Thursday 13 October 2011

MASJID DAN TEMPAT TEMPAT SEMBAHYANG

808. Hadis Abu Zar r.a katanya: Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Masjid manakah yang pertama diasaskan atas muka bumi ini? Rasulullah menjawab: Masjidilharam. Aku bertanya lagi: Setelah itu, masjid mana pula? Baginda menjawab: Masjidilaqsa. Seterusnya aku bertanya: Berapa lamakah beza waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Empat puluh tahun. Walau pun begitu, di mana saja kamu berada apabila tiba waktu sembahyang, dirikanlah sembahyang kerana di situ juga merupakan masjid.


 810. Hadis Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku. Semua Nabi sebelumku hanya diutuskan khusus kepada kaumnya sahaja, sedangkan aku diutuskan kepada manusia yang berkulit merah dan hitam iaitu seluruh manusia. Dihalalkan untukku harta rampasan perang, sedangkan ianya tidak pernah dihalalkan kepada seorang Nabi pun sebelumku. Disediakan untukku bumi yang subur lagi suci sebagai tempat untuk sujud iaitu sembahyang. Maka sesiapa pun apabila tiba waktu sembahyang walau di mana saja dia berada hendaklah dia mendirikan sembahyang. Aku juga diberikan pertolongan secara dapat menakutkan musuh dari jarak perjalanan selama satu bulan. Aku juga diberikan hak untuk memberi syafaat.


 812. Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Aku diberikan enam kelebihan berbanding Nabi-nabi lain; Aku diberi kata-kata yang ringkas tetapi mengandungi erti yang banyak iaitu Al-Quran dan Hadis. Aku diberi pertolongan dengan cara dapat menakutkan musuh, dihalalkan bagiku harta rampasan perang dan dijadikan kepadaku bumi yang suci sebagai tempat sujud. Aku juga diutuskan kepada seluruh makhluk dan aku adalah sebagai penutup bagi seluruh para Nabi iaitu Nabi yang terakhir diutuskan.

No comments:

Post a Comment