Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a:
Bahawa kaum Muslimin pada zaman Rasulullah s.a.w telah bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kami dapat melihat Tuhan kami nanti pada Hari Kiamat? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya! Adakah kamu merasa sukar untuk melihat matahari pada siang hari yang cerah, yang tidak ada awan? Adakah kamu merasa sukar untuk melihat bulan pada malam purnama yang cerah tanpa ada awan? Kaum Muslimin menjawab: Tidak, wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak akan mengalami kesukaran dalam melihat Allah Taala pada Hari Kiamat sebagaimana kamu tidak mengalami kesukaran untuk melihat salah satu dari matahari dan bulan. Apabila berlaku Hari Kiamat, para penyeru iaitu para Malaikat mengumumkan: Setiap umat hendaklah mengikuti apa yang mereka sembah sewaktu di dunia. Maka tidak akan kekal seorangpun dari mereka yang menyembah selain dari Allah, iaitu berhala-berhala. Mereka akan dihumban ke dalam neraka sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang dahulunya iaitu semasa di dunia menyembah Allah, orang-orang yang baik, orang-orang jahat dan saki-baki Ahli Kitab. Maka orang-orang Yahudi. dipanggil dan ditanya Kepada mereka: Apakah yang kamu sembah sewaktu di dunia? Mereka menjawab: Kami menyembah Uzair Ibnullah, lalu dikatakan kepada mereka: Kamu telah berdusta. Allah tidak pernah menjadikan walau seorangpun sebagai teman iaitu isteri atau anak. Maka mereka telah ditanya: Apa yang kamu inginkan? Mereka menjawab: Kami haus, wahai Tuhanku! Berilah kami minum. Lalu diisyaratkan kepada mereka: Tidakkah kamu inginkan air? Lalu mereka pun diiringi beramai-ramai ke neraka, neraka seolah-olah fatamorgana, sebahagiannya menghancurkan sebahagian yang lain. Mereka pun sama-sama terhumban ke dalam neraka. Kemudian dipanggil pula orang-orang Nasrani lalu ditanya kepada mereka: Apakah yang kamu sembah semasa di dunia? Mereka menjawab: Kami menyembah Al-Masih anak Allah, lalu dikatakan kepada mereka: Kamu telah berdusta! Allah tidak pernah menjadikan walau seorang pun sebagai teman iaitu isteri atau anak. Maka mereka telah ditanya: Apakah yang kamu inginkan? Mereka menjawab: Kami haus wahai Tuhanku, berilah kami minum. Lalu ditunjukkan kepada mereka: Tidakkah kamu inginkan air? Lalu mereka diiringi ke neraka Jahanam. neraka seolah-olah fatamorgana, sebahagiannya menghancurkan sebahagian yang lain. Mereka pun sama-sama terhumban ke dalam neraka, sehinggalah yang tinggal hanyalah orang-orang yang dahulunya menyembah Allah Taala, orang-orang baik dan orang-orang jahat. Maka Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam datang kepada mereka dalam bentuk yang lebih rendah daripada bentuk yang mereka ketahui lalu berfirman: Apakah yang kamu tunggu? Setiap umat akan mengikuti apa yang dahulunya mereka sembah. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Di dunia, kami memisahkan diri dari orang-orang yang menyusahkan kami iaitu untuk membantu penghidupan di dunia dan kami tidak mahu berkawan dengan mereka iaitu kerana mereka menyimpang dari jalan yang digariskan oleh agama. Allah berfirman lagi kepada mereka: Akulah Tuhan kamu! Mereka berkata: Kami mohon perlindungan daripada Allah kepada kamu, kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu pun untuk kali kedua atau ketiga sehingga sebahagian mereka hampir-hampir berubah iaitu kembali kepada kebenaran. Maka Allah berfirman: Apakah di antara kamu dan Allah terdapat tanda-tanda yang membuatkan kamu dapat mengenali-Nya? Mereka menjawab: Ya! Lalu disingkapkan keadaan yang menakutkan itu dan setiap orang yang hendak bersujud kepada Allah dengan keinginan mereka sendiri sudah pasti akan mendapat keizinan Allah sedangkan orang yang akan bersujud kerana takut atau untuk memperlihatkannya, maka Allah akan menyatukan belakangnya sehingga tidak boleh bersujud. Setiap kali hendak bersujud, dia hanya dapat membongkokkan pada tengkuknya. Kemudian apabila mereka mengangkat kepala, Allah telah pun berupa sebagaimana gambaran yang mereka lihat pertama kali tadi. Maka Allah pun berfirman: Akulah Tuhan kamu. Mereka menyahut: Engkau Tuhan Kami! Kemudian dibentangkan sebuah jambatan di atas neraka Jahanam dan yang dibenarkan ketika itu hanyalah syafaat dari Rasul-rasul di mana mereka mengucapkan: Ya Allah, selamatkanlah, selamatkanlah. Kemudian ada yang bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, apakah jambatan itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Ianya merupakan lumpur yang licin. Padanya juga terdapat besi berkait dan besi berduri. Di Najd terdapat tumbuhan berduri yang disebut Saadan. Maka seperti itulah besi-besi berkait tersebut. Kepantasan orang-orang mukmin melintasi jambatan tersebut ada seperti kerlipan mata, seperti kilat, seperti angin, seperti burung dan seperti kuda atau unta yang berlari kencang. Mereka terbahagi kepada tiga kumpulan: Selamat dan tidak mengalami apa-apa rintangan, selamat tetapi terpaksa menempuh banyak rintangan dan terkoyak serta yang terus terjerumus ke dalam neraka Jahanam. Pada saat orang-orang mukmin telah bebas dari azab neraka, maka demi zat yang menguasai diriku iaitu diri Rasulullah nescaya tidak ada orang yang begitu mengambil berat dalam mencari kebenaran, melebihi orang-orang mukmin yang mencari kebenaran daripada Allah demi kepentingan saudara-saudara mereka yang masih berada di neraka. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya dulu mereka berpuasa bersama kami, mendirikan sembahyang dan mengerjakan Haji. Lalu Allah berfirman kepada mereka: Keluarkanlah orang-orang yang kamu kenal kerana wajah-wajah mereka diharamkan ke atas api neraka. Maka ramai yang dapat dikeluarkan dari neraka. Ada yang sudah terbakar hingga separuh betis dan lututnya. Orang-orang mukmin itu berkata: Wahai Tuhan kami, tidakkah ada lagi yang tertinggal di dalam neraka setelah Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, siapa saja yang kamu temukan di hatinya ada kebaikan meskipun hanya seberat satu dinar, maka keluarkanlah. Jadi mereka dapat mengeluarkan ramai manusia. Lalu mereka berkata: Wahai Tuhan kami, Kami tidak tahu apakah masih ada di neraka seseorang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, sesiapa saja yang kamu temukan dihatinya ada kebaikan meskipun hanya seberat setengah dinar, maka keluarkanlah. Mereka dapat mengeluarkan ramai lagi manusia. Setelah itu mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami tidak tahu, apakah di sana masih ada seseorang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, sesiapa saja yang kamu temukan di dalam hatinya terdapat kebaikan meskipun hanya seberat zarah, maka keluarkanlah. Bertambah ramai lagi yang dapat dikeluarkan. Kemudian mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami tidak tahu adakah di sana masih ada pemilik kebaikan. Sesungguhnya Abu Said Al-Khudriy berkata: Jika kamu tidak mempercayaiku mengenai Hadis ini, maka bacalah firman Allah ayat 40 surah An-Nisa'
إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ وَإِنْ تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِنْ لَدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا
Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah dan jika ada kebaikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya serta memberikan dari sisiNya pahala yang besar. Allah s.w.t berfirman: Para Malaikat telah meminta syafaat, para nabi telah meminta syafaat dan orang-orang mukmin juga telah meminta syafaat. Yang tinggal hanyalah Zat Yang Maha Penyayang di antara semua yang penyayang. Lalu Allah merangkum dari neraka dan mengeluarkan sekumpulan orang yang sama sekali tidak pernah melakukan kebaikan. Mereka telah menyedari. Kemudian mereka dilempar ke sebuah sungai di pintu Syurga, yang disebut Sungai Kehidupan. Seterusnya mereka keluar seperti tumbuhan kecil yang keluar selepas dari banjir. Bukankah kamu sering melihat tumbuhan kecil di celah-celah batu atau pohon, bahagian yang terkena sinaran matahari akan berwarna sedikit kekuningan dan hijau, sedangkan yang berada di bawah tempat teduh akan menjadi putih? Para sahabat mencelah: Seolah-olah engkau pernah menggembala di gurun. Rasulullah s.a.w terus bersabda: Lalu mereka keluar bagaikan mutiara. Di leher mereka ada kalong, sehingga para ahli Syurga dapat mengenali mereka: Mereka adalah orang-orang yang dibebaskan oleh Allah, yang dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga, tanpa amalan yang mereka kerjakan dan juga tanpa kebaikan yang mereka lakukan. Kemudian Allah berfirman: Masuklah kamu ke dalam Syurga, apa-apa yang kamu lihat, ianya adalah untuk kamu. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, Engkau telah berikan kepada kami pemberian yang belum pernah Engkau berikan kepada seorang pun di antara orang-orang di seluruh alam. Allah berfirman: Di sisiKu ada pemberian untuk kamu yang lebih baik daripada pemberian ini. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, apa lagi yang lebih baik daripada pemberian ini? Allah berfirman: RedhaKu, lalu Aku tidak memurkai kamu selepas ini buat selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment