Thursday, 6 October 2011

Perkara Yang Diperlihatkan Kepada Nabi s.a.w Ketika Sembahyang: Gerhana, Mengenai Syurga dan Neraka

Hadis Asma' r.a: Diriwayatkan daripada Fatimah sesungguhnya Asma' telah berkata: Matahari gerhana pada masa Rasulullah s.a.w. Aku datang menemui Aisyah yang ketika itu sedang bersembahyang. Aku bertanya: Kenapa orang ramai mendirikan sembahyang? Aisyah memberi isyarat dengan kepalanya ke arah langit. Aku bertanya lagi: Tanda kebesaran Allah? Dia menjawab: Benar! Rasulullah s.a.w berdiri cukup lama sekali, hingga aku terasa hampir pengsan. Lalu aku mencapai qirbah (satu bekas air) yang ada di sampingku dan aku menuangnya ke kepalaku atau ke wajahku. Apabila Rasulullah s.a.w selesai, matahari telahpun muncul kembali. Kemudian Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada kaum Muslimin. Baginda memuji Allah dan menyanjungi-Nya. Lalu bersabda: Apa sahaja yang belum pernah aku lihat, pasti benar-benar aku dapat melihatnya di maqamku ini, biarpun ke Syurga dan neraka. Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku, bahawa kamu akan menerima cubaan di dalam kubur yang hampir-hampir menyerupai fitnah Al-Masih Ad-Dajal. Aku tidak tahu apakah ia sebenarnya. Asma' lalu berkata: Kamu akan didatangi seseorang dan ditanyakan apakah yang kamu tahu mengenai lelaki ini? Adapun orang yang beriman atau orang yang yakin akan menjawab: Aku tidak tahu siapakah dia. Asma' berkata: Katakanlah dia itu Muhammad. Dialah utusan Allah yang membawa bukti-bukti dan petunjuk kepada kami. Lalu kami penuhi dan taati (sebanyak tiga kali). Kemudian dikatakan kepadanya: Benar! Kami memang tahu bahawa engkau beriman kepadanya. Tidurlah baik-baik! Sedangkan orang yang munafik atau ragu-ragu akan menjawab: Aku tidak tahu. Asma' berkata: Aku tidak tahu, cuma aku mendengar orang ramai berkata sesuatu, maka aku turut mengatakannya. 

No comments:

Post a Comment