Sunday, 2 October 2011

Mengetahui Bentuk Penglihatan


Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya orang ramai telah bertanya Rasulullah s.a.w dengan berkata: Wahai Rasulullah! Adakah kami dapat melihat Tuhan kami pada Hari Kiamat? Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda:
 Adakah memudaratkan iaitu berbahaya jikalau kamu melihat bulan pada malam purnama? Mereka pun menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Baginda bertanya lagi kepada mereka: Adakah berbahaya jikalau kamu melihat matahari yang tidak dilindungi awan? Mereka menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Kemudian baginda bersabda: Begitulah juga kamu akan melihat-Nya, Allah s.w.t akan menghimpunkan seluruh manusia pada Hari Kiamat dan berkata kepada mereka bermaksud: Sesiapa yang menyembah sesuatu benda, maka ikutilah benda tersebut. Bagi orang yang menyembah matahari, mereka akan mengikut matahari tersebut. Bagi orang yang menyembah bulan maka mereka akan mengikuti bulan tersebut. Manakala orang yang menyembah taghut, maka mereka akan mengikuti taghutnya itu. Jadi tinggal lagi umat ini iaitu umat yang percaya kepada Allah termasuklah orang-orang munafik yang tetap dengan kemunafikan mereka. Lalu Allah mendatangi mereka dengan bukan gambaran-Nya yang sebenarnya di mana gambaran tersebut mereka kenal dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhanmu. Mereka berkata: Kami berlindung dengan Allah daripada engkau iaitu gambaran tersebut, beginilah pendirian kami sehingga Tuhan kami benar-benar datang kepada kami kerana kami mengenali-Nya. Lalu Allah mendatangi mereka dengan gambaran-Nya yang sebenarnya sebagaimana yang mereka kenali dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhan kamu. Mereka pun menjawab: Engkaulah Tuhanku. Mereka pun mengikut-Nya. Kemudian Allah merentangkan kepada mereka suatu titian yang merentangi neraka. Maka aku bersama umatku adalah orang pertama yang menyeberanginya. pada hari itu tiada seorangpun yang dapat berbicara kecuali para Rasul. Para Rasul berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Selamatkanlah, selamatkanlah. Di dalam neraka terdapat sejenis besi berkait seperti duri Saadan iaitu nama tumbuhan yang berduri besar, adakah kamu pernah melihat duri Saadan? Mereka pun menjawab: Ya, wahai Rasulullah! Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya ia seperti duri Saadan yang tidak diketahui sebesar manakah bentuknya kecuali Allah. Ianya menggait manusia bersama amalan mereka. Tinggallah orang-orang mukmin bersama amalannya yang berjaya melintasi neraka. Setelah Allah menetapkan hukuman di antara para hamba dan hendak mengeluarkan mereka dengan rahmatNya maka Dia akan memerintahkan para malaikat agar mengeluarkan mereka dari neraka tersebut. Manakala Orang yang tidak menyekutukan-Nya dan Dia menghendakinya maka mereka dikeluarkan dari sana dengan rahmat-Nya, begitu juga bagi orang yang berkata لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ sesungguhnya para Malaikat mengenali mereka semasa dalam neraka melalui kesan sujud. Api neraka akan memakan seluruh anggota anak Adam kecuali kesan sujud. Allah telah mengharamkan api neraka dari memakan kesan tersebut. Kemudian mereka dikeluarkan dari neraka dalam keadaan hangus, lalu disiram dengan air kehidupan, maka pulihlah mereka sebagaimana tumbuhnya benih dalam kawasan banjir iaitu lumpur. Setelah Allah selesai dari mengadili hamba-Nya, tinggal lagi seorang lelaki yang menghadapkan wajahnya ke neraka. Dia adalah ahli Syurga yang terakhir memasukinya. Dia berkata: Wahai Tuhanku, palingkanlah wajahku dari neraka kerana wapnya benar-benar menampar mukaku dan nyalaannya membakarku. Dia terus memohon daripada Allah sepuas-puasnya. Kemudian Allah s.w.t berfirman: Adakah kamu akan terus meminta sekiranya Aku menunaikan permintaanmu itu? Lalu dia menjawab: Aku tidak akan meminta lagi dari-Mu perkara lain. Lalu Allah memperkenankan permohonannya itu dan memalingkan mukanya dari neraka. Apabila dia berpaling menghadap Syurga dia terus terpegun, lalu dia memohon daripada Allah dengan berkata: Wahai Tuhanku, hampirkanlah aku kepada pintu Syurga. Maka Allah menjawab: Tidakkah engkau telah berjanji tidak akan meminta lagi perkara lain dariKu, celaka sungguh engkau wahai anak Adam. Dia pun menjawab: Tidak, demi keagungan-Mu, lalu dia berjanji lagi kepada Tuhannya. Lalu Allah mendekatkannya ke pintu Syurga. Setelah dia berdiri di ambang pintu Syurga, terbukalah pintu Syurga dengan luas untuknya, sehingga dia dapat melihat dengan jelas segala keindahan dan kesenangan yang terdapat di dalamnya. Dia terus diam terpegun untuk seketika, kemudian dia berkata lagi: Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam Syurga. Maka Allah s.w.t berfirman kepadanya: Bukankah engkau telah berjanji tidak akan meminta selain perkara yang telah Aku berikan? Celaka engkau wahai anak Adam. Lalu dia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku, aku tidak mahu menjadi makhluk-Mu yang paling malang. Dia terus berdoa kepada Tuhannya tanpa berputus asa sehinggalah Allah memperkenankan permintaannya lalu berfirman kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Setelah dia memasuki Syurga, Allah berfirman kepadanya: Pohonlah lagi. Maka dia terus memohon kepada Tuhannya dan dia terus meminta sehinggalah Allah mengingatkannya dengan beberapa perkara. Setelah habis permintaannya, Allah s.w.t pun berfirman: Apa yang berlaku itu merupakan kemurahanku kepadamu dan umatmu, begitu juga kepada umat lain bersama Nabi mereka.

No comments:

Post a Comment