Friday 14 October 2011

Pembinaan Masjid Nabi s.a.w

 816. Hadis Anas bin Malik r.a: Ketika Rasulullah s.a.w datang ke Madinah, baginda singgah di kawasan yang agak tinggi di Kota Madinah iaitu sebuah tempat yang bernama Bani Amru bin Auf. Baginda tinggal bersama mereka selama empat belas malam. Kemudian baginda menyuruh supaya memanggil pemimpin Bani Najjar. Lalu mereka pun datang membawa pedang masing-masing. Beliau berkata lagi: Aku seolah-olah melihat Rasulullah s.a.w di atas untanya, manakala Abu Bakar berada di belakang baginda, sementara pemimpin Bani Najjar mengelilingi baginda. Baginda membiarkan saja unta baginda itu membawanya sehinggalah baginda tiba di halaman rumah milik Abu Ayyub. Beliau berkata lagi: Rasulullah s.a.w sembahyang walau di mana saja bila tiba waktu sembahyang, baginda sembahyang di dalam kawasan pemeliharaan kambing. Kemudian baginda memerintahkan supaya didirikan sebuah masjid. Beliau berkata lagi: Lalu baginda menyuruh memanggil pemimpin Bani Najjar itu, mereka pun datang. Lalu baginda bersabda: Wahai Bani Najjar! Nyatakan harga kebunmu ini kepadaku. Lalu mereka menjawab: Tidak! Demi Allah, kami tidak mahukan harganya kecuali kepada Allah. Lalu Anas berkata: Mengikut pengetahuanku, dalam kebun itu terdapat pokok kurma, kubur orang-orang Musyrikin dan runtuhan bangunan. Lantas Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya memotong pokok kurma, membongkar kubur orang-orang Musyrikin dan meratakan runtuhan bangunan. Beliau berkata lagi: Lalu mereka menjadikan pohon kurma tersebut sebagai arah kiblat dan sebuah batu besar sebagai bahu pintu gerbang. Beliau berkata lagi: Mereka melakukan pekerjaan berat itu sambil mengalunkan syair dan Rasulullah s.a.w ada bersama mereka. Mereka bersyair: اللَّهُمَّ إِنَّهُ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُ الْآخِرَهْ فَانْصُرِ الْأَنْصَارَ وَالْمُهَاجِرَهْ Yang bermaksud: Ya Allah! Sesungguhnya tiada kebaikan yang terlebih baik melainkan kebaikan akhirat. Bantulah orang-orang Ansar dan orang-orang Muhajirin.

No comments:

Post a Comment