Friday, 14 October 2011

Perubahan Arah Kiblat Dari Baitulmuqaddis Ke Kaabah

818. Hadis Al-Bara' bin Aazib r.a katanya: Aku telah sembahyang bersama Nabi s.a.w menghadap ke Baitulmuqaddis selama enam belas bulan sehinggalah diturunkan ayat yang terdapat dalam surah Al-Baqarah: وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ Yang bermaksud: Dan di mana saja kamu berada, maka palingkanlah mukamu ke arahnya. Ayat tersebut diturunkan selepas Nabi s.a.w mendirikan sembahyang. Setelah itu seorang lelaki dari satu kaum berjalan-jalan dan secara kebetulan dia mendapati beberapa orang dari kaum Ansar masih lagi sembahyang dengan menghadap ke arah Baitulmuqaddis. Lalu dia menceritakan tentang ayat tersebut, lantas mereka memalingkan muka mereka ke arah Kaabah.


 820. Hadis Ibnu Umar r.a katanya: Ketika orang ramai sedang mendirikan sembahyang Subuh di Quba', tiba-tiba datang seorang lelaki kepada mereka lalu memberitahu bahawa ayat yang memerintahkan supaya mereka menghadap ke arah Kaabah telah di turunkan kepada Rasulullah s.a.w malam tadi, maka hadapkanlah ke arahnya. Sedangkan pada masa itu mereka semua sedang menghadap ke arah Syam. Lantas mereka semua berpaling menghadap ke arah Kaabah.

No comments:

Post a Comment