Friday, 7 October 2011

Bacaan Ketika Sembahyang Subuh

702. Hadis Abu Barzah r.a: Rasulullah s.a.w membaca ayat-ayat Al-Quran semasa sembahyang Subuh sebanyak enam puluh hingga seratus ayat.

Bacaan Ketika Sembahyang Zuhur Dan Asar

685. Hadis Abu Qatadah r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w berjemaah bersama kami pada sembahyang Zuhur dan Asar, baginda membaca surah Al-Fatihah dan dua surah pada dua rakaat yang pertama. Kadang-kadang baginda menyaringkan bacaan ayatnya kepada kami. Baginda memanjangkan rakaat pertama dan memendekkan rakaat kedua ketika sembahyang Zuhur demikian juga ketika sembahyang Subuh.

Meninggikan Bacaan Di dalam Sembahyang Subuh Dan Membaca Al Quran Kepada Jin

681. Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w belum pernah membaca Al-Quran dan mengajar agama kepada jin dan belum pernah pula melihat mereka. Kisahnya, baginda berangkat bersama dengan rombongan para sahabat menuju ke pasar Ukaz Pada ketika itu, tipu muslihat antara syaitan dan berita dari langit dihalangi dan mereka dilempari dengan panah api. Maka mereka pun kembali kepada kaum mereka, lalu berkata: Antara kami dan berita dari langit ditipu daya dan kami dilempari dengan panah api. Kaum mereka berpendapat: Keadaan itu adalah kerana ada sesuatu yang luar biasa berlaku. Pergilah ke bumi di sebelah timur dan barat. Telitilah apa yang menghalangi antara kita dan berita dari langit. Mereka pun pergi ke bumi di sebelah timur dan barat. Sekumpulan jin dari mereka menuju ke arah Tihamah iaitu mengikuti Nabi s.a.w. Baginda berada di bawah pokok tamar dalam perjalanan ke pasar Ukaz. Pada saat itu, baginda sedang sembahyang Subuh bersama para sahabat. Ketika mereka mendengar Al-Quran, mereka memerhatikannya, lalu berkata: Inilah yang menghalangi antara kita dengan berita dari langit. Maka mereka pun kembali kepada kaum mereka lalu berkata: Wahai kaumku. إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ وَلَنْ نُشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا Yang bermaksud: Sesungguhnya aku telah mendengar bacaan yang mengkagumkan, yang boleh menunjukkan kita kepada kebenaran, maka aku beriman kepadanya dan tidak akan menyekutukan Tuhanku dengan siapa pun. Maka Allah s.w.t menurunkan kepada nabiNya Muhammad s.a.w ayat قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِنَ الْجِنِّ Yang bermaksud: Katakanlah, telah diwahyukan kepadaku, bahawasanya sekumpulan jin telah mendengar bacaan Al-Quran.

Mendengar Bacaan Al Quran

679. Hadis Ibnu Abbas r.a: Tentang firman Allah s.w.t:


لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ 


Yang bermaksud: Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk membaca Al-Quran. Beliau berkata: Dulu apabila Malaikat Jibril turun menyampaikan wahyu, maka Nabi s.a.w menggerakkan lidah dan bibir baginda untuk membaca wahyu tadi sehingga susah menggerakkannya. Keadaan baginda sedemikian dapat dilihat. Maka Allah berfirman: 


لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ 


Yang bermaksud: Janganlah kamu menggerakkan lidahmu untuk membacanya dan ingin cepat menguasainya. Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya dan membacanya. Kamilah yang perlu mengumpulkannya di dadamu dan membacanya, lalu kamu membacanya.


فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ 


Yang bermaksud: Apabila Kami selesai membacanya, maka ikutilah bacaan itu. Kami menurunkannya, maka dengarkanlah baik-baik. FirmanNya


 إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ 


Yang bermaksud: Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah penjelasannya. Kami menjelaskannya melalui lidahmu. Apabila Malaikat Jibril mendatangi baginda, baginda diam dan apabila Malaikat tadi iaitu Jibril telah pergi, barulah baginda membacanya sebagaimana telah dijanjikan oleh Allah kepada baginda.

Sederhana Pada Bacaan Di Dalam Sembahyang Jahriyah (Sembahyang Yang Dibaca Secara Nyaring) Iaitu Antara Nyaring Dan Perlahan Jika Dikhuatiri Akan Menimbulkan Perkara Yang Tidak Baik Apabila Dinyaringkan

 677. Hadis Ibnu Abbas r.a: Tentang firman Allah: وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا 
Yang bermaksud: Dan janganlah kamu meninggikan suaramu dalam sembahyang dan jangan pula memperlahankannya. Katanya: Ayat ini diturunkan ketika Rasulullah s.a.w sedang bersembunyi di Mekah. Oleh itu apabila baginda sembahyang bersama para sahabat, baginda meninggikan suaranya semasa membaca Al-Quran. Apabila orang-orang musyrik mendengarnya, mereka memaki Al-Quran, Zat yang menurunkannya dan orang yang membacanya. Maka Allah s.w.t berfirman kepada NabiNya s.a.w::
 وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ 
Yang bermaksud: Janganlah kamu meninggikan suaramu di dalam sembahyangmu. Sehingga orang-orang musyrik mendengar bacaanmu.
 وَلَا تُخَاِفتْ بِهَا 
Yang bermaksud: Dan jangan pula memperlahankannya. Sehingga sahabatmu tidak mendengarnya. Perdengarkanlah Al-Quran kepada mereka, tetapi jangan terlalu tinggi,
وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا 
sebaliknya carilah cara yang sederhana di antara keduanya. Jadi baginda membaca sederhana antara tinggi dan perlahan.


 678. Hadis Aisyah r.a: Tentang firman Allah s.w.t: وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا 
Yang bermaksud: Dan janganlah kamu meninggikan suaramu di dalam sembahyangmu dan jangan pula kamu memperlahankannya. Beliau berkata: Ayat ini ditujukan pada doa.

Wanita Dibolehkan Keluar Ke Masjid Jika Tidak Menimbulkan Fitnah Dan Tidak Dibolehkan Memakai Wangi wangian

666. Hadis Ibnu Umar r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: Apabila isteri salah seorang daripada kamu meminta izin untuk pergi ke masjid, maka janganlah menegahnya. 


 676. Hadis Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Kalau sekiranya Rasulullah s.a.w melihat apa yang dilakukan oleh kaum wanita sekarang, nescaya baginda melarang mereka pergi ke masjid, seperti dilarang kepada wanita Bani Israel. Yahya berkata: Aku bertanya kepada Amrah, adakah wanita Bani Israel itu dilarang pergi ke masjid? Maka beliau menjawab: Ya!.

Perintah Terhadap Kaum Wanita Yang Sembahyang Di Belakang Kaum Lelaki Agar Tidak Mengangkat Kepala Mereka Dari Sujud Sebelum Kaum lelaki Mengangkat Kepala Masing masing

665. Hadis Sahl bin Saad r.a katanya: Aku melihat orang lelaki yang sembahyang di belakang Nabi s.a.w mengikatkan kain mereka pada leher kerana kain mereka terlalu sempit. Kemudian seseorang berkata: Wahai para wanita! Janganlah kamu mengangkat kepala kamu sebelum kaum lelaki itu bangun.

Meluruskan Saf Dan Merapikannya. Kelebihan Saf Yang Pertama. Memenuhkan Saf Pertama. Berlumba lumba Mencapainya Serta Mengutamakan Orang orang Yang Mempunyai Kelayakan Dan Mendekatkan Mereka Kepada Imam

656. Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Luruskanlah saf-saf kamu kerana sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian dari kesempurnaan sembahyang.


 657. Hadis Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sempurnakanlah saf-saf. Sesungguhnya aku dapat melihat kamu yang berada di belakangku. 


 658. Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Rapikanlah saf semasa sembahyang kerana merapikan saf itu sebahagian dari keelokan sembahyang. 


 659. Hadis Nu'man bin Basyir r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu ingin meluruskan saf-safmu atau Allah akan menggantikan wajahmu. 


 661. Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seandainya manusia mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak mendapatkannya kecuali dengan cara mengundi di antara mereka, sudah tentu mereka mahu mengundi. Seandainya mereka mengetahui kelebihan takbir iaitu menyegerakan sembahyang, sudah pasti mereka akan berlumba-lumba mendapatkannya dan seandainya mereka mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam sembahyang Isyak dan sembahyang Subuh, sudah tentu mereka akan mendatanginya meskipun secara merangkak.


 663. Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: Seandainya kamu mengetahui atau mereka mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam saf yang di hadapan, nescaya kamu atau mereka akan mengadakan undian.

Haram Mendahului Imam Dengan Rukuk Atau Sujud Dan Selain Dari Keduanya

647. Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: Adakah orang-orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam tidak takut kepalanya akan diganti oleh Allah dengan kepala keldai?.

Perintah Agar Mengelokkan Sembahyang Serta Khusyuk Ketika Sembahyang

 642. Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w sembahyang mengimami kami. Setelah selesai sembahyang baginda bersabda: Wahai Si Polan! Mengapa kamu tidak mengelokkan sembahyangmu? Bukankah seseorang yang sembahyang itu akan memerhatikan bagaimana dia sembahyang kerana sesungguhnya dia sembahyang untuk dirinya sendiri. Demi Allah sesungguhnya aku dapat melihat ke belakangku sebagaimana aku melihat di hadapanku.


 644. Hadis Anas bin Malik r.a: Nabi s.a.w bersabda: Tunaikanlah rukuk dan sujud. Demi Allah, sesungguhnya aku dapat melihat kamu yang berada di belakangku dan boleh jadi baginda bersabda: Yang berada di belakang punggungku apabila kamu rukuk atau sujud.

Membaca Tasbih Bagi Lelaki Dan Menepuk Tangan Bagi Wanita Jika Mereka Mengalami Sesuatu Ketika Sembahyang

641. Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Membaca tasbih adalah untuk lelaki dan menepuk tangan adalah untuk wanita.

Jemaah Menampilkan Seseorang Untuk Mengimami Mereka Apabila Imam Yang Tetap Terlewat Datang Dan Mereka Tidak Bimbang Akan Berlaku Kecacatan Disebabkan Oleh Penampilan Tersebut

639. Hadis Sahl bin Saad As-Saa'idiy r.a: Sewaktu Rasulullah s.a.w mengunjungi Bani Amru bin Auf untuk mendamaikan pertikaian di antara mereka, maka tiba waktu sembahyang. Seorang tukang azan datang kepada Abu Bakar lalu berkata: Inginkah kamu mengimami sembahyang bersama orang ramai? Aku akan mengiqamatkannya. Abu Bakar menjawab: Ya. Kemudian Abu Bakar mendirikan sembahyang. Sewaktu orang ramai sedang sembahyang, Rasulullah s.a.w datang. Baginda menyelinap masuk ke saf pertama. Setelah melihat keadaan itu, orang ramai menepuk tangan, tetapi Abu Bakar tidak menoleh. Apabila orang yang menepuk tangan bertambah ramai, beliau menoleh dan melihat Rasulullah s.a.w. Baginda mengisyaratkan kepada Abu Bakar agar tetap berada di tempatnya. Abu Bakar mengangkat kedua tangannya memuji Allah s.w.t sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w lalu Abu Bakar berundur ke belakang sehingga menyamai dengan saf pertama dan Nabi s.a.w pula maju ke hadapan lalu meneruskan sembahyang. Setelah selesai sembahyang, baginda bersabda: Wahai Abu Bakar! Apakah yang mencegahmu untuk tetap berada di tempatmu ketika aku menyuruhmu? Abu Bakar menjawab: Tidak layak bagi anak Abu Quhafah sembahyang di hadapan Rasulullah s.a.w. Kemudian baginda bersabda lagi: Mengapa kamu semua menepuk tangan? Sesiapa yang mengalami sesuatu ketika sembahyangnya maka hendaklah dia bertasbih kerana apabila seseorang bertasbih dia akan menoleh. Menepuk tangan hanyalah untuk wanita.

Mengganti Imam Apabila Didapati Dia Uzur Seperti Sakit, Musafir Dan Sebagainya. Menjadi Imam Kepada Orang Ramai. Manakala Sesiapa Yang Mendirikan Sembahyang Dengan Mengikuti Imam Sedangkan Imam Mendirikan Sembahyang Dalam Keadaan Duduk, Dia Hendaklah Terus Berada Dalam Keadaan Berdiri Sekiranya Berkemampuan. Pembatalan Tuntutan Supaya Dia Duduk Dibelakang Imam Yang Mendirikan Sembahyang Dalam Keadaan Duduk Bagi Orang Yang Berkuasa Berdiri

629.Hadis Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan daripada Ubaidillah bin Utbah r.a katanya: Aku bertanya Saidatina Aisyah r.a dengan berkata: Bagaimana dengan penyakit yang dihidapi oleh Rasulullah s.a.w? Beliau menjawab: Nabi s.a.w sakit sehingga tidak dapat berjalan. Baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum dan mereka sedang menunggumu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya, lalu baginda berwuduk. Setelah selesai baginda cuba berdiri. Tapi malang baginda terjatuh dan pengsan. Setelah pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Baginda bersabda lagi: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya lalu baginda berwuduk. Setelah itu baginda cuba berdiri, tetapi pengsan lagi. Sebaik sahaja pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya dan baginda berwuduk lagi. Setelah itu baginda cuba berdiri, tetapi pengsan lagi. Setelah pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Sementara itu orang ramai masih berkumpul di masjid menunggu Rasulullah s.a.w untuk mendirikan sembahyang Isyak yang sudah terlewat. Akhirnya baginda mengutuskan seseorang menemui Abu Bakar agar beliau mengimami sembahyang. Setelah utusan tersebut berjumpa Sayidina Abu Bakar r.a dia terus berkata: Rasulullah s.a.w memerintahkan kamu agar mengimami sembahyang orang ramai. Sayidina Abu Bakar r.a berkata: Aku bukanlah orang yang selayaknya untuk menggantikan tempat tersebut. Lalu meminta Sayidina Umar r.a dengan katanya: Wahai Umar! Imamkanlah sembahyang orang ramai. Ubaidillah berkata: Sayidina Umar menjawab: Kamu lebih layak berbanding dengan aku. Akhirnya Sayidina Abu Bakar mengimami sembahyang mereka sehingga beberapa hari. Kemudian apabila Rasulullah s.a.w beransur pulih, baginda keluar dengan dibantu oleh dua orang sahabat, salah seorangnya ialah Al-Abbas untuk sembahyang Zuhur. Sementara itu Abu Bakar sedang sembahyang mengimami orang ramai. Apabila melihat Rasulullah s.a.w Abu Bakar cuba bergerak untuk berundur ke belakang lalu Nabi s.a.w memberi isyarat kepadanya supaya tidak berbuat demikian. Kemudian baginda bersabda kepada dua orang yang membantunya: Bawakan aku ke tepi Abu Bakar. Mereka berdua membawanya sehinggalah baginda duduk di tepi Abu Bakar. Abu Bakar tetap sembahyang dalam keadaan berdiri. Orang ramai tetap berimamkan Abu Bakar r.a manakala Nabi s.a.w mengikutinya dalam keadaan duduk.


 636. Hadis Anas bin Malik r.a: Abu Bakar mengimami sembahyang orang ramai ketika Rasulullah s.a.w dalam kesakitan yang menyebabkan kewafatan baginda. Pada hari Isnin, ketika para sahabat sedang mendirikan sembahyang, Rasulullah s.a.w membuka tirai dan berdiri memandang kami. Wajah baginda putih berseri umpama kertas, lalu baginda tersenyum lebar hingga tertawa. Anas berkata: Kami yang sedang sembahyang menjadi tercengang kehairanan dan cukup senang hati kerana Rasulullah s.a.w keluar. Abu Bakar tanpa membuang masa terus berundur menghampiri saf kerana menyangka Rasulullah s.a.w keluar untuk sembahyang. Lalu baginda mengisyaratkan kepada mereka supaya menyempurnakan sembahyang. Anas berkata: Rasulullah s.a.w kemudiannya kembali memasuki bilik dan menjatuhkan tirai. Anas berkata: Hari tersebutlah, berlakunya kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. 


638. Hadis Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w sakit dan semakin lama bertambah tenat. Baginda bersabda: Suruhlah Abu Bakar r.a agar sembahyang bersama orang ramai. Aisyah berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Abu Bakar itu merasakan tidak layak kalau menduduki di tempatmu. Beliau tidak akan mampu sembahyang dengan orang ramai. Baginda bersabda lagi: Suruhlah Abu Bakar supaya sembahyang bersama orang ramai, kamu adalah seperti teman Nabi Yusuf di dalam menyusun kata-kata. Abu Musa berkata: Kemudian Abu Bakar sembahyang bersama-sama mereka selama Rasulullah s.a.w masih hidup.

Makmum Mengikuti Imam

622. Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w pernah terjatuh dari kuda yang menyebabkan kecederaan di bahagian kanan tubuh baginda. Kami cepat-cepat mendapatkan baginda lalu membawa pulang. Sebaik sahaja tiba waktu sembahyang, baginda sembahyang bersama kami dalam keadaan duduk. Ini menyebabkan kami juga mengikuti baginda dengan bersembahyang dalam keadaan duduk. Setelah selesai sembahyang baginda bersabda: Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu, apabila dia bertakbir, takbirlah. Apabila dia sujud, sujudlah. Juga apabila dia bangun, bangunlah. Akhirnya apabila dia membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ bacalah رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ dan apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, sembahyanglah dalam keadaan duduk. 


 623. Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mengadu sakit lalu para sahabat mendapatkan baginda seterusnya membawa pulang. Baginda mendirikan sembahyang dalam keadaan duduk sebaliknya para sahabat mengikutinya dalam keadaan berdiri. Baginda kemudiannya mengisyaratkan agar para sahabat duduk. Setelah selesai sembahyang baginda bersabda: Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu apabila dia rukuk, rukuklah. Apabila dia bangkit dari rukuk, bangkitlah dan apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, maka sembahyanglah juga dalam keadaan duduk. 


 625. Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu, janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya. Apabila dia bertakbir, takbirlah. Apabila dia rukuk, rukuklah. Apabila dia membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ bacalah اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ dan apabila dia sujud, sujudlah. Apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, sembahyanglah juga dalam keadaan duduk.

Membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ Tahmid Dan Amin

617. Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila imam membaca
 سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ 
kamu hendaklah membaca
 اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ 
kerana sesungguhnya sesiapa yang membaca doa menyamai sebagaimana yang dibaca oleh para Malaikat, nescaya Allah s.w.t mengampunkan dosanya yang telah lalu. 


 618. Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila Imam mengucapkan amin, kamu hendaklah mengucapkan amin kerana sesungguhnya sesiapa yang mengucapkannya sebagaimana yang diucapkan oleh para Malaikat, nescaya akan diampunkan oleh Allah s.w.t segala dosa yang telah lalu.

Selawat Kepada Nabi s.a.w Selepas Membaca Tasyahud

614. Hadis Kaab bin Ujrah r.a: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abu Laila r.a katanya: Kaab bin Ujrah pernah menemuiku dan berkata: Bolehkah aku berikan kepada kamu suatu hadiah? Tiba-tiba Rasulullah s.a.w sampai dan terus berjumpa kami. Lalu kami berkata: Kami telah mengetahui cara untuk mengucapkan salam kepadamu, tetapi bagaimana pula cara untuk kami ucapkan selawat? Baginda bersabda: Kamu bacalah:


 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ 


 615.Hadis Abu Humaid As-Saa'idiy r.a: Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk kami ucapkan selawat untukmu? Baginda bersabda: Bacalah:


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِوَذُرِّيَّتِهِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Membaca Tasyahud Di Dalam Sembahyang

609. Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Semasa aku sembahyang di belakang Rasulullah s.a.w kami membaca:


السَّلَامُ عَلَى اللَّهِ السَّلَامُ عَلَى فُلَانٍ 


Kemudian pada suatu hari Rasulullah s.a.w bersabda kepada kami: Sesungguhnya Allah s.w.t adalah Yang Selamat Sejahtera. Jadi, apabila salah seorang di antara kamu duduk ketika sembahyang, hendaklah dia membaca 


التَّحِيَّاتُ لِلِّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِيْنَ 


Apabila dia membacanya, nescaya keselamatan itu turut sama dikurniakan kepada semua hamba Allah yang soleh samada di langit ataupun di bumi.


 أَشْهَدُ أَنْ لَاإِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ


 kemudian bolehlah dia membaca doa yang dikehendaki.

Dalil Bagi Orang Yang Berpendapat Bahawa Basmalah Merupakan Salah Satu Dari Permulaan Ayat Pada Setiap Awal Surah Kecuali Surah Baraah

607. Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w bersama-sama kami, tiba-tiba baginda tersengguk-sengguk seperti mengantuk, kemudian baginda mengangkat kepala sambil tersenyum. Kami bertanya: Apakah yang melucukan kamu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Baru seketika aku diturunkan satu surah, lalu baginda membaca:


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ 


Yang bermaksud: Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhammad kebaikan yang banyak di dunia dan di akhirat. Oleh itu dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai tanda bersyukur. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang diingininya. Kemudian baginda bertanya: Kamu tahukah, apa yang dimaksudkan dengan Al-Kausar? Kami menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. Baginda bersabda: Ia adalah sungai yang dijanjikan oleh Tuhanku, ianya mempunyai berbagai kebaikan. Ianya juga berbentuk sebuah kolam yang dikunjungi oleh umatku pada Hari Kiamat nanti iaitu untuk mengambil airnya. Disediakan bekas sebanyak bintang di langit. Kemudian salah seorang dari umatku ditarik dari kumpulan mereka. Lantas aku berkata: Wahai Tuhanku, dia adalah salah seorang umatku. Lalu Allah berfirman: Kamu tidak mengetahui apakah yang telah dilakukannya selepas kewafatanmu.

Dalil Bagi Orang Yang Berpendapat Tidak Boleh Menyaringkan Bacaan Basmalah Ketika Sembahyang

605. Hadis Anas r.a katanya: Aku pernah sembahyang bersama Rasulullah s.a.w, Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab dan Othman bin Affan. Semasa sembahyang aku tidak pernah pun mendengar salah seorang dari mereka membaca:
 بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Wajib Membaca Al Fatihah Pada Setiap Rakaat Sembahyang. Sekiranya Tidak Dapat Membacanya Dengan Baik Serta Tidak Boleh Mempelajarinya, Hendaklah Dia Membaca Surah Lain Atau Ayat Lain Yang Mudah Baginya

595. Hadis Ubadah bin As-Somit r.a: Nabi s.a.w bersabda: Tidak sah sembahyang orang yang tidak membaca surah Al-Fatihah. 


 599. Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Tiada sembahyang melainkan dengan bacaan. 


 602. Hadis Abu Hurairah r.a: Ketika Rasulullah s.a.w memasuki masjid, seorang lelaki juga memasukinya lalu mendirikan sembahyang. Setelah selesai, dia datang memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menjawab salamnya lalu bersabda: Sembahyanglah sekali lagi kerana sembahyang yang kamu lakukan tadi tidak sah. Lelaki tersebut kembali mendirikan sembahyang sebagaimana yang telah dilakukannya kemudian kembali menemui Rasulullah s.a.w dengan memberi salam kepada baginda. Lantas baginda menjawab salam lalu bersabda: Sembahyanglah sekali lagi kerana sembahyang yang kamu lakukan tadi tidak sah. Perkara ini berlaku sebanyak tiga kali sehingga akhirnya lelaki tersebut berkata: Oleh kerana engkau dibangkitkan untuk menyatakan kebenaran, bagaimanakah sebenarnya sembahyang dilakukan? Ajarkanlah padaku. Lalu baginda bersabda: Apabila kamu ingin mendirikan sembahyang, mulakanlah dengan bertakbir kemudian bacalah ayat atau surah yang paling senang bagi kamu. Seterusnya rukuklah sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan tersebut dan bangkitlah berdiri. Setelah itu sujudlah sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan tersebut dan bangkitlah untuk berada dalam keadaan duduk antara dua sujud. Itulah cara yang perlu kamu lakukan sehingga selesai sembahyang.