Wednesday, 12 October 2011

Sekatan atau Pendinding Ketika Mendirikan Sembahyang

773. Hadis Ibnu Umar r.a: Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w keluar untuk sembahyang pada Hari Raya, baginda memerintahkan supaya membawa lembing yang berhujung besi untuk dipacakkan di hadapan, kemudian baginda mendirikan sembahyang menghadap ke arah lembing tadi. Begitu juga para makmum di belakang baginda. Oleh kerana itulah, pada hari ini, pihak penguasa turut melakukan sedemikian.


 775. Hadis Ibnu Umar r.a: Nabi s.a.w melintangkan Unta baginda di hadapan lalu sembahyang dengan menghadap ke arah unta tersebut. 


 777. Hadis Abu Juhaifah r.a katanya: Aku menghadap Nabi s.a.w di Mekah, sewaktu baginda berada di Abtah, di dalam suatu khemah bulat berwarna merah yang diperbuat dari belulang. Katanya lagi: Kemudian Bilal keluar dengan membawa air wuduk untuk baginda. Maka ada mereka yang mendapat air tadi dan ada pula yang hanya dipercikkan oleh orang lain. Katanya lagi: Kemudian Nabi s.a.w keluar dengan memakai pakaian merah, seolah-olah aku dapat melihat betis baginda yang putih. Beliau berkata lagi: Setelah itu baginda berwuduk lalu Bilal mengumandangkan azan. Aku memerhatikan mukanya bergerak ke kanan dan ke kiri ketika membaca الصَّلَاةِ حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ kemudian dipacakkan sebatang tongkat untuk baginda lalu baginda pun maju ke hadapan dan bersembahyang Zuhur dua rakaat. Kemudian seekor keldai dan seekor anjing melintas di hadapan baginda tetapi baginda tidak menghalangnya. Seterusnya baginda mendirikan sembahyang Asar dua rakaat dan baginda sentiasa mendirikan sembahyang dua rakaat sehinggalah baginda sampai ke Madinah.


 780. Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Aku pernah datang dengan menaiki keldai betina ketika aku hampir baligh. Pada waktu itu Rasulullah s.a.w sedang sembahyang bersama orang ramai di Mina. Aku melintasi di hadapan saf lalu turun dan membiarkan keldaiku merumput. Kemudian aku masuk ke dalam saf dan tiada seorang pun yang mencela perbuatanku tadi.

No comments:

Post a Comment