangi-wangian; wanita dan solat - 'penyejuk mataku'.Sahut Abu Bakar r.a. "Benar! Dan daku menghargai tiga benda - melihat wajahmu,membelanjakan harta kekayaanku atasmu dan bahawasanya anak perempuanku menjadi isterimu ya Rasulullah." Sahut Umar r.a " Benar! dan tiga perkara yang paling aku cintai ialah - menegak kebenaran; mencegah kemungkaran dan memakai pakaian yang bertampung." Sahut Osman r.a "Benar! Dan tiga perkara yang paling kucintai ialah- memberi makan orang yang lapar; memberi pakaian kepada orang yang telanjang dan membaca Al-Quran." Sahut Ali r.a " Benar! Dan daku paling cinta tiga perkara ini- melayani tetamu,berpuasa pada hari yang panas terik dan memancung kepala musuh dengan pedangku."
Pada ketika itu Jibrail a.s pun muncul seraya berkata kepada Rasulullah s.a.w "ALLAH s.w.t telah mengutuskan daku supaya memberitahukan pada anda apa yang daku cinta sekiranya daku ini seorang manusia." Sahut rasulullah s.a.w "Khabarkanlah kepada kami ya Jibrail." Kata Jibrail a.s " Sekiranya daku serupa anda daku akan cinta tiga perkara- memimpin orang yang sesat; mengasihi mereka yang solat dalam keadaan miskin dan papa; dan membantu keluarga orang-orang miskin, dan bagi ALLAH s.w.t Dia mencintai tiga perkara dari para hambaNya- Yang berjuang pada jalanNya; yang menangis pada ketika bertaubat dan yang teguh sabar pada masa lapar dan dahaga."

Solat malam rasulullah


Salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w menceritakan bahawa satu malam beliau ke masjid.Beliau mendapati Rasulullah s.a.w sedang berdiri dalam solat.Beliaupun ingin menyertainya.Lalu beliau berniat dan berdiri di belakang Rasulullah s.a.w Pada masa itu rasulullah s.a.w sedang membaca surah Baqarah.Beliau fikir bahawa pada akhir ayat yang ke seratus Rasulullah s.a.w akan berhenti membaca dan akan ruku',tetapi Rasulullah s.a.w tidak berbuat demikian.Beliau lantas berfikir barangkali Rasulullah s.a.w akan ruku' setelah selesai membaca ayat yg kedua ratus;di sinipun Rasulullah tidak berhenti.Beliau kemudian yakin bahawa Rasulullah s.a.w akan selesai berdiri dengan akhirnya surah itu.Apabila tamat surah itu Rasulullah s.a.w memuji ALLAH dengan 'Allahumma lakal hamdu' beberapa kali lantas mula membaca surah Ali Imran.Apabila tamat surah itu Baginda sekali lagi memuji ALLAH dengan 'Allahumma lakal hamdu' tiga kali lantas mulai membaca surah AL Maidah.Rasulullah s.a.w turun ruku'nya hanya selepas selesai surah ini.Dalam ruku' dan sujud Rasulullah s.a.w membaca tasbih dan beberapa doa lain yang tidak dapat beliau faham.
Pada rakaat yang kedua rasulullah s.a.w mulai dengan surah Al An'am selepas Al fatihah.Beliau tak dapat meneruskan solatnya lagi dengan Rasulullah s.a.w lalu beliau keluar dari solatnya itu dengan perasaan malas.Apa yang Rasulullah telah baca dalam satu rakaat adalah kira-kira seperenam daripada Al Quran.Lagi pula Rasulullah s.a.w mesti baca Al Quran itu dengan tajwid yang sempurna.Kita faham betapa lamanya satu-satu rakaat itu.Adalah kerana ini maka kaki Rasulullah s.a.w selalu didapati bengkak.tetapi tidaklah seseorang itu merasa payah dan susah mengerjakan solat kalau hatinya telah dipenuhi dengan kemanisan solat itu.

Aku telah berjanji dengan diriKu barang siapa mengerjakan solatnya pada ketika masuk waktunya,maka dia akan dimasukkan ke dalam syurg



Abu Qatasah r.a meceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:"ALLAH berfirman,'Hai Muhammad! Aku telah mewajibkan lima kali solat sehari semalam bagi ummatmu.Aku telah berjanji dengan diriKu barang siapa mengerjakan solatnya pada ketika masuk waktunya,maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga.Ummatmu yang tidak menjaga solatnya tidak termasuk dalam perjanjian ini."
Adalah diriwayatkan di dalam sepotong hadits lagi bahawa ALLAH s.w.t telah mewajibkan sembahyang lima waktu dan barang siapa menjaga solatnya dengan berwudhuk dengan sempurna dansembahyang pada ketika masuk waktunya dengan ikhlas dan khusyuk, ALLAH s.w.t menjamin iaitu dia akan memasuki syurga.Barang siapa tidak menjaga solatnya maka tidak ada jaminan ini baginya;dia mungkin diampun atau tidak.
Sesungguhnya solat merupakan satu ibadat yang tidak ternilai harganya.Ia memberikan kepada kita peluang mendapat jaminan ALLAH s.wt memasuki syurgaNya.Kita merasa puas hati dan gembira apabila seorang yg terhormat lagi kaya atau mempunyai kuasa pemerintah memberikan jaminan kepada kita untuk mendapat sesuatu dari keperluan duniawi ini dan kita menganggapnya sebagai tugas kitalah supaya kekal mentaatinya.Di sini ALLAH s.w.t memberikan jaminanNYa utk kebahagiaan abadi sesudah mati kerana bersembahyang lima kali sehari semalam yang tidak mengambil masa lama manapun.Kalau dengan inipun kita tidak mahu menerima peluang ini maka diri kita sendirilah yang harus dipersalahkan bagi menerima seksa yang menunggu kita.


Dua rakaat solat nafil selepas solat fardhu lebih baik daripada harta-harta rampasan




Ibn Salman berkata bahawa seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w menceritakan: "Apabila kami telah menang peperangan Khaibar,kami mulai membeli dan menjual antara kami harta-harta rampasan yang jatuh ke tangan kami.Salah seorang dari kami telah pergi menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: "Ya Rasulullah;Tidak ada seorangpun yang mendapat keuntungan seperti yang hamba perolehi dalam perniagaan hari ini." Rasulullah s.a.w bertanya: "Berapa banyakkah yang telah anda dapati?" Jawabnya,"hamba terus menjual dan membeli sehingga hamba perolehi keuntungan bersih tiga ratus oqiyyah perak." Rasulullah s.a.w bersabda: "Mahukah, saya memberitahukan anda sesuatu yang lebih baik daripada itu?" Sahutnya "Beritahulah pada hamba,Ya Rasulullah!" Rasulullah s.a.w bersabda: "Dua rakaat solat nafil selepas solat fardhu."
Di Pakistan dan di India wang sebanyak tiga ratus oqiyyah perak itu adalah kira-kira tiga ribu rupiah.Menurut Rasulullah s.a.w keuntungan di dunia yang fana ini tiada bandingannya dengan keuntungan abadi di akhirat.Hidup kita akan senang kalu kita suburkan iman kita sehingga solat nafil dua rakaat,pada pandangan kita adalah lebih berharga dari segala kekayaan di dunia ini.Solat adalah sesungguhnya perbendaharaan yang kaya dan itulah sebabnya Rasulullah s.a.w telah mengibaratkannya sebagai 'pengipur mataku' serta memerintahkan agar solat itu ditunaikan hingga ke akhir hayatnya.Ummu Salmah r.h.a memberitahu bahawa kalam yang akhir Rasulullah s.a.w yang hampir-hampir beliau tidak dapat tuturkan ialah memberati solat dan berlaku baik terhadap hamba sahaya.Ada juga sebuah hadits yang semakna dengannya yang diberitakan oleh Saidina Ali r.a.

Hai anak Adam! Bangunlah dan padamkanlah api yang sedang kamu nyalakan utk membakari dirimu




Ibn Mas'ud r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda "Menjelangnya waktu solat seorang malaikat adalah ditugas supaya menyeru:"Hai anak Adam! Bangunlah dan padamkanlah api yang sedang kamu nyalakan utk membakari dirimu." Manusiapun bangun,berwudhuk dan sembahyang Zuhur.Ini menyebabkan dosa-dosa yang dilakukan sejak matahari terbit terampun.Demikianlah diulangi pada waktu Asar,Maghrib dan Isyak.Selepas Isyak oarng tidur,tetapi ada sesetengah sibuk mengerjakan kebaikan dan selebihnya sibuk mengerjakan maksiat."
Salman r.a berkata: Selepa Isyak manusia adalah dibahagikan kepada tiga golongan.Ada setengahnya, malam hari itu padanya adalah sumber kebajikan dan keuntungan.Mereka itu menghabiskan malamnya dengan menyembah ALLAH s.w.t sementara orang lain nyenyak tidur;pada mereka malam hari itu mendatangkan pahala yang besar dari Tuhan mereka.Pada yang lain-lain malam hari menjadi bebanan dan kutukan baginya kerana mereka mengerjakan berbagai macam maksiat pada malam hari.Bagi mereka malam hari membawa kepayahan dan kesusahan.
Golongan yang ketiga pula ialah selepas sahaja Isyak terus tidur.Mereka untung tidak,rugipun tidak.

siapa paling banyak amalnya dialah masuk syurga terlebih dahulu




Abu Hurairah menceritakan,"Dua orang dari satu qabilah datang kepada Rasulullah s.a.w dan memeluk agama Islam serentak.Salah seorang darinya mati syahid dalam satu pertempuran dan seorang lagi meninggal dunia setahun kemudiannya.Talhah bin Ubaidullah r.a berkata bahwa telah melihat dalam mimpinya bahawa orang yang mati kemudian telah dimasuki ke dalam Syurga dahulu dari simati syahid itu.Ini menakjubkannya.Daku tidak ingat sama ada beliaukah atau orang lain yang menceritakan mimpi ini kepada Rasulullah s.a.w.Bagaimanapun Rasulullah s.a.w bersabda: "Bukankah orang yang mati kemudian itu berpuasa sebulan Ramadhan lebih dan bukankah beliau telah bersolat 6 ribu rakaat atau lebih semasa setahun yang beliau hidup setelah si syahid itu mati?"
Sesungguhnya kita tidaik tahu berapa besar nilainya solat itu.Rasulullah s.a.w kerap didengar bersabda, "Sejuk pandangan mataku ialah di dalam bersolat." Ini adalah satu kenyataan betapa kasihnya beliau terhadap solat.Demi itu apakah lagi yang lebih nilainya dari solat.

Apabila seseorang mengambil wudhuk dengan sempurna lalu menunaikan solat fardhunya,ALLAH s.w.t mengampun segala dosanya




Abi Muslim At-Tighlibi r.a meriwayatkan,"Sekali daku pergi menemui Abu Umamah r.a tatkala beliau berada di dalam masjid.Daku bertanya pada beliau sekiranya beliau benar-benar mendengar Rasulullah bersabda bahawa apabila seseorang mengambil wudhuk dengan sempurna lalu menunaikan solat fardhunya,ALLAH s.w.t mengampun segala dosanya yang telah dilakukan pada hari itu oleh kakinya yang bergerak ke arah melakukan maksiat,oleh tangannya yang berbuat maksiat,oleh telinganya yang mendengra berita-berita maksiat,oleh matanya yang melihat maksiat dan oleh hatinya yang tersedik ke arah maksiat.Jawabnya,"Demi ALLAH!Daku mendengar perkataan ini dari Rasulullah s.a.w berkali-kali."
Ramai para sahabat Rasulullah s.a.w telah meriwayatkan hadis ini dengan sedikit sebanyak bezanya.Mereka telah dirahmati dengan 'kasyaf' dapatpun menyaksi dosa-dosa itu gugur.
Adalah diberitakan bahwa Imam Abu Hanifah dapat mengatakan dari air yang menititk dari anggota orang yang sedang berwudhuk dosa yang manakah yang telah diampun dengan wudhuknya itu.
Dari satu riwayat daripada Osman r.a Rasulullah s.a.w adalah diberikan telah memberi amaran kepada mereka yang bermegah melakukan maksiat dengan harapan dosa-dosa itu akan terampun dengan merngerjakan solat.
Sesungguhnya kita tidak ada alasan merasa megah atas hal ini.Pada halnya apakah mutu solat yg kita kerjakan? Andaikata ALLAH s.w.t membebaskan dari kewajipan-kewajipan kita maka itu adalah semata-mata belas kasihanNya,yg istimewa.Melanggari perintah-perintah ALLAH s.w.t adalah satu-satunya perangai terkeji,kerana ALLAH s.w.t itu Pengasih,Penyayang lagi Pengampun.

Solatlah dirumah-rumahmu selalu agar rumah-rumahmu itu dicucuri rahmat serta rahim oleh ALLAH s.w.t.




Ibn Sirin berkata, "Sekiranya aku dibenarkan memilih di antara Syurga dan solatdua rakaat maka akan ku pilih solat;sebabnya adalah jelas.Syurga adalah untuk nikmatku padahal solat adalah untuk nikmat ALLAH s.w.t.
Rasulullah bersabda, "Alangkah dicemburuinya golongan orang-orang Islam yang paling sedikit mempunyai kesukaran;harta kekayaannya ialah solat;seumur hidupnya bersyukur dengan apa yg diperolehinya;menyembah Tuhannya dengan penuh khusyu';hidup tanpa disanjung-sanjung dan mati muda dengan hampir-hampir tidak mempunyai harta-harta pusaka yang hendak diwasiatkan dan amat sedikit orang yang hendak mengkabunginya."
Dalam hadits lain Rasulullah s.a.w diberitakan sebagai bersabda,"Solatlah dirumah-rumahmu selalu agar rumah-rumahmu itu dicucuri rahmat serta rahim oleh ALLAH s.w.t."

Apabila Rasulullah tersua dengan sesuatu kesulitan,lantas Baginda bersolat




Huzaifah r.a berkata apabila Rasulullah tersua dengan sesuatu kesulitan,lantas Baginda bersolat.Solat adalah satu rahmat yang besar dari ALLAH s.w.t bersolat pada ketika menghadapi sesuatu kesusahan adalah seumpama bersegera mencari rahmat ALLAH s.w.t dan apabila rahmat ALLAH itu tiba menyelamatkan pastilahbahawa bekas-bekas kesulitan itu tidak akan ada lagi.
Memang ada banyak mengenai amalan-amalan Rasulullah s.a.w seperti ini.Demikian ada banyak amalan para sahabat yang mengikuti amalan-amalannya yang sehingga sekecil-kecilnya pun.
Kata Abu Darda r.a ,"Apabila angin kencang meniup Rasulullah segera masuk ke masjid dan Baginda tidak akan keluar sehingga angin itu reda.Demikian juga pada ketika gerhana matahari atau bulan baginda akan bersolat."

olat yang dikerjakan dengan memberati segala rukunnya samalah ibarat dengan air sungai iaitu ia akan membersihkan jiwa dari segala dosa




Jabir r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,"Lima kali solat setiap hari itu adalah seumpama sebuah anak sungai yang dalam mengalir di depan pintu rumah seseorang yang mandi di dalamnya lima kali sehari."
Pada umumnya air yang mengalir adalah bersih,tak kotor dan lebih dalam air itu mengalir lebih jernih dan lebih bersih ia.Bermandian di dalam air yang sebersih itu pastilah habis segala kotoran yang ada pada tubuh dan bersihlah ia.Solat yang dikerjakan dengan memberati segala rukunnya samalah ibarat dengan air sungai iaitu ia akan membersihkan jiwa dari segala dosa.
Ada banyak hadits yang seerti walaupun matanya berbeza sedikit yang dilapurkan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w.

solat yang dikerjakan lima kali pada sehari.Dengan limpah rahmat ALLAH,ia menghapuskan segala dosa



Abu Hurairah menceritakan menceritakan bahwa beliau mendengar Rasulullah s.a.w sekali bertanya pada sahabatnya,"Adakah kamu percaya bahwa kotoran melekat pada tubuh seorang yang mandi lima kali sehari dalam sungai yang mengalir di depan rumahnya?" Jawab para sahabat,"Tidak,kotoran tidak akan melekat pada tubuhnya." Sabda Rasulullah s.a.w,"Begitulah umpamanya kesan solat yang dikerjakan lima kali pada sehari.Dengan limpah rahmat ALLAH,ia menghapuskan segala dosa.

sesungguhnya perbuatan yg baik itu menghapuskan perbuatan-perbuatan yang buruk




Abu Usman r.a bekata,"Pada suatu hari Salman r.a dan aku sedang duduk di bawah sepohon kayu.Beliau ambil sebatang ranting kering dari pohon tersebut lalu menggoncang-goncangkannya hingga kesemua daunnya gugur.Kemudian kata beliau padaku,"Hai Abu Usman! Mengapa kamu tidak tanya kenapa aku berbuat demikian ini?" Sahutku,"Sila khabarkanlah padaku." Kata beliau,"Beginilah Rasulullah s.a.w melakukan di hadapanku semasa kubersamanya di bawah sepohon kayu.Baginda ambil ranting kering pohon tersebut lalu menggoncang-goncangkannya hingga kesemua daunnya gugur seraya Baginda s.a.w bersabda,"Wahai Salman!mengapa kamu tidak tanya kenapa aku buat demikian ini?" Sahutku,"Sila khabarkan padaku kenapa Baginda buat begini." Sabda Baginda, "Bahawasanya apabila seorang Islam mengambil wudhu dengan sempurna,kemudian dia laksankan solat lima kali pada sehari maka dosa-dosanya gugur seperti mana daun-daun ini gugur."
Lantas Baginda membaca ayat-ayat Quran yg bermaksud "Dirikanlah solat pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam,sesungguhnya perbuatan yg baik itu menghapuskan perbuatan-perbuatan yang buruk(dosa);itulah peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat" (Hud 11:114)

Apabila seorang Islam menunaikan solatnya kerana ALLAH,dosanya gugur seperti daun-daun gugur dari pohon




Abu Zar r.a meriwayatkan bahwa ada sekali Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya.Pada masa itu ialah musim daun-daun gugur.Baginda ambil ranting sebatang pohon yg daun-daunnya mulai gugur dengan lebatnya,seraya Baginda s.a.w bersabda,"Ya Abu Zar! Apabila seorang Islam menunaikan solatnya kerana ALLAH,dosanya gugur seperti daun-daun ini gugur dari pohon ini".
Biasanya di musim daun-daun gugur,lebatlah daun-daun gugur dari pohonnya sehingga pada setengah-setengah pohon tak ada sehelai daun pun yang tinggal>begitulah kesannya solat yg dilaksanakan dengan penuh khsyuk dan tawaduk.Segala dosa yg dilakukan oleh seseorang yg bersolat adalah dihapuskan.Bagaimanapun hendaklah diingat menurut ahlul kalam hanya dosa-dosa kecil saja yg terampun dengan solat.Dosa-dosa besar tidaklah terampun tanpa bertaubat.
Oleh itu,patutlah kita,disamping bersolat,jangan lupa beristighfar dan bertaubat.Semoga ALLAH s.w.t dengan limpah rahmatNya,mengampun juga dosa-dosa besar yang terlaku oleh seseorang berkat solatnya kerana ALLAH.

Islam tertegak atas lima rukun



Abdullah ibn Umar r.a meriwayatkan bahwa Rasulullah s.a.w bersabda,"Islam tertegak atas lima rukun: Bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain ALLAH dan Muhammad adalah hambaNya serta RasulNya;mendirikan solat;membayarkan zakat;mengerjakan haji dan puasa pada bulan Ramadhan."


Agama Islam adalah diibaratkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai sebuah khemah yg disokong oleh lima batang tiang.Tiang tengahnya ialah Kalimah Syahadah.Empat tiang lagi itu ialah tiang-tiang sokongan yakni satu tiang pada tiap satu penjuru khemah itu.Tanpa tiang tengah maka tiang itu tidak boleh ditegak dan sekiranya mana-mana satu dari tiang sokongan yg di penjuru itu hilang maka akibatnya runtulah penjuru khemah yang rosak itu.Kini marilah kita lihatlah dengan mata kita sendiri sejauh manakah yg telah kita tegakkan agama Islam itu.Benarkah tiap-tiap tiang itu telah ditegakkan pada tempatnya dengan sempurna?