Wednesday, 12 October 2011

Sembahyang Dengan Memakai Sehelai Pakaian Dan Sifat Pemakaiannya

799. Hadis Abu Hurairah r.a: Seseorang telah bertanya Rasulullah s.a.w tentang sembahyang dengan memakai sehelai pakaian. Maka baginda bersabda: Adakah kamu semua memiliki dua helai pakaian?. 


 801. Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah seseorang dari kamu mendirikan sembahyang dengan hanya memakai sehelai pakaian dan tidak ada sedikit pun pakaian yang menutupi kedua-dua bahunya.


 802. Hadis Umar bin Abu Salamah r.a katanya: Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang di rumah Ummu Salamah secara berselimut iaitu membalut tubuh baginda dengan sehelai pakaian dan meletakkan kedua hujung kain tersebut di atas bahu baginda.


 805. Hadis Jabir r.a katanya: Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang secara membalut tubuh baginda dengan sehelai pakaian.

Melintang Di Hadapan Orang Sembahyang

791. Hadis Saidatina Aisyah r.a: Nabi s.a.w pernah mendirikan sembahyang pada suatu malam manakala aku pula pada ketika itu melintang di antara baginda dan kiblat seperti jenazah melintang.


 797. Hadis Maimunah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Rasulullah s.a.w pernah mendirikan sembahyang, manakala aku pula berada di hadapan baginda dan aku dalam keadaan haid. Kadang-kadang pakaian baginda mengenai aku apabila baginda sujud.

Sembahyang Berhampiran Dinding

786. Hadis Sahl bin Saad As-Saa'idiy r.a katanya: Jarak antara tempat sembahyang Rasulullah s.a.w dan dinding hanyalah cukup untuk kambing melintas.


 787. Hadis Salamah bin Al-Akwa' r.a: Beliau memilih tempat untuk meletak mashaf iaitu Al-Quran, lalu sembahyang di situ. Beliau menyebut bahawa Rasulullah s.a.w juga memilih tempat tersebut. Manakala jarak antara mimbar dan kiblat hanyalah cukup untuk laluan seekor kambing sahaja.

Menahan Orang Yang Melintas Di Hadapan Orang Sembahyang

782. Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang sembahyang, janganlah membiarkan seorang pun yang melintasi di hadapannya. Sekiranya ada orang yang melintas maka hendaklah dia menghalang semampunya. Sekiranya halangan tersebut tidak dihiraukan maka hendaklah dia membunuhnya kerana sesungguhnya orang tersebut adalah syaitan.


 785. Hadis Abu Juhaim r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya orang yang melintasi di hadapan orang sembahyang itu tahu betapa besar dosanya nescaya lebih baik dia berhenti selama 40 dari melintas di hadapan orang sembahyang. Abu An-Nadri berkata: Aku tidak pasti adakah baginda mengatakan 40 hari, 40 bulan atau tahun.

Sekatan atau Pendinding Ketika Mendirikan Sembahyang

773. Hadis Ibnu Umar r.a: Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w keluar untuk sembahyang pada Hari Raya, baginda memerintahkan supaya membawa lembing yang berhujung besi untuk dipacakkan di hadapan, kemudian baginda mendirikan sembahyang menghadap ke arah lembing tadi. Begitu juga para makmum di belakang baginda. Oleh kerana itulah, pada hari ini, pihak penguasa turut melakukan sedemikian.


 775. Hadis Ibnu Umar r.a: Nabi s.a.w melintangkan Unta baginda di hadapan lalu sembahyang dengan menghadap ke arah unta tersebut. 


 777. Hadis Abu Juhaifah r.a katanya: Aku menghadap Nabi s.a.w di Mekah, sewaktu baginda berada di Abtah, di dalam suatu khemah bulat berwarna merah yang diperbuat dari belulang. Katanya lagi: Kemudian Bilal keluar dengan membawa air wuduk untuk baginda. Maka ada mereka yang mendapat air tadi dan ada pula yang hanya dipercikkan oleh orang lain. Katanya lagi: Kemudian Nabi s.a.w keluar dengan memakai pakaian merah, seolah-olah aku dapat melihat betis baginda yang putih. Beliau berkata lagi: Setelah itu baginda berwuduk lalu Bilal mengumandangkan azan. Aku memerhatikan mukanya bergerak ke kanan dan ke kiri ketika membaca الصَّلَاةِ حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ kemudian dipacakkan sebatang tongkat untuk baginda lalu baginda pun maju ke hadapan dan bersembahyang Zuhur dua rakaat. Kemudian seekor keldai dan seekor anjing melintas di hadapan baginda tetapi baginda tidak menghalangnya. Seterusnya baginda mendirikan sembahyang Asar dua rakaat dan baginda sentiasa mendirikan sembahyang dua rakaat sehinggalah baginda sampai ke Madinah.


 780. Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Aku pernah datang dengan menaiki keldai betina ketika aku hampir baligh. Pada waktu itu Rasulullah s.a.w sedang sembahyang bersama orang ramai di Mina. Aku melintasi di hadapan saf lalu turun dan membiarkan keldaiku merumput. Kemudian aku masuk ke dalam saf dan tiada seorang pun yang mencela perbuatanku tadi.

Perkara perkara Yang Berkaitan Dengan Sifat Sembahyang Dan Bagaimana Memulakan Serta Mengakhirinya

764. Hadis Abdullah bin Malik bin Buhainah r.a: Sesungguhnya ketika Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang, baginda merenggangkan kedua tangannya sehingga ternampak putih di ketiak baginda.

Meluruskan Badan Ketika Sujud, Meletakkan Kedua Tapak Tangan Di Atas Tanah, Mengangkat Kedua Siku Dari Rusuk Dan Menjauhkan Perut Dari Kedua Paha Ketika Sujud

762. Hadis Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Luruskanlah badan ketika bersujud dan janganlah salah seorang dari kamu mendamparkan kedua lengannya iaitu merapatkan siku ke tanah seperti anjing mendamparkan kaki hadapannya.

Anggota anggota Sujud Serta Larangan Melapik Rambut Dan Pakaian Yang Dipakai Pada Dahi Dan Menjalin Rambut Ketika Sembahyang

755. Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Nabi s.a.w telah diperintahkan agar melakukan sujud dengan menggunakan tujuh anggota badan serta dilarang melapik dahi dengan rambutnya dan pakaiannya.

Bacaan Ketika Rukuk dan Sujud

746. Hadis Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ketika rukuk dan sujud, baginda biasanya memperbanyakkan bacaan:


 سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي 


Baginda melaksanakan apa yang diperintahkan di dalam Al-Quran.

Mengikuti Imam dan Melakukan Rukun atau Selainnya Selepas Imam

728. Hadis Al-Bara' r.a: Sesungguhnya mereka iaitu para sahabat sembahyang di belakang Rasulullah s.a.w. Maka apabila baginda mengangkat kepala dari rukuk, aku tidak melihat seorang pun yang masih membongkokkan badannya sehinggalah ketika Rasulullah s.a.w meletakkan dahi ke tempat sujud maka orang-orang yang berada di belakang baginda pun turut sujud.

Penyelarasan Di Antara Rukun rukun Sembahyang dan Meringankannya Tanpa Mencacatkan Sembahyang

724. Hadis Al-Bara' bin Azib r.a katanya: Aku mengamati sembahyangku bersama Muhammad s.a.w. Maka aku mendapati baginda berdiri, rukuk, bangkit sesudah rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, sujud lagi serta baginda duduk antara salam dan selesai sembahyang, semuanya hampir sama.


 726. Hadis Anas r.a katanya: Sesungguhnya aku tidak akan mempercepatkan sembahyang jika aku mengimami kamu sebagaimana aku melihat Rasulullah s.a.w mengimami kami. Thabit iaitu salah seorang perawi berkata: Anas melakukan sesuatu yang tidak pernah aku melihat kamu semua melakukannya. Apabila beliau mengangkat kepala dari rukuk, maka beliau berdiri tegak sehingga ada yang berkata dia telah lupa dan jika beliau mengangkat kepala dari sujud, maka dia diam sehingga ada yang berkata dia telah lupa.