Friday, 7 October 2011

Makmum Mengikuti Imam

622. Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w pernah terjatuh dari kuda yang menyebabkan kecederaan di bahagian kanan tubuh baginda. Kami cepat-cepat mendapatkan baginda lalu membawa pulang. Sebaik sahaja tiba waktu sembahyang, baginda sembahyang bersama kami dalam keadaan duduk. Ini menyebabkan kami juga mengikuti baginda dengan bersembahyang dalam keadaan duduk. Setelah selesai sembahyang baginda bersabda: Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu, apabila dia bertakbir, takbirlah. Apabila dia sujud, sujudlah. Juga apabila dia bangun, bangunlah. Akhirnya apabila dia membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ bacalah رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ dan apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, sembahyanglah dalam keadaan duduk. 


 623. Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mengadu sakit lalu para sahabat mendapatkan baginda seterusnya membawa pulang. Baginda mendirikan sembahyang dalam keadaan duduk sebaliknya para sahabat mengikutinya dalam keadaan berdiri. Baginda kemudiannya mengisyaratkan agar para sahabat duduk. Setelah selesai sembahyang baginda bersabda: Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu apabila dia rukuk, rukuklah. Apabila dia bangkit dari rukuk, bangkitlah dan apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, maka sembahyanglah juga dalam keadaan duduk. 


 625. Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu, janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya. Apabila dia bertakbir, takbirlah. Apabila dia rukuk, rukuklah. Apabila dia membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ bacalah اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ dan apabila dia sujud, sujudlah. Apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, sembahyanglah juga dalam keadaan duduk.

No comments:

Post a Comment