Sunday, 2 October 2011
Mengetahui Bentuk Penglihatan
Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya orang ramai telah bertanya Rasulullah s.a.w dengan berkata: Wahai Rasulullah! Adakah kami dapat melihat Tuhan kami pada Hari Kiamat? Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda:
Adakah memudaratkan iaitu berbahaya jikalau kamu melihat bulan pada malam purnama? Mereka pun menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Baginda bertanya lagi kepada mereka: Adakah berbahaya jikalau kamu melihat matahari yang tidak dilindungi awan? Mereka menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Kemudian baginda bersabda: Begitulah juga kamu akan melihat-Nya, Allah s.w.t akan menghimpunkan seluruh manusia pada Hari Kiamat dan berkata kepada mereka bermaksud: Sesiapa yang menyembah sesuatu benda, maka ikutilah benda tersebut. Bagi orang yang menyembah matahari, mereka akan mengikut matahari tersebut. Bagi orang yang menyembah bulan maka mereka akan mengikuti bulan tersebut. Manakala orang yang menyembah taghut, maka mereka akan mengikuti taghutnya itu. Jadi tinggal lagi umat ini iaitu umat yang percaya kepada Allah termasuklah orang-orang munafik yang tetap dengan kemunafikan mereka. Lalu Allah mendatangi mereka dengan bukan gambaran-Nya yang sebenarnya di mana gambaran tersebut mereka kenal dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhanmu. Mereka berkata: Kami berlindung dengan Allah daripada engkau iaitu gambaran tersebut, beginilah pendirian kami sehingga Tuhan kami benar-benar datang kepada kami kerana kami mengenali-Nya. Lalu Allah mendatangi mereka dengan gambaran-Nya yang sebenarnya sebagaimana yang mereka kenali dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhan kamu. Mereka pun menjawab: Engkaulah Tuhanku. Mereka pun mengikut-Nya. Kemudian Allah merentangkan kepada mereka suatu titian yang merentangi neraka. Maka aku bersama umatku adalah orang pertama yang menyeberanginya. pada hari itu tiada seorangpun yang dapat berbicara kecuali para Rasul. Para Rasul berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Selamatkanlah, selamatkanlah. Di dalam neraka terdapat sejenis besi berkait seperti duri Saadan iaitu nama tumbuhan yang berduri besar, adakah kamu pernah melihat duri Saadan? Mereka pun menjawab: Ya, wahai Rasulullah! Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya ia seperti duri Saadan yang tidak diketahui sebesar manakah bentuknya kecuali Allah. Ianya menggait manusia bersama amalan mereka. Tinggallah orang-orang mukmin bersama amalannya yang berjaya melintasi neraka. Setelah Allah menetapkan hukuman di antara para hamba dan hendak mengeluarkan mereka dengan rahmatNya maka Dia akan memerintahkan para malaikat agar mengeluarkan mereka dari neraka tersebut. Manakala Orang yang tidak menyekutukan-Nya dan Dia menghendakinya maka mereka dikeluarkan dari sana dengan rahmat-Nya, begitu juga bagi orang yang berkata لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ sesungguhnya para Malaikat mengenali mereka semasa dalam neraka melalui kesan sujud. Api neraka akan memakan seluruh anggota anak Adam kecuali kesan sujud. Allah telah mengharamkan api neraka dari memakan kesan tersebut. Kemudian mereka dikeluarkan dari neraka dalam keadaan hangus, lalu disiram dengan air kehidupan, maka pulihlah mereka sebagaimana tumbuhnya benih dalam kawasan banjir iaitu lumpur. Setelah Allah selesai dari mengadili hamba-Nya, tinggal lagi seorang lelaki yang menghadapkan wajahnya ke neraka. Dia adalah ahli Syurga yang terakhir memasukinya. Dia berkata: Wahai Tuhanku, palingkanlah wajahku dari neraka kerana wapnya benar-benar menampar mukaku dan nyalaannya membakarku. Dia terus memohon daripada Allah sepuas-puasnya. Kemudian Allah s.w.t berfirman: Adakah kamu akan terus meminta sekiranya Aku menunaikan permintaanmu itu? Lalu dia menjawab: Aku tidak akan meminta lagi dari-Mu perkara lain. Lalu Allah memperkenankan permohonannya itu dan memalingkan mukanya dari neraka. Apabila dia berpaling menghadap Syurga dia terus terpegun, lalu dia memohon daripada Allah dengan berkata: Wahai Tuhanku, hampirkanlah aku kepada pintu Syurga. Maka Allah menjawab: Tidakkah engkau telah berjanji tidak akan meminta lagi perkara lain dariKu, celaka sungguh engkau wahai anak Adam. Dia pun menjawab: Tidak, demi keagungan-Mu, lalu dia berjanji lagi kepada Tuhannya. Lalu Allah mendekatkannya ke pintu Syurga. Setelah dia berdiri di ambang pintu Syurga, terbukalah pintu Syurga dengan luas untuknya, sehingga dia dapat melihat dengan jelas segala keindahan dan kesenangan yang terdapat di dalamnya. Dia terus diam terpegun untuk seketika, kemudian dia berkata lagi: Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam Syurga. Maka Allah s.w.t berfirman kepadanya: Bukankah engkau telah berjanji tidak akan meminta selain perkara yang telah Aku berikan? Celaka engkau wahai anak Adam. Lalu dia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku, aku tidak mahu menjadi makhluk-Mu yang paling malang. Dia terus berdoa kepada Tuhannya tanpa berputus asa sehinggalah Allah memperkenankan permintaannya lalu berfirman kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Setelah dia memasuki Syurga, Allah berfirman kepadanya: Pohonlah lagi. Maka dia terus memohon kepada Tuhannya dan dia terus meminta sehinggalah Allah mengingatkannya dengan beberapa perkara. Setelah habis permintaannya, Allah s.w.t pun berfirman: Apa yang berlaku itu merupakan kemurahanku kepadamu dan umatmu, begitu juga kepada umat lain bersama Nabi mereka.
Keterangan Tentang Al Masih Bin Mariam Dan Al Masih Dajal
Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
Aku benar-benar pasti diriku berada di dalam Hijir, pada ketika itu orang-orang Quraisy sibuk bertanya tentang perjalananku dalam peristiwa Israk itu. Mereka bertanya aku berbagai perkara mengenai Baitulmuqaddis yang kurang jelas pada ingatanku. Aku amat dukacita kerana aku belum pernah mengalaminya sebelum ini. Lalu Allah memperlihatkan kepadaku dari jauh sehingga aku mampu melihatnya. Walau bagaimana sekalipun bentuk pertanyaan yang diajukan kepadaku, aku tetap dapat menceritakan kepada mereka dengan jelas. Aku benar-benar pasti bahawa diriku berada dalam sekumpulan para nabi, aku melihat Nabi Musa a.s sedang berdiri mendirikan sembahyang, sememangnya dia seorang lelaki berbadan tinggi, kurus serta berambut kerinting, seolah-olah seorang lelaki dari Kaum Syanu'ah. Aku juga melihat Nabi Isa bin Mariam a.s yang sedang berdiri mendirikan sembahyang, manakala orang yang paling mirip dengannya ialah Urwah bin Mas'ud As-Saqafi. Selain dari itu aku juga melihat Nabi Ibrahim a.s yang sedang berdiri mendirikan sembahyang. Manakala Orang yang amat menyerupainya adalah sahabat kamu semua, maksudnya: Diri baginda sendiri. Ketika masuk waktu sembahyang, aku mengimami mereka, setelah selesai dari sembahyang ada suara memanggilku: Wahai Muhammad! Ini adalah Malik penjaga neraka, ucapkanlah salam kepadanya! Lalu aku menoleh kepadanya, ternyata dia lebih dahulu mengucapkan salam kepadaku.
Israk Rasulullah s.a.w Ke Langit Dan Kewajipan Sembahyang
Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menceritakan tentang perjalanan Israknya. Baginda bersabda:
Nabi Musa a.s berkulit sawa matang dan tinggi seperti seorang lelaki dari Kabilah Syanu'ah. Manakala Nabi Isa a.s pula berbadan gempal, tingginya sederhana. Selain dari itu baginda juga menceritakan tentang Malik penjaga neraka Jahanam dan Dajal.
Menenangkan Hati Orang Yang Bimbangkan Keimanannya Kerana Kelemahannya Serta Larangan Memastikan Keimanan Tanpa Dalil Yang Jelas
Hadis Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah membahagikan suatu pembahagian. Lalu aku mencelah: Wahai Rasulullah! Berilah kepada lelaki itu kerana dia juga seorang mukmin. Baginda bertanya dengan bersabda: Adakah dia juga seorang Islam? Aku menjawabnya sebanyak tiga kali tetapi baginda tetap juga meminta kepastian daripada aku sebanyak tiga kali dengan pertanyaan betulkah dia juga seorang Islam. Baginda seterusnya bersabda: Aku bimbang Allah meletakkan lelaki tersebut ke dalam neraka ekoran dari aku memberikan pembahagian kepadanya kerana ingin memujuk. Sedangkan masih ada orang lain yang lebih mengasihiku.
Kebimbangan Orang Mukmin Terhadap Amalannya Akan Sia sia
Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Ketika ayat ini diturunkan
: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ
Yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi. Hingga ke akhir ayat 2 surat Al-Hujurat. Thabit bin Qais sedang duduk di rumahnya dan berkata: Aku ini termasuk dari ahli neraka! Beliau bersembunyi dari Nabi s.a.w sehingga Nabi s.a.w bertanya Saad bin Muaz. Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Abu Amru, bagaimanakah keadaan Thabit? Adakah dia sakit? Saad menjawab: Keadaannya seperti biasa dan aku tidak mendengar apa-apa berita yang menyatakan dia sakit. Anas berkata: Lalu Saad pun menziarahinya dan memberitahu kepadanya tentang percakapan beliau dengan Rasulullah s.a.w. Thabit berkata: Ayat ini diturunkan, sedangkan kamu semua mengetahui bahawa aku adakah orang yang paling keras bersuara, melebihi suara Rasulullah s.a.w. Kalau begitu aku ini termasuk dari ahli neraka. Maka Saad menceritakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: Bahkan beliau termasuk dari kalangan ahli Syurga.
Pengharaman Perbuatan Khianat Dan Sesungguhnya Tidak Akan Masuk Syurga Kecuali Orang orang Yang Beriman
Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w menuju ke Khaibar. Allah memberikan kemenangan kepada kami, tetapi kami tidak mendapatkan harta rampasan perang berupa emas atau perak. Kami hanya memperolehi barang-barang, makanan dan pakaian. Kemudian kami berangkat menuju ke sebuah lembah dan terdapat seorang hamba bersama Rasulullah s.a.w milik baginda yang diberikan oleh seorang lelaki dari Juzam. Hamba itu bernama Rifa'ah bin Zaid dari Bani Ad-Dhubaib. Ketika kami menuruni lembah, hamba Rasulullah itu berdiri untuk melepaskan pelananya tetapi, dia terkena anak panah dan ternyata itulah saat kematiannya. Kami berkata: Ketenanganlah baginya dengan Syahid wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak mungkin! Demi zat yang menguasai Muhammad sesungguhnya sehelai baju yang diambilnya dari harta rampasan perang Khaibar, yang tidak dimasukkan dalam pembahagian akan menyemarakkan lagi api neraka ke atasnya. Abu Hurairah berkata: Maka terkejutlah orang-orang Islam. Lalu datanglah seorang lelaki dengan membawa seutas atau dua utas tali pelana, lalu berkata: Wahai Rasulullah, aku mendapatkannya semasa perang Khaibar. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Seutas atau dua utas tali pelana itu dari neraka.
Beratnya Hukum Membunuh Diri. Sesungguhnya Sesiapa Yang Membunuh Dirinya Sendiri Dengan Sesuatu, Maka Dia Akan Diazab Di Dalam Neraka Dengan Benda Tersebut Dan Sesungguhnya Tidak Akan Masuk Syurga Melainkan Jiwa Yang Muslim Iaitu Berserah Diri Kepada Takdir Allah
Hadis Sahl bin Saad As-Saa'idiy r.a: Rasulullah s.a.w telah bertemu dengan orang-orang musyrik dan terjadilah peperangan. Semasa Rasulullah kembali ke pasukan Muslimin dan orang kafir kembali ke pasukan mereka terdapat seorang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah s.a.w yang tidak membiarkan musuh berlalu begitu sahaja. Dia mengejar dan menetak musuh dengan pedangnya. Sahabat Rasulullah yang lain berkata: Pada hari ini tiada di kalangan kita yang benar-benar berpuas hati seperti yang dilakukan oleh Si Anu. Rasulullah s.a.w terus bersabda apabila mendengar kata-kata itu: Tetapi ingat! Dia tergolong dalam golongan ahli neraka. Seorang lelaki dari kaum Muslimin berkata: Aku akan mengikutnya sepanjang masa. Sahl bin Saad berkata lagi: Lelaki itu telah keluar bersama-sama dengan Si Anu, apabila Si Anu berhenti ketika berperang maka dia turut berhenti, ketika Si Anu bergerak pantas maka dia pun sama bergerak pantas. Lelaki itu telah menceritakan bahawa Si Anu telah mengalami luka parah. Oleh kerana tidak tahan dengan kesakitan yang dialami, maka dia ingin segera mati lalu dia telah meletakkan hulu pedangnya ke tanah lalu menikam dirinya sendiri. Lelaki itu keluar bertemu Rasulullah lalu berkata: Aku bersaksi sesungguhnya engkau Muhammad, sememangnya Rasul iaitu utusan Allah. Rasulullah bertanya dengan sabda baginda: Kenapa dengan kamu ni? Lelaki itu berkata: Lelaki yang engkau sebut-sebut sebagai ahli neraka dan kebanyakkan manusia iaitu sahabat dan pejuang-pejuang mengambil berat tentang hal ini, aku bersaksi kepada kamu Rasulullah s.a.w tentang Si Anu, aku telah keluar mengikutnya sepanjang peperangan sehingga aku dapati dia telah luka parah, dia ingin cepat mati, lalu dia telah meletakkan hulu pedangnya ke tanah dan mata pedang di antara dua dadanya kemudian dia menekan ke atas dirinya lantas membunuh dirinya sendiri. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ada lelaki yang beramal seperti amalan ahli Syurga sedangkan dia adalah ahli neraka. Ada juga lelaki yang beramal dengan amalan ahli neraka sedangkan dia adalah ahli Syurga.
Beratnya Hukum Membunuh Diri. Sesungguhnya Sesiapa Yang Membunuh Dirinya Sendiri Dengan Sesuatu, Maka Dia Akan Diazab Di Dalam Neraka Dengan Benda Tersebut Dan Sesungguhnya Tidak Akan Masuk Syurga Melainkan Jiwa Yang Muslim Iaitu Berserah Diri Kepada Takdir Allah
Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Ketika kami bersama Rasulullah dalam peperangan Hunain, Rasulullah telah berkata kepada seorang lelaki yang diakui sebagai seorang muslim:
Dia tergolong dalam golongan ahli neraka. Ketika kami di medan pertempuran, lelaki itu telah berperang dengan bersungguh-sungguh menyebabkan dia mengalami luka yang parah. Ada yang melaporkan kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Lelaki yang engkau katakan sebelum ini bahawa dia merupakan ahli neraka telah berjuang pada hari ini dengan penuh semangat dan dia telah mati. Rasulullah s.a.w telah bersabda: Dia akan ke neraka. Sebahagian kaum Muslimin merasa ragu. Pada saat itu datang seseorang melaporkan bahawa dia tidak mati kerana berjuang, tetapi luka parah. Pada malam itu, dia tidak sabar menghadapi kesakitan lukanya lalu telah membunuh dirinya sendiri, hal itu telah dilaporkan kepada Rasulullah. Rasulullah terus bertakbir:
الله أكبر dan berkata Aku bersaksi bahawa aku adalah hamba Allah dan Rasul-Nya. Lalu Rasulullah menyuruh Bilal r.a memberitahu semua orang bahawasanya tidak akan masuk Syurga kecuali jiwa atau orang yang berserah diri iaitu Muslimah. Sesungguhnya Allah telah menguatkan lagi agama ini dengan seorang lelaki yang gagah perkasa.
Beratnya Hukum Membunuh Diri. Sesungguhnya Sesiapa Yang Membunuh Dirinya Sendiri Dengan Sesuatu, Maka Dia Akan Diazab Di Dalam Neraka Dengan Benda Tersebut Dan Sesungguhnya Tidak Akan Masuk Syurga Melainkan Jiwa Yang Muslim Iaitu Berserah Diri Kepada Takdir Allah
Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sepotong besi, maka dengan besi yang tergenggam di tangannya itulah dia akan menikam perutnya dalam neraka Jahanam secara berterusan dan dia akan dikekalkan di dalam neraka tersebut untuk selama-lamanya. Sesiapa yang membunuh dirinya dengan meminum racun maka dia akan merasai racun itu dalam neraka Jahanam secara berterusan dan dia akan dikekalkan di dalam neraka tersebut untuk selama-lamanya. Begitu juga, sesiapa yang membunuh dirinya dengan terjun dari puncak gunung, maka dia akan terjun dalam neraka Jahanam secara berterusan untuk membunuh dirinya dan dia akan dikekalkan dalam neraka tersebut untuk selama-lamanya.
Sesiapa Yang Mati Dalam Keadaan Tidak Mensyirikkan Allah, Akan Masuk Syurga Dan Sesiapa Yang Mati Dalam Keadaan Mensyirikkan Allah Akan Masuk Neraka
Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang mati dalam keadaan menyekutukan Allah dengan sesuatu nescaya akan memasuki neraka. Maka aku berkata iaitu perawi Hadis: Aku dan orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, akan memasuki Syurga.
Dosa dosa Besar dan Yang Paling Besar
Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah telah bersabda:
Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk neraka atau dilaknati oleh Allah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda: Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukan-Nya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan fitnah melakukan perbuatan zina.
Iman Seseorang Berkurang Kerana Berkurang Ketaatan Iaitu Ibadat Dan Keterangan Terhadap Penggunaan Lafaz Kufur Kepada Perkara Lain Selain Dari Kufur Kepada Allah, Seperti Kufur Kepada Nikmat Dan Hak hak Iaitu Kewajipan
Hadis Abdullah bin Umar r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni neraka. Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni neraka? Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu. Wanita itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.
Keadaan Iman Seorang Yang Tidak Mengakui Ayahnya Sedangkan Dia Mengetahuinya
Hadis Abu Zar r.a: Beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang mengaku keturunannya selain dari ayahnya, padahal dia mengetahuinya, pastilah dia kafir iaitu mengingkari nikmat dan kebaikan, tidak memenuhi hak Allah dan hak ayahnya. Sesiapa mengaku sesuatu yang bukan menjadi miliknya, maka dia tidak tergolong dari golongan kami dan hendaknya dia mempersiapkan tempatnya di neraka. Sesiapa memanggil seseorang dengan kafir atau menyatakan musuh Allah, padahal sebenarnya tidak demikian, maka tuduhan itu akan kembali kepada dirinya.
Sifat sifat Mereka Yang Mempunyai Kemanisan Iman
Hadis Anas r.a: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda:
Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.
Dalil Bagi Mereka Yang Mati Dalam Keadaan Tetap Mentauhidkan Allah s.w.t, Pasti Akan Dimasukkan Ke Syurga
Hadis Itban bin Malik r.a: Diriwayatkan daripada Mahmud bin Ar-Rabie' r.a katanya:
Aku berjumpa Itban ketika aku pergi ke Madinah. Lalu aku meminta beliau meriwayatkan sebuah Hadis. Beliau berkata: Mataku ditimpa sejenis penyakit yang menyebabkan aku menghantarkan utusan kepada Rasulullah s.a.w yang mengatakan bahawa aku amat mengharapkan kedatangan Baginda untuk bersama-sama aku dan mendirikan sembahyang di rumah sehingga aku menjadikannya sebagai Musala iaitu tempat sembahyang. Itban berkata lagi: Ekoran dari itu Rasulullah s.a.w tiba bersama-sama para sahabat dan baginda terus masuk ke rumah. Aku mendirikan sembahyang sementara para sahabat masih lagi berbincang sesama mereka di mana sebahagian dari mereka memperkatakan tentang kemunafikan Malik bin Dukhsyum. Para sahabat menyebut: Harapan mereka agar Rasulullah s.a.w mendoakan ke atas Malik bin Dukhsyum agar ditimpa kecelakaan. Mereka juga inginkan supaya dia ditimpa mala petaka. Sebaik sahaja baginda selesai mendirikan sembahyang, baginda bertanya dengan bersabda: Bukankah dia mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
Para sahabat menjawab: Dia mengucapnya hanyalah di mulut semata-mata tetapi tidak di hati. Baginda bersabda: Seseorang yang tidak mengucap Dua Kalimah Syahadat nescaya dia akan dimasukan ke dalam neraka atau dimakan oleh api neraka
Dalil Bagi Mereka Yang Mati Dalam Keadaan Tetap Mentauhidkan Allah s.w.t, Pasti Akan Dimasukkan Ke Syurga
Hadis Anas bin Malik r.a: Ketika Muaz bin Jabal mengekori unta Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan, Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Muaz menyahut: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil lagi: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ
nescaya terselamatlah dia dari api neraka. Kemudian Muaz berkata: Bolehkah aku memberitahu perkara ini kepada orang ramai agar mereka sebarkan berita gembira ini? Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau begitu, lakukanlah dan berserahlah kepada Allah.
Dalil Bagi Mereka Yang Mati Dalam Keadaan Tetap Mentauhidkan Allah s.w.t, Pasti Akan Dimasukkan Ke Syurga
Hadis Ubadah bin As-Somit r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ
dan bersaksi bahawa Nabi Isa adalah hamba Allah, anak hambanya dan kalimah Allah iaitu Nabi Isa a.s dijadikan oleh Allah tidak berbapa hanya dengan kalimah KUN yang bererti jadilah engkau maka jadilah dia yang disampaikan kepada Mariam dan juga tiupan roh daripada-Nya, serta bersaksi bahawa balasan Syurga adalah pasti begitu juga balasan neraka adalah pasti di mana Allah akan memasukkan mereka yang dikehendaki ke dalam Syurga melalui salah satu dari lapan pintu Syurga sebagaimana yang dikehendakinya.
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ
dan bersaksi bahawa Nabi Isa adalah hamba Allah, anak hambanya dan kalimah Allah iaitu Nabi Isa a.s dijadikan oleh Allah tidak berbapa hanya dengan kalimah KUN yang bererti jadilah engkau maka jadilah dia yang disampaikan kepada Mariam dan juga tiupan roh daripada-Nya, serta bersaksi bahawa balasan Syurga adalah pasti begitu juga balasan neraka adalah pasti di mana Allah akan memasukkan mereka yang dikehendaki ke dalam Syurga melalui salah satu dari lapan pintu Syurga sebagaimana yang dikehendakinya.
Dalil Untuk Memastikan Islam Seseorang Di Saat saat Hampir Mati. Tidak Disyariatkan Berulang kali Mengajar Supaya mengucapkan Dua Kalimah Syahadat Ketika Dalam Keadaan Tenat. Membatalkan Kata kata Dibolehkan Hanya Beristighfar Bagi Orang orang Yang Syirik Kepada Allah. Dalil Bahawa Orang Yang Mati Dalam Keadaan Syirik Kepada Allah Merupakan Penghuni Neraka. Mereka Tidak Akan Dikeluarkan Dengan Apa Jua Cara Sekalipun
Hadis Al-Musayyab bin Hazn r.a katanya: Rasulullah s.a.w menziarahi Abu Talib di saat-saat beliau tenat menghadapi sakaratul maut. Baginda dapati Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umaiyyah bin Al-Mughirah turut berada di sana. Rasulullah s.a.w bersabda: Pak cik! Ucaplah Dua Kalimah Syahadat, aku akan menjadi saksi kamu di hadapan Allah s.w.t. Lalu Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umayyah mencelah: Wahai Abu Talib Sanggupkah kamu meninggalkan agama Abdul Muttalib? Rasulullah s.a.w tidak berputus asa malah tetap mengajarnya mengucap Dua Kalimah Syahadat serta berkali-kali mengulanginya. Sehinggalah Abu Talib menjawab sebagai ucapan terakhir kepada mereka bahawa dia tetap bersama dengan agama Abdul Muttalib malah enggan mengucapkan Kalimah Syahadat. Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah, aku akan pohonkan keampunan dari Allah untukmu sehinggalah Allah menurunkan ayat
مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ
Yang bermaksud: Tidak dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman meminta ampun bagi orang-orang yang syirik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri. Telah nyata bagi mereka bahawa orang-orang syirik itu adalah ahli neraka. Firman Allah bersempena dengan peristiwa Abu Talib
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Yang bermaksud: Sesungguhnya engkau wahai Muhammad tidak berkuasa memberi hidayat iaitu petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi supaya dia menerima Islam tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya iaitu menurut undang-undang peraturannya dan Dia jualah yang lebih mengetahui siapakah orang-orang yang ada persediaan untuk mendapat petunjuk memeluk Islam.
Iman Penyebab Utama Masuk Syurga Dan Orang Yang Mematuhi Apa Yang Diperintahkan Akan Memasuki Syurga
Hadis Abu Ayub Al-Ansariy r.a: Seorang lelaki kampung yang dalam keadaan musafir telah menghadap Rasulullah s.a.w, lalu dia memegang tali unta baginda. Kemudian lelaki tersebut berkata: Wahai Muhammad! Ceritakanlah kepadaku perkara yang boleh mendekatkanku kepada Syurga dan menjauhkanku dari neraka. Rasulullah s.a.w tidak segera menjawab, sebaliknya baginda memandang ke arah para sahabat sambil bersabda: Sesungguhnya dia adalah orang yang telah mendapat petunjuk. Kemudian baginda bertanya kepada lelaki tersebut: Apakah perkara yang engkau tanyakan tadi? Lelaki tersebut mengulangi pertanyaannya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah mengabdikan diri kepada Allah, jangan menyekutukannya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang, keluarkanlah zakat dan pulihkanlah hubungan kekeluargaan. Sekarang lepaskanlah unta ini.
Ancaman Terhadap Perbuatan Mendustakan Rasulullah s.a.w
Hadis Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu cuba mendustakan aku kerana sesungguhnya orang yang mendustakan aku akan dimasukkan ke dalam api neraka.
Menghina Orang Lain
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat.”
Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi
Huraian:
- Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.
- Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.
Jangan Kamu Marah!
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah berkata kepada nabi SAW yang maksudnya: ”Berwasiatlah kepada ku. Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu marah.” Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu marah..”
(al-Bukhari)
Huraian:
Hasan al-Basri pernah berkata: “Empat perkara jika sesiapa memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya api neraka: (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan.” Sesungguhnya kemarahan akan mengumpulkan segala keburukan.
Reaksi seorang yang sedang marah dapat dilihat pada wajah dan anggota badannya seperti warna mukanya bertukar merah, urat-urat lehernya menegang, tubuh badan seakan-akan menggigil kerana geram, suara menjadi nyaring manakala lidah mula mengeluarkan perkataan yang buruk sama ada mengutuk atau mengeji. Ada kemungkinan patah-patah perkataan itu berupa penghinaan atau yang seumpama dengannya yang haram diucapkan termasuklah menuduh orang lain sebagai kafir dan lai-lain.
Selain itu, seseorang itu juga akan melakukan perbuatan yang di luar kawalannya sendiri seperti memukul, menumbuk, menampar dan sebagainya. Semua ini berkemungkinan akan mendorong kepada perbuatan yang menyakitkan orang lain yang akhirnya mewujudkan permusuhan dan kebencian di antara satu sama lain. Justeru walaupun sifat marah adalah sifat semula jadi manusia namun sebagai seorang Muslim kita hendaklah berusaha untuk menjauhkan diri daripada segala sebab yang menyebabkan kemarahan.
Sebaik-baik Orang Yang Berhijrah
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.”
(al-Bukhari)
Huraian:
Hijrah mengandungi hikmah yang besar sekali peranannya dalam pembangunan ummah. Suatu kumpulan masyarakat tidak akan menjadi baik jika setiap individu yang ada di dalamnya telah rosak kerana kumpulan masyarakat itu bergantung kepada individu itu sendiri. Oleh itu hijrah amat ditekankan di dalam al-Quran dan disebutkan sebanyak lebih 28 kali di dalam berbagai bentuk dan makna.
Dengan hijrah, hati, perkataan dan perbuatan kita akan menjadi bersih dari segala maksiat, dosa dan syirik seperti kisah khalifah Umar bin al-Khathab r.a yang menarik untuk kita renungkan bahawa beliau sebelum memeluk Islam dikenali dengan julukan “penghulu para pelaku kejahatan”, namun setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin yang disegani, tawaddhu’ dan suka menolong orang miskin, menjadi tonggak bagi berkembangnya agama Islam.
Hakikatnya hijrah sangatlah berat, kerana di samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan aqidah dan keyakinan agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu dan godaan dari kenikmatan dunia yang fana.
Subscribe to:
Posts (Atom)